Showing posts with label Kahwin. Show all posts
Showing posts with label Kahwin. Show all posts

NASIHAT BAGI BAKAL PENGANTIN BARU

  • 0
Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal membina rumah tangga, antara sunnah-sunnah selepas pernikahan adalah seperti berikut ini.

- Suami solat sunat berjemaah dengan isteri, ini amalan sahabat. Buat pada malam pertama.
- Suami pegang ubun-ubun isteri dan baca doa.
- Suami hidang susu untuk isteri.

Ringkasnya semua amalan ini dibuat malam pertama di dalam bilik berdua dengan isteri, BUKAN depan orang ramai.

Amalan suami mencium isteri di hadapan para tetamu, tok kadi, wali dan saksi entah datang dari mana. Jangan tanya saya. -_-

Wallahu ta'ala a'lam.


BELANJA KAHWIN

Belanja kahwin yang paling banyak menelan kos biasanya untuk belanja kenduri dan wang hantaran.
Untuk menjimat perbelanjaan kenduri kahwin, rancang untuk sekalikan majlis nikah dan walimah pada hari yang sama.

Untuk perbelanjaan yang lebih jimat, buat kenduri yang sederhana. Utamakan belanja keperluan seperti makan minum tetamu dan tempat yang selesa.

Kurangkan belanja kehendak seperti mahligai pengantin macam anak raja, pakaian pengantin yang dipakai sehari cuma, kek 7 tingkat, DJ dan sound system konsert Jom Heboh, khidmat juru kamera dan sesi penggambaran macam nak masuk majalah, goodies bag atau bunga telur, sewa kereta mewah dan sebagainya.

Ingat, lagu tema kita adalah Kun Anta. ;)

Perbelanjaan selepas perkhawinan lebih penting daripada perbelanjaan majlis kahwin yang orang kata, "Alah, apa salahnya? Sekali seumur hidup."
_____

Tips berbelanja.
- Ukur baju di badan sendiri.
- Belanja di bawah paras kemampuan, bukannya mengikut kemampuan.
- Bezakan antara keperluan dan kehendak.
- Orang yang membazir bersaudara dengan syaitan. (Surah al-Isra': 27)
- Tidak boros, tidak kedekut, berpada-pada dalam membelanjakan wang. (Surah al-Furqan: 67)
_____

Untuk wang hantaran pula, tukar dengan sesuatu yang nampak lebih bernilai tapi dengan kos yang lebih rendah. Contohnya rumah, kereta, polisi takaful.

Rumah boleh cari yang bawah harga pasaran atau rumah dengan deposit/booking fee yang rendah.
Untuk memiliki kereta hanya perlu bayar sedikit wang muka.  Pastikan kereta mampu milik supaya tidak terbeban dengan ansuran bulanan.

Dengan RM100 sebulan atau RM1200 setahun, seorang anak muda boleh mendapat perlindungan asas sebanyak setengah juta.

Alternatif lainnya sijil ASB, SSP BSN, emas dan sebagainya.

Sekian perkongsian ringkas daripada saya seorang bujang tiga. Mudah-mudahan sedikit sebanyak membantu bakal pengantin dalam membuat persediaan.

RFS

P/S: Jangan suka tayang sweet (kemesraan) suami isteri di media sosial. Orang yang suka sangat tayang sweet di media sosial, di samping banyak mendapat pujian, rumah tangganya juga akan lebih banyak mendapat ujian.

Kehidupan dalam rumah tangga bukannya semua manis-manis belaka. Ada juga masam, sekali-sekala masin dan terkadang pahit. Namun semua itulah yang akan mendewasakan diri dan mematangkan fikiran.

ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | USTAZ BERPOLIGAMI

  • 0
Bismillah.
1. Poligami telah dilakukan dan diterima oleh tamadun manusia sejak sekian lama sebelum Nabi SAW lahir ke dunia.

2. Apabila Nabi SAW diutuskan dan syariat diturunkan, Islam turut mengatur perkhawinan sama ada berkahwin satu (yang sebelumnya mengikut kaedah jahiliyyah) ataupun perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada seorang wanita (yang mana sebelumnya perempuan juga dibenarkan berkahwin dengan lebih daripada seorang lelaki dan tidak terhad kepada 4 orang sahaja).

3. Mutakhir ini, isu poligami adalah antara perkara yang agak sensitif dan dianggap negatif. Ini kerana bilangan lelaki yang berpoligami tidak ramai dan daripada jumlah yang tidak ramai itu pula kebanyakannya dilihat, dibaca dan didengar bermasalah. Sekiranya ada contoh poligami yang berjaya, jumlahnya sangat sedikit dan kisahnya tidak diketahui oleh khalayak.

4. Industri filem, drama dan novel sedikit sebanyak turut menyumbang kepada masalah poligami dipandang serong oleh sebahagian orang apabila lebih memilih untuk membawa kisah poligami bermasalah dalam jalan cerita secara tidak adil.

5. Ketika ada seorang ustaz berpoligami, sebahagian orang (dalam point no. 3 dan 4) menganggap bahawa poligami ustaz itu berpunca daripada sesuatu masalah dan akan berakhir dengan bermasalah juga seperti kebanyakan kes poligami yang mereka ketahui.

6. Saya tidak khuatir apabila seorang ustaz yang saya hormati berpoligami sekiranya dilakukan dengan cara yang baik dan menepati syariat. Sekiranya kita kasihan dengan isteri pertama beliau, beliau tentu lebih kasih dan kasihan terhadap isteri beliau dengan jalan yang beliau pilih.

7. Saya peribadi berpandangan adalah baik bagi para ustaz yang berkemahuan dan berkemampuan untuk melakukan poligami supaya menjadi tauladan yang baik bagi umat serta mengubah pandangan orang ramai bahawa bukan smua poligami seperti yang mereka bayangkan.

8. Sekiranya mahu dibuat perbandingan, tidak sedikit juga orang yang berkahwin satu namun bermasalah sehingga menyumbang kepada jumlah perceraian 3 pasangan setiap jam. Namun kerana perkara ini dianggap telalu biasa berbanding poligami yang agak luar biasa, maka hal ini dianggap sepi.

9. Setiap orang boleh memilih sama ada hendak bermonogami (berkahwin satu sahaja) ataupun berpoligami tanpa perlu mempersoalkan pilihan orang lain selagi jalan yang ditempuh menepati kehendak syariat.

10. Perempuan beriman dan memahami syariat tidak akan menentang poligami. Begitu juga lelaki yang beriman dan memahami syariat tidak akan menyalahgunakan poligami serta sedaya upaya untuk berlaaku adil dan tidak menzalimi isteri-isterinya sekiranya berpoligami.

Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.

P/S: Hadith yang menyatakan bahawa wanita yang mengizinkan suaminya berpoligami akan diberikan ganjaran payung emas di syurga adalah hadith palsu. Sesiapa yang menyebarkan hadith ini bermakna dia sedang menempah sebuah tempat duduk di neraka. (Mafhum hadith) Kecuali sekiranya dia bertaubat. Wallahu ta'ala a'lam.

P/P/S: Sekiranya saya ditanya apakah saya tidak mahu berpoligami? Sehingga kini saya masih belum terfikir apatah lagi bercadang mahu berpoligami. Kenapa? Kerana ketika ini pun saya sudah begitu berat menggalas cinta daripada suri saya. :)

ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | SATU PASANGAN BERCERAI SETIAP 20 MINIT SEKALI

  • 0
Bismillah.
1. Perceraian adalah perkara halal namun begitu dimurkai oleh Allah SWT. (Mafhum hadith)

2. Sebelum perceraian terpaksa dipilih sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah rumah tangga, Islam menagajarkan agar kedua belah pihak ataupun wakil mereka perlu mencari dan mencuba jalan lain terlebih dahulu. (al-Nisa: 35)

3. Perceraian berpunca daripada krisis yang berlaku dalam rumah tangga. Krisis rumah tangga pula berpunca daripada pelbagai sebab.

4. Antara punca utama perceraian adalah disebabkan masalah kewangan. Masalah ini biasanya bermula apabila seseorang berkahwin menggunakan wang daripada pembiayaan/pinjaman peribadi. Dan boleh jadi sebelum ini dia telahpun menanggung hutang belajar dan kenderaan. Masalah ini boleh dielakkan sekiranya dia belajar dan mengamalkan pengurusan kewangan sejak sebelum berkahwin lagi.

5. Antara penyebab perceraian juga adalah krisis keimanan. Berapa ramai antara yang bercerai, solat mereka sekian lama telah terabai. Hakim, kaunselor dan pegawai berkenaan yang menguruskan kes perceraian biasanya sedia maklum tentang perkara ini. Jika seseorang sanggup mengabaikan kewajipan terhadap Allah SWT, apatah lagi tanggungjawabnya kepada makhluk (pasangannya). Oleh itu, Nabi SAW sejak awal menasihatkan agar umatnya memilih pasangan atas dasar kualiti agamanya.

6. Di samping itu masalah komunikasi antara suami isteri turut menyumbang kepada masalah perceraian ini. Manusia memiliki fikiran dan perasaan. Lelaki ada ego yang perlu diraikan manakala perempuan ada emosi yang dibelai. Perkara itu hanya dapat terpenuhi dengan komunikasi yang baik dan berkesan sama ada komunikasi verbal (seperti pujian, dorngan dan galakan) mahupun non verbal (seperti ciuman, pelukan dan layanan mesra).

7. Perceraian mungkin boleh menyelesaikan sebahagian masalah, namun perceraian juga boleh menimbulkan pelbagai masalah lainnya. Apatah lagi sekiranya pasanga yang bercerai telahpun dikurniakan zuriat oleh Allah SWT.

8. Suami menanggung kewajipan memberi tempat tinggal dan menafkahi isteri yang diceraikannya (bagi talaq raj'i) sepanjang masa 'iddah. (al-Talaq: 1). Sekiranya isteri diceraikan ketika sedang mengandung, maka 'iddahnya sehingga isetrinya bersalin. Apabila isterinya itu menyusukan dan menjaga anaknya, maka suami perlu pula menanggung kewajipan menafkahi anaknya itu. Ini antara masalah yang turut perlu difikirkan oleh suami yang bercadang hendak menceraikan isterinya. 

Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.

ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | HANTARAN TINGGI

  • 0
Bismillah.
1. Hantaran adalah adat, bukannya syariat. Tiada yang salah dengan adat selagi masih menepati kehendak syariat.

2. Hantaran akan diberikan kepada bakal isteri, bukan kepada ibu bapanya. Sepatutnya beliaulah yang paling layak menentukan kadarnya. Dan hantaran tidak sepatutnya digunakan oleh ibu bapa bagi menampung belanja perkahwinan anak perempuan mereka, kecuali dengan persetujuannya.

3. Ibu bapa bakal isteri turut perlu bersedia daripada segi kewangan apabila hendak melangsungkan perkahwinan anak perempuan mereka dan bukannya mengharapkan hantaran bakal suami anak perempuan mereka.
RM10k dianggap masih tinggi oleh sebahagian pemuda, namun dianggap kadar paling rendah yang boleh ditetapkan oleh sebahagian ibu bapa.
4. Tiada masalah dengan hantaran yang tinggi selagi bakal suami mampu. Kadar kemampuan seseorang adalah berbeza. Oleh itu, ada baiknya kadar hantaran dibincangkan bersama antara bakal pasangan suami isteri beserta pihak keluarga.

5. Bagi sesetengah ibu bapa permintaan wang hantaran yang agak tinggi adalah sebagai komitmen dan bukti bahawa bakal menantu lelaki mereka in syaa Allah mampu menyara anak perempuan mereka nantinya.

6. Bakal suami tidak perlu menutup ketidakmampuan diri bagi memenuhi permintaan kadar hantaran yang dianggap tinggi dengan mengeluh dan merungut. Adalah lebih baik seawal yang boleh belajar dan mengamalkan pengurusan kewangan sebagai persediaan bagi menghadapi perbelanjaan yang agak besar apabila hendak berkahwin nanti.

7. Jalan singkat yang biasa diambil oleh bakal suami bagi memenuhi permintaan hantaran yang tinggi adalah dengan membuat pembiayaan/pinjaman peribadi. Biasanya mereka ini sebelumnya telahpun menanggung hutang belajar dan kenderaan.

8. Berkahwin adalah ibadah seperti mana haji adalah ibadah bagi yang mampu menunaikannya. Seseorang tidak disuruh berhutang untuk berhaji kerana berhutang bagi tujuan itu adalah tanda belum mampu daripada sudut kewangan. Begitu pula dengan berkahwin. Sekiranya masih belum mampu, teruskan usaha sambil berpuasa seperti nasihat Nabi SAW.
Perkara ini boleh berlaku sekiranya bakal menantu lelaki memiliki ciri-ciri bakal penghuni syurga dan bersedia membawa sekali bakal isterinya ke sana bersama-sama. :)
Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.