ADAB MEMANDU DI JALAN RAYA

  • 0
Antara adab-adab memandu di jalan raya adalah seperti berikut.

1. Laluan paling kanan adalah untuk laluan kenderaan dengan kelajuan tinggi. Laluan ini juga digunakan untuk memotong.

2. Berikan lampu tinggi kepada kenderaan yang melaju perlahan di lorong paling kanan agar bertukar laluan ke kiri. Kalau kenderaan di depan buat tidak tahu atau tidak perasan, mungkin itulah masanya hon boleh digunakan.

3. Laluan tengah untuk kelajuan sederhana. Jika di lebuh raya untuk kenderaan yang dipandu mengikut had laju.

4. Laluan paling kiri untuk kelajuan yang lebih perlahan dan kenderaan berat/besar.

5. Apabila memandu di lorong paling kanan, sekali-sekala perhatikan kenderaan di belakang yang mungkin melaju tinggi dan hendak memotong.

6. Berikan lampu isyarat apabila hendak bertukar laluan sama ada ke kiri atau ke kanan.

7. Hanya bertukar laluan apabila keadaan selamat, bukannya berharap kenderaan di belakang memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan.

8. Berikan lampu isyarat dalam tempoh masa yang cukup (sekurang-kurangnya 5 saat) sebelum bertukar laluan, bukannya mengejut.

9. Hon diciptakan bukan untuk jadi tunggul kayu. Ia mempunyai fungsi tertentu. Gunakan ia jika terpaksa dan perlu.

Sekian khidmat masyarakat ini disampaikan.

Pandu cermat jiwa selamat.

RFS
Penunggang kapcai
Kadang-kadang jadi pemandu

P/S: Kalau ada yang salah, mohon maafkan dan tolong betulkan. ^_^

PERANCANGAN DAN PENGURUSAN ASET

  • 0
No. 1 apabila sudah cukup kuota, terus tukar jadi no. 2. Tabung kecemasan 6 bulan wajib ada.

No. 2 lagi banyak lagi elok. Kena banyak belajar supaya bijak nak uruskan.

No. 3 sekadar untuk keperluan sahaja. Usah berlebihan.

Lemak badan perlu dijaga agar kekal BMI normal. ;)

RFS

P/S: Sebahagian makna aset yang dinyatakan dalam gambar di atas tidak seperti makna aset bagi sesetengah orang. Bagi sesetengah orang, aset adalah apa sahaja yang membuat duit masuk ke dalam poket. Manakala apa sahaja yang membuat duit keluar poket adalah liabiliti.

NASIHAT BAGI BAKAL PENGANTIN BARU

Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal membina rumah tangga, antara sunnah-sunnah selepas pernikahan adalah seperti berikut ini.

- Suami solat sunat berjemaah dengan isteri, ini amalan sahabat. Buat pada malam pertama.
- Suami pegang ubun-ubun isteri dan baca doa.
- Suami hidang susu untuk isteri.

Ringkasnya semua amalan ini dibuat malam pertama di dalam bilik berdua dengan isteri, BUKAN depan orang ramai.

Amalan suami mencium isteri di hadapan para tetamu, tok kadi, wali dan saksi entah datang dari mana. Jangan tanya saya. -_-

Wallahu ta'ala a'lam.


BELANJA KAHWIN

Belanja kahwin yang paling banyak menelan kos biasanya untuk belanja kenduri dan wang hantaran.
Untuk menjimat perbelanjaan kenduri kahwin, rancang untuk sekalikan majlis nikah dan walimah pada hari yang sama.

Untuk perbelanjaan yang lebih jimat, buat kenduri yang sederhana. Utamakan belanja keperluan seperti makan minum tetamu dan tempat yang selesa.

Kurangkan belanja kehendak seperti mahligai pengantin macam anak raja, pakaian pengantin yang dipakai sehari cuma, kek 7 tingkat, DJ dan sound system konsert Jom Heboh, khidmat juru kamera dan sesi penggambaran macam nak masuk majalah, goodies bag atau bunga telur, sewa kereta mewah dan sebagainya.

Ingat, lagu tema kita adalah Kun Anta. ;)

Perbelanjaan selepas perkhawinan lebih penting daripada perbelanjaan majlis kahwin yang orang kata, "Alah, apa salahnya? Sekali seumur hidup."
_____

Tips berbelanja.
- Ukur baju di badan sendiri.
- Belanja di bawah paras kemampuan, bukannya mengikut kemampuan.
- Bezakan antara keperluan dan kehendak.
- Orang yang membazir bersaudara dengan syaitan. (Surah al-Isra': 27)
- Tidak boros, tidak kedekut, berpada-pada dalam membelanjakan wang. (Surah al-Furqan: 67)
_____

Untuk wang hantaran pula, tukar dengan sesuatu yang nampak lebih bernilai tapi dengan kos yang lebih rendah. Contohnya rumah, kereta, polisi takaful.

Rumah boleh cari yang bawah harga pasaran atau rumah dengan deposit/booking fee yang rendah.
Untuk memiliki kereta hanya perlu bayar sedikit wang muka.  Pastikan kereta mampu milik supaya tidak terbeban dengan ansuran bulanan.

Dengan RM100 sebulan atau RM1200 setahun, seorang anak muda boleh mendapat perlindungan asas sebanyak setengah juta.

Alternatif lainnya sijil ASB, SSP BSN, emas dan sebagainya.

Sekian perkongsian ringkas daripada saya seorang bujang tiga. Mudah-mudahan sedikit sebanyak membantu bakal pengantin dalam membuat persediaan.

RFS

P/S: Jangan suka tayang sweet (kemesraan) suami isteri di media sosial. Orang yang suka sangat tayang sweet di media sosial, di samping banyak mendapat pujian, rumah tangganya juga akan lebih banyak mendapat ujian.

Kehidupan dalam rumah tangga bukannya semua manis-manis belaka. Ada juga masam, sekali-sekala masin dan terkadang pahit. Namun semua itulah yang akan mendewasakan diri dan mematangkan fikiran.

3 CARA BELI RUMAH

  • 0
Nak beli rumah ada 3 cara:

1. Beli rumah baru daripada pemaju. Biasanya entry cost rendah. Tapi installment tinggi sebab selalunya rumah baru mahal-mahal.

Booking fee dalam RM3k-5k. Deposit ada diskaun 5-7%. S&P, legals fee, stamp duty, loan agreement, takaful dan lain-lain selalunya percuma (masuk dalam harga/hutang rumah).


2. Rumah sub sale (terpakai). Entry cost sederhana. Installment pun sederhana mengikut pilihan rumah dan bajet yang ditentukan sendiri.

Deposit 10% memang wajib kecuali bagi kes-kes tertentu di mana hartanah dijual dengan harga di bawah harga pasaran.

Kalau jumpa rumah > 10% bawah harga pasaran dan penjual bersetuju tak perlu bayar penuh 10% deposit (bayar booking fee sahaja), maka entry cost kadang-kadang lebih rendah berbanding entry cost beli rumah daripada pemaju.

Baca: Bagaimana cara beli rumah 2 tahun sekali.


3. Rumah lelong. Entry cost agak tinggi tapi installment rendah.

Baca: Tips membeli rumah lelong

Kenapa entry cost tinggi? Sebab wajib buat bank draft 10% dari harga rizab, duit topup deposit kalau harga naik masa lelongan, kos baik pulih sebelum rumah boleh ditempati.

Kenapa installment rendah? Sebab selalunya rumah lelong dijual dengan harga di bawah harga pasaran. Kalau dijual ikut harga pasaran, lebih baik beli rumah sub sale.

Baca: Kesilapan pembeli rumah lelong yang wajib dielakkan


RFS

P/S: Setakat ini saya masih belum berjaya beli rumah melalui lelongan. Persaingan agak sengit. :D

Baca: Berapa harga rumah paling mahal yang mampu saya beli?

DUIT RAYA ANAK

  • 0
Duit raya anak adalah duit anak. Kita hanya pemegang amanah. Jangan pecah amanah, guna duit anak tanpa kebenaran daripada mereka.

Anak anda banyak dapat duit raya? Didik mereka untuk simpan/labur sebahagian duit itu. Kalau dapat simpan/labur semua pun elok juga.

Ramai orang dewasa tidak mampu menyimpan secara konsisten kerana tidak mendapat ilmu dan pengalaman menguruskan kewangan sejak awal usia.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Beberapa tempat yang boleh anda pertimbangkan untuk meletakkan duit raya anak adalah seperti berikut:

1. Tabung haji
2. ASB
3. Akaun simpanan emas
4. Emas/perak fizikal
5. Dana pendidikan (amanah saham/takaful)
6. SSPN
7. Sijil Simpanan Premium BSN
8. AHB
9. Akaun simpanan tetap

Jadi, yang mana satu pilihan anda?

RFS

10 NASIHAT TERBAIK TENTANG WANG

  • 0
Kira-kira enam bulan yang lepas, saya dan isteri memutuskan untuk ke Utara Georgia iaitu ke kediaman yang kami beli sebagai rumah percutian.

Kami memutuskan untuk membuat sedikit ubah suai kepada rumah itu dan akan menggunakannya sebagai kediaman sepanjang tahun ini.

Suatu pagi semasa saya ingin masuk ke dalam kereta, 3 orang pekerja berhenti seketika dan merenung kepada saya dari atas ke bawah.

Saya berhenti dan bertanya jika semuanya ok dan salah satu daripada mereka itu berkata,

"Ini tidak adil. Anda mempunyai rumah yang selesa dan sebuah kereta yang bagus sedangkan kami terpaksa melakukan kerja berat dengan jumlah gaji yang lebih sedikit daripada gaji minimum."

Saya mendekati lelaki itu dan akhirnya kami berbual tentang membina kekayaan selama lebih daripada satu jam.

Saya berkongsi kepada mereka bahawa hidup tidak selalu bernasib baik. Pada satu ketika dahulu saya pernah berhutang sebanyak USD50,000 dan tidak tahu bagaimana saya dapat bebas daripada belenggu hutang itu.

Selepas perbualan berakhir, lelaki itu menjabat tangan dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi pandangan.

Diringkaskan cerita, pagi ini ketika saya hendak masuk ke dalam kereta saya, seorang lelaki memandu sebuah lori berhenti di tepi jalan di hadapan rumah saya.

Lelaki itu menjerit kepada saya, "Tuan Siebold, saya mengambil (mengamalkan) nasihat tuan dan memulakan syarikat saya sendiri. Saya mempunyai lima pekerja yang bekerja untuk saya dan perniagaan semakin pesat berkembang. Saya sekeluarga merasakan kebebasan yang kami tidak pernah terfikirkan sebelumnya."

Dia meneruskan, "Teruskan berkongsi kata-kata dan kebijaksanaan Tuan kepada orang lain."

Jadi, dengan melihat  orang ini mampu mengubah hidupnya, kini tiba masanya bagi saya untuk berkongsi nasihat dalam perbualan kami enam bulan yang lepas.

1. Dalam ekonomi pasaran terbuka, sesiapa sahaja boleh membuat wang sebanyak mana yang dia mahu.

2. Latar belakang, taraf pendidikan, dan IQ anda tidak relevan apabila masuk perkara menghasilkan wang.

3. Cara yang paling cepat untuk membuat wang adalah dengan menyelesaikan masalah. Semakin besar masalah yang anda selesaikan, semakin banyak wang yang akan anda hasilkan.

4. Jangan layan kata-kata negatif yang memberitahu anda bahawa hidup penuh dengan kesusahan dan anda perlu terima seadanya kehidupan anda sekarang.

5. Sekiranya anda mengharapkan untuk membuat lebih banyak wang, anda perlu berfikir lebih besar. Sekiranya anda boleh bayar USD100 sebulan sewa rumah, kenapa tidak boleh bayar USD1,000 sebulan? Kenapa tidak mampu beli rumah berharga USD1,000,000? Kenapa perlu downgrade?

6. Kurangkan rasa ketakutan dan kekurangan. Kemudian mula melihat wang dalam setiap perkara yang baik: kebebasan, peluang dan kelimpahan.

7. Menjadi kaya bukannya satu keistimewaan. Menjadi kaya adalah hak. Jika anda mencipta nilai yang besar untuk orang lain, anda mempunyai hak untuk menjadi kaya seperti yang anda mahu.

8. Jangan tunggu kapal lalu di hadapan anda. Anda tidak akan dicari, diselamatkan atau dijadikan kaya oleh orang lain. Sekiranya anda mahu duit banyak, bina kapal anda sendiri. Tiada seorangpun akan datang untuk selamatkan anda. Itu adalah realiti.

9. Berhenti bimbang tentang kehabisan wang dan beri tumpuan kepada bagaimana untuk membuat lebih banyak wang. Selalu bimbang tentang wang bukan cara untuk hidup, tapi bina impian dan harapan terhadap kekayaan.

10. Berhenti memberitahu diri anda bahawa menjadi kaya adalah sukar dan di luar kawalan anda.
Hakikatnya untuk menghasilkan wang anda perlu bekerja dan pekerjaan itu ada dalam kawalan anda.

Kisah dan 10 nasihat ini adalah perkongsian oleh self-made millionaire Steve Siebold yang juga penulis buku “How Rich People Think”.

TIPS MENJELANG MUSIM PERAYAAN

  • 0
Beberapa perkara yang perlu dielakkan semasa musim perayaan.

1. Tukar kereta baru kerana mahu bermegah apabila pulang kampung.
2. Beli kuih-muih penuh semeja sebab mahu menunjuk-nunjuk.
3. Tukar perabot baru supaya tetamu terpegun apabila bertandang ke rumah.
4. Pakaian baru mengikut fesyen tapi tak menepati kehendak syariat kerana ingin tampil anggun bergaya.
5. Bersalam-salaman antara bukan mahram kerana mahu nampak mesra.
6. Menunda-nunda solat kerana mahu bersilaturrahim dan menonton tv.
7. Memberi angpau uang banyak kerana mahu digelar orang ada-ada.
8. Sibuk melayan telefon/tab dan tv sampai tetamu rasa terbiar

Bebarapa tips berbelanja pula adalah seperti berikut.
- Ukur baju di badan sendiri.
- Belanja di bawah paras kemampuan, bukannya mengikut kemampuan.
- Bezakan antara keperluan dan kehendak.
- Orang yang membazir bersaudara dengan syaitan. (Surah al-Isra': 27)
- Tidak boros, tidak kedekut, berpada-pada dalam membelanjakan wang. (Surah al-Furqan: 67)

RFS