KEHIDUPAN SAYA DI DARUL QURAN JAKIM

  • 0
Selepas sekolah menengah, saya menyambung pengajian di Darul Quran JAKIM selama 3 tahun.

Bila memilih untuk hafaz 30 juzuk Al-Quran, keutamaan beberapa perkara perlu disusun semula. Sesetengah perkara kena kurangkan atau terus tinggalkan.

Dulu masa sekolah menengah kalau selepas asar tak ada kelas, boleh kata hampir selalu turun padang main bola atau futsal.

Sejak masuk Darul Quran, selepas asar saya akan lancarkan bacaan ayat yang nak dihafaz esok. Satu hari kena tasmi' satu maqra', kurang lebih 2-3KEHIDUPAN SAYA DI DARUL QURAN JAKIM muka surat.

Kalau bacaan dah lancar dan masih ada masa, saya akan turun padang untuk main bola tampar atau jogging pusing pagar Darul Quran. Bola sepak memang tinggal terus.

Sempat juga diamanahkan menjadi Bendahari Perkemat DQ. Perkemat adalah singkatan kepada Persatuan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran. Macam MPP kat kampus lain.

Tugas paling mencabar apabila dua kali menguruskan kemasukan pelajar baru, pelajar persijilan dan diploma.

Apa yang unik, semua wang pendaftaran tak masuk ke akaun DQ atau HEP, tapi perlu dimasukkan ke akaun Perkemat. Selepas itu baru bendahari akan salurkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Sempat lah merasa uruskan wang puluh-puluh ribu, walaupun duit orang. Hehe.

Antara pencapaian yang begitu membanggakan, apabila letak jawatan dapat tinggalkan duit kat akaun Perkemat kurang lebih RM40 ribu.

Bendahari setiap exco juga tutup akaun dengan baki duit beribu-ribu, tak ada yang bawah RM1,000.

Macam mana boleh kumpul duit banyak itu? 

1. Bila nak buat program kita bukan habiskan duit, tapi macam mana supaya boleh dapat lebih banyak duit.

2. Dapatkan pembekal yang lebih murah. Terutamanya untuk pakaian dan kitab. Penjimatan kat sini sahaja boleh mencecah belasan ribu. Pembekal lama sampai merajuk, tapi kita hadap sahaja. Hehe.

3. Guna resit lama untuk berunding harga. Bila kita guna perkhidmatan daripada syarikat yang sama selama bertahun-tahun, tak ada salahnya untuk minta harga istimewa. Guna resit lama sebagai bahan bukti dalam berunding. Pada masa yang sama, cuba dapatkan juga syarikat lain yang mungkin boleh bagi harga lagi murah.

4. Bantu syarikat di luar sana untuk salurkan bajet CSR atau zakat kepada persatuan.

5. Kawal kemudahan memberikan hutang dan kutip hutang lama. Sebagai persatuan yang jaga kebajikan pelajar, bendahari boleh bagi hutang tanpa faedah kepada pelajar. Ada juga beberapa guru yang turut pinjam duit untuk pelbagai keperluan.

Cuma masalah hutang ini tak kira sesiapa, orang yang belajar agama pun boleh lupa atau buat-buat lupa bila berhutang.

Ada pelajar yang dah lama habis belajar dan ada juga pensyarah yang dah tukar kereta, tapi sampai sekarang masih tak hutang. Huhu.

Tak salah berhutang. Yang salah kalau tak bayar hutang. Lebih-lebih lagi duit itu milik persatuan yang jaga kebajikan ramai orang.

Kalau duit individu mungkin boleh sahaja orang itu nak halalkan, tapi kalau duit persatuan?

Oh, panjang pula karangan kali ini. Saya pun dah keliru nak cerita pasal apa sebenarnya. Kahkah.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada Anda yang sudi baca sampai habis. Harapnya belajar sesuatu daripada perkongsian ini.

Sekian. Terima kasih.

RFS
Diploma
Tahfiz dan Dakwah
DQ JAKIM 2003-2006

ELAK KESESAKAN GUNA GOOGLE MAPS

  • 0
Usai makan kat kenduri kahwin anak saudara di Kampus USM Nibong Tebal, saya buka aplikasi Google Maps untuk tengok keadaan trafik balik ke Nilai. Alhamdulillah, nampak lancar sahaja, tiada kesesakan.

By default, Google Maps akan tunjuk jalan supaya ikut tol dan jalan mana yang paling laju. Saya pun ikut sahaja cadangan yang diberikan.

Selepas memandu selama lebih satu jam, saya cek balik keadaan trafik guna Google Maps. Ada kesesakan di beberapa tempat bermula dari Gopeng hingga ke Sungkai.

Saya terus keluar tol kat Gopeng dan ambik jalan dalam sampai ke Slim River. Sempat singgah solat dan rehat sekejap kat Masjid Tapah.

Sampai Slim River, masuk tol balik sebab dah melepasi kawasan yang sesak.
Dua minggu lepas masa balik dari Perlis pun saya amalkan kaedah serupa.

Bila kat tol ada banyak kesesakan, cuba elak guna jalan dalam. Sebab kalau sesak kat tol, kita kena keluar duit untuk 2 perkara, iaitu minyak dan tol. Tapi kalau guna jalan dalam, kita hanya bayar minyak sahaja.

Kadang-kadang bila tol jammed, guna jalan dalam lagi dekat, lagi jimat minyak, lagi cepat sampai dan yang pasti tak payah bayar tol. Hahaha.

Sekarang saya masih kat kawasan Tanjung Malim. Sambil suri tolong drive, boleh lah nak update status sekejap. Hihi.

Esok saya dah mula masuk kerja. Rasa tambah semangat pun ada. Tak best cuti lama-lama. Kan? Kahkah.

Terima kasih sudi baca sampai habis. Komenlah apa-apa yang patut. Hehe.

RFS

BELI SABUN BREEZE DI LAZADA

  • 0
Hujung minggu lepas saya sempat menjejakkan kaki ke Speedmart, Grand Union, Tesco dan Mydin untuk cari dan beli barang keperluan.

Salah satu barang yang nak saya beli adalah sabun basuh Breeze. Tapi setakat 4 pusat jualan itu saya masih tak beli Breeze sebab mempertimbangkan harganya agak tinggi.

Pagi tadi saya terfikir nak semak harga kat Lazada. Ternyata harganya jauh lebih murah. Hehe.
Kalau nak shopping guna Shopback jua, boleh terus ke sini ---> www.shopback.my/?raf=k2p9NK

Saya terus buka apps Shopback, kemudian buka Lazada kat situ. Dengan begitu, setiap pembelian yang saya buat akan dapat sedikit cash back.

Belanja kat Lazada dengan harga rendah, Shopback pula pulang semula sedikit duit kita.

RFS

PENGALAMAN BELI RUMAH

  • 0
Saya pernah duduk menyewa. hidup menyewa itu banyak suka dukanya. Anda yang pernah dan masih menyewa tentu faham dan ada pengalaman sendiri. Kan?

Bulan Ogos 2012 adalah kali pertama saya dan suri berpindah masuk ke rumah sendiri. Rumah teres 2 tingkat di Bandar Baru Nilai.

Kenapa beli rumah kat Nilai? Sebab suri saya mengajar kat USIM.

Ada seorang mentor Cina pernah pesan, "Cari rumah dekat tempat kerja, bukan cari kerja dekat dengan rumah."

Masa dulu beli memang rasa mahal. Tapi kalau dulu tak beli, memang menyesal.

Di bawah ini saya kongsikan pengalaman saya dan suri beli rumah pertama kami.

Pengalaman Beli Rumah

Gaji saya dan suri 5 tahun lepas jika digabungkan tak sampai RM4,000. Nak kata rendah, mungkin ada yang lebih rendah. Nak kata tinggi, ramai lagi yang lebih tinggi.

Masa awal-awal kerja saya banyak baca buku (juga ebook) tentang kewangan dan hartanah. Kesimpulan mudah yang saya buat, berapa jumlah gaji itu memang penting, tapi berapa yang boleh disimpan daripada gaji itu lebih penting dalam menentukan kecemerlangan kewangan. Dan untuk beli rumah atau melabur hartanah perlu ada kewangan yang kukuh sebagai tapak asasnya.

Gaji tinggi jadi tak cukup kalau banyak bela liabiliti. Gaji rendah tiada masalah kalau masih dapat menyimpan untuk deposit dan bayar ansuran hutang rumah.

Sebelum beli rumah, saya dan suri sewa rumah dengan kadar RM300 sebulan. Di samping itu, kami juga buat bajet khas simpan siap-siap RM900 daripada gaji untuk tabung beli rumah.

Maknanya, RM900 + RM300 = RM1,200. Ini adalah jumlah ansuran yang mampu kami bayar jika membeli rumah.

RM1,200 boleh beli hartanah harga RM240,000 jika tempoh pembiayaan 30 tahun atau RM260,000 jika tempoh pembiayaan 35 tahun.

Pada asalnya kami rancang nak cari dan beli rumah landed pada harga bawah RM200,000. Lagi murah lagi elok.

Lepas tengok beberapa rumah, akhirnya kami berkenan kat rumah teres 2 tingkat berhampiran jalan raya. Tapi harganya lebih RM200,000 sebab corner lot. Kalau rumah tengah harganya dalam RM160,000-180,000. Kami dah pergi tengok beberapa rumah sebelum betul-betul buat keputusan untuk beli. 
Asalnya owner nak jual dengan harga RM275,000. Masa itu saya tak ada kemahiran dan pengalaman lagi, jadi bila minta kurang dapatlah harga RM260,000. Huhu.

Selepas itu timbul pula satu masalah. JPPH bagi penilaian untuk rumah itu RM230,000 sahaja. Ah, sudah.

Memandangkan suri saya pegawai kerajaan, boleh mohon 100% pembiayaan. Tapi lagi RM30,000 kena topup sendiri. Aduh. Nak beli ke tak ni?

Fikir punya fikir, akhirnya beli juga. Patutnya sebelum sign SPA, nego lagi sekali dengan owner. Tapi macam saya kata tadi, tak ada kemahiran dan pengalaman dalam rundingan. Rugi banyak kat situ. Huhu.

Ok, sekarang tarik nafas dulu dalam-dalam. Kemudian hembuskan dengan perlahan. Dah? Jom sambung baca.

Macam mana kami nak dapat duit RM30,000 lebih untuk topup dan kos guaman?

1. Saya dan suri berkahwin pada bulan Jun 2010, sign SPA Disember 2011. Kalau sebulan simpan RM900, setahun dah RM10,000 lebih. Bila dapat bonus, simpan lebih sikit. Nak beli rumah, kena sanggup bersusah.

2. Selain simpan RM900/bulan daripada gaji, ada side income juga sikit-sikit buat tambahan tapi tak konsisten. Baru nak belajar menjual. Hehe.

3. Saya dan suri juga ada simpan emas beberapa puluh gram. Tak banyak pun. Masa nak beli rumah dulu ada yang jual dan ada yang gadai.

4. Keluarkan akaun 2 KWSP. Habis licin. Ada beberapa belas ribu kalau tak silap.

5. Dalam Tabung Haji suri ada sekitar RM8,000. Ini duit simpan sejak suri masih kecik lagi. Daripada simpan sahaja tak buat apa. Baik guna untuk beli rumah kan? Haha.

6. Ayah mentua tawarkan nak pinjamkan duit sebagai backup. Alhamdulillah, dah habis bayar pun.

7. Kalau nak kaya, kena miskin alasan. Kalau nak banyak menyimpan, kena banyak berjimat.

Kami tak ada honeymoon, tak travel, tiada gadjet canggih dan mahal, kat rumah tak ada TV, perabot sekadar ada, jarang beli baju baru, saya tiada kereta hanya berkapcai pergi balik kerja, suri naik kereta Viva sahaja. Dan macam-macam lagi kami buat untuk berjimat.

Tahun lepas ada satu rumah corner lot kat taman ini dijual dengan harga RM540,000. Tapi rumah itu dah renovate dapur ke belakang. Kalau rumah basic macam kami sekarang harganya dalam RM480,000 ada kot.

Dalam tempoh kurang lebih 5-6 tahun ada capital gain RM220,000 ok lah kan? Ibaratnya kami bayar RM1,200, tapi dapat balik RM3,000 setiap bulan dalam bentuk capital gain. Siapa nak bagi kan?

Sebenarnya sejak tahun 1990, harga rumah terus meningkat dan tak pernah jatuh kecuali masa kegawatan ekonomi tahun 1998 dan 1999.

Purata kenaikan harga rumah di Malaysia adalah 6.5% setahun sejak 26 tahun silam.

Jadi jangan tunggu beli rumah, tapi beli rumah dan tunggu.

Syabas dan tahniah saya ucapkan jika anda sanggup baca karangan ini sampai habis. Saya doakan agar Allah permudahkan segala urusan anda dalam usaha membeli rumah. Allahumma amin.

RFS
Masih rider kapcai

MAKAN MAHAL DAN SEDAP SEKALI SEKALA

  • 0
Petang tadi saya kelaparan sebab tak makan tengah hari. Tiba-tiba teringin pula nak makan KFC.

Saya memandu Perodua Alphard ke KFC Nilai Square, dan terus meluru ke lorong drive thru.

Tempah mushroom soup dan Twister. Ada juga nampak Chizza. Tapi kali ini saya tak tergoda. RM10.80 berpindah ke tangan abang cashier.

Mushroom soup KFC boleh tahan rasanya. Di dalamnya ada cebisan ayam goreng tepung yang rangup. Nak cicah dengan roti pun sedap juga. Harganya dalam RM3 sahaja.

Dalam urusan kewangan mahupun pemakanan, tiada masalah sekali sekala makan mahal dan sedap. Yang jadi masalah kalau hari-hari nak makan KFC, McD, Subway, Secret Recipe, Domino atau Pizza Hut. Poket jadi nipis, lemak pula tambah tebal.

Kawal perbelanjaan itu penting dalam kewangan. Jaga pemakanan itu penting untuk kesihatan.

Kita tak nak habiskan banyak duit untuk makan sedap, tapi lepas itu keluar duit pula untuk kuruskan badan. Ramai yang gadaikan kesihatan sebab tak jaga makan.

Rancang kewangan dan jaga kesihatan perlu dibuat bersamaan.

RFS

P/S: Mushroom soup dan Twister itu saya tak habiskan seorang. Tapi share makan dengan suri dan anak-anak. Hehe.