ORANG BERJAYA ADALAH...

  • 0
Orang berjaya bukannya mereka yang ada pangkat tinggi, banyak harta atau hidup senang. 

Bukan pula mereka yang pandai buat duit, berpendapatan tinggi atau ramai followers. 

Tapi orang berjaya adalah mereka yang bila dengar azan terus ke masjid/surau untuk solat berjamaah.

Mereka adalah orang yang segera memenuhi seruan,  "Hayya 'ala al-solah." Mari dirikan solat. "Hayya 'ala al-falah." Mari menuju kejayaan. 

Solat 5 waktu cepat atau lambat tetap wajib dikerjakan. Kalau tinggal, balasannya neraka. Jadi daripada buat lewat, lebih baik buat di awal waktu dan secara berjamaah. Kan? 

Kalau lah... 

Solat seorang = 1 juta
Solat jamaah = 27 juta

Kebanyakan orang akan pilih yang mana? 

Kita semua tahu jawapannya. 

Tapi yang mahu dan mampu serta bersungguh dapatkan tawaran 27 kali ganda itu hanya 2-3 saf sahaja. Apatah lagi solat subuh. 

Padahal solat subuh berjamaah itu ganjarannya seperti solat sepanjang malam. Solat sunat fajar pahalanya lebih baik (bukan sama, tapi lebih baik) daripada dunia dan segala isinya.

Akhir sekali, jika kita beribadah kerana Ramadan, sesungguhnya Ramadan telah pergi. Jika kita beribadah kerana Tuhan Ramadan, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan Maha Kekal Abadi. 

RFS

P/S: Kalau tak sempat buat solat fajar sebelum solat subuh, boleh buat selepas subuh dengan syarat tertentu. Bab ini mohon masing-masing buat kajian lagi supaya lebih yakin dalam beramal.

JADI BAPA TUNGGAL

  • 1
Hari ini, 8 tahun lepas saya bergelar sebagai seorang suami. Hari ini saya adalah seorang suami sekali gus ayah kepada 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan.

Namun sejak isteri berpantang kat rumah mentua, bila weekdays sahaja saya akan jadi macam bapa tunggal dengan 3 orang anak.

Anak pertama (6 tahun), kedua (4 tahun) dan ketiga (2 tahun) duduk dengan saya sebab mereka bersekolah (tadika dan taska) di Nilai.

Bila hujung minggu atau cuti, baru saya dan anak-anak balik ke rumah mentua untuk bersama dengan isteri dan baby.

Minggu ini nak cukup sebulan saya hidup macam bapa tunggal. Rasa sungguh mencabar dan kena banyak bersabar. Hehe...

Bangun pagi-pagi kena sediakan sahur sendiri. Kalau bangun dalam masa kecederaan nak dekat subuh, dapat teguk air sahaja pun alhamdulillah. Itupun ada 3-4 kali juga saya terlepas sahur. Huhu...

Nak solat subuh berjamaah kena tinggal sekejap anak-anak yang sedang lena. Kalau kebetulan anak bangun dan nak ikut, terpaksa bawa sekali.

Balik surau memang tak ada masa rehat. Kejut anak sulung supaya mandi. Iron pakaian sendiri dan anak-anak. Sambil siapkan barang anak-anak, curi masa untuk siapkan diri sendiri. Mandikan anak-anak. Kadang-kadang suapkan makan juga. Dah selesai urusan anak-anak, hantar pula mereka ke sekolah. Selepas itu saya terus bertolak ke tempat kerja di Bangi. Ini adalah kesibukan saya sebagai bapa tunggal di sebelah pagi.

Balik kerja dah asar. Selepas asar dapat rehat sekejap. Selepas itu kesibukan kembali berdatangan.

Ambik anak kat sekolah, beli makan untuk anak-anak dan sendiri nak berbuka. Kadang-kadang buka puasa kat surau atau masjid, tapi sebelum maghrib memang dah kena suap anak-anak makan, barulah dapat berbuka dengan tenang. Sebelum itu on mesin basuh dulu.

Kalau berbuka kat masjid, kena bawa anak-anak sekali. Duduk kat masjid sampai habis tarawih atau witir.

Kalau masjid yang ada nursery macam Masjid Hasanah Bangi dan Masjid Bandar Seri Putra, tenang sikit nak bawa anak-anak. Kalau masjid dan surau yang tak ada nursery, dapat solat isyak berjamaah pun dah ok sangat. Sesekali tarawih dan witir sambung kat rumah sahaja.

Nak masuk tidur, anak ketiga ada perangai tersendiri. Kalau ok, saya teman sekejap sahaja dah tidur. Tapi kalau sedang meragam, macam-macam kena buat nak layan kerenahnya. Huhu...
Begitulah serba serbi kehidupan rumah tangga. Adakalanya suka dan bahagia, adakalanya duka dan derita. Bukan semua smooth sahaja. Ini adalah realiti, bukannya fantasi seperti yang selalu kita lihat di kaca tv atau news feed FB.

Kahwin bukan sekadar cinta dan dating halal. Bangga dapat tunjuk sweet, boleh pegang tangan pasangan ke hulu ke hilir, suap makan ke mulut pasangan, buat adegan romantik, snap kemudian upload di media sosial dan yang sewaktu dengannya.

Kalau kita tengok perkara yang indah-indah daripada kehidupan kawan yang telah kahwin, sebenarnya itu semua hanya apa yang mereka mahu perlihatkan kepada dunia.

Kalau nak, kita pun boleh juga nak buat macam itu. Tapi bila fikir-fikir semula, kurang manfaatnya. Malu pun ada. Haha...

Bila dah kahwin kena bersedia dengan bab mandikan dan tukarkan lampin anak, bilas dan basuh baju yang kena kencing dan najis, makan minum tumpah kat sofa dan lantai kena lap dan mop, kemaskan mainan anak berselerak sampai nak jalan pun susah dan macam-macam lagi.

Untuk menjayakan kehidupan rumah tangga, rasa CINTA sahaja tidak cukup. Ia perlu disulami dengan rasa TANGGUNG JAWAB. Dan ini adalah beban yang sungguh berat. Hanya lelaki sahaja yang sanggup memikulnya.

Kata kunci yang paling utama adalah SABAR dan SYUKUR. Bersabar apabila diuji dengan kesusahan. Dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah, sedang dan akan Allah kurniakan.

Saya sendiri baru kahwin 8 bulan, eh silap, 8 tahun. Perjalanan masih jauh. Banyak lagi perlu belajar. Sentiasa perlu latih diri supaya bersabar dengan pasangan dan anak-anak.

Kena ringankan mulut ucapkan kata-kata mesra dan sayang. Tangan kena rajin belai, peluk pasangan dan anak-anak. Dan kadang-kadang tolong urut dan picit juga.

Panjang pula perkongsian kali ini. Harapnya sedikit sebanyak ada  manfaat bagi yang membaca. Tahniah saya ucapkan kepada anda yang baca sampai habis.

Akhir sekali, mohon doakan rumah tangga saya kekal bahagia hingga ke syurga. Terima kasih.

RFS
Lapan tahun membina syurga dalam rumah tangga

P/S: Dulu masa bertunang, saya rancang nak nikah pada hari Sabtu, 12hb Jun 2010. Tapi Disember 2009 saya putus tunang. Akhirnya saya nikah pada hari Jumaat, 11hb Jun 2010. Awal sehari daripada perancangan asal. Hehe...

Nak tahu macam mana saya putus tunang tapi akhirnya menikah juga? Jemput baca dalam komen kat bawah.