Showing posts with label MTNP. Show all posts
Showing posts with label MTNP. Show all posts

MEMBELI KARPET BARU DI NILAI 3

  • 1
Nama saya ditulis Rais Khan dengan tulisan Urdu
Baru-baru ini saya dan suri serta anakanda kami Qawwam ke Nilai 3 bagi membeli karpet baru bagi menggantikan tikar buluh yang telah digunakan selama lebih 3 tahun. :)

Kami memilih kedai yang nampak sunyi, sedang tidak ramai dikunjungi pembeli supaya dilayan oleh pekedai dengan cepat dan selesa. Keatika kami singgah di kedai yang kami pilih, hanya ada seorang pekerja (pekerja lain sedang solat katanya) yang sedang melayan seorang pembeli yang lain. Sambil menunggu, kami memerhatikan beberapa jenis karpet dengan pelbagai saiz.

Apabila tiba giiran kami dilayan oleh pekerja kedai, kami memulakan dengan bertanyakan harga dan maklumat lanjut tentang karpet yang kami minati. Ketika sedang berbincang dengan pekerja kedai, pada awalnya beliau menawarkan karpet saiz kira-kira 9x7 kaki tanpa tanda harga pada harga RM500. Selepas berbincang-bincang lagi akhirnya beliau menawarkan karpet saiz 11x9 kami dengan tanda harga RM650 juga pada harga RM500.

Oh! Saiz lebih besar dengan harga yang sama, RM500. Walau bagaimanapun, jenis dan ketebalan karpet sedikit berbeza. Karpet saiz kecil kelihatan sedikit lebih tebal.

Akhirnya saya dan suri sepakat memilih karpet bersaiz lebih besar namun belum bersepakat dengan harga RM500 kepada pekerja kedai. :D

Misi tawar-menawar bagi mendapat harga yang lebih murah baru sahaja bermula.

Ketika sedang melakukan proses tawar-menawar harga, pekerja kedai menyebut kira-kira seperti, "Saya kasih abang harga banyak murah sebab saya tengok abang ikut sunnah, ada janggut." Dalam hati saya terdetik, "Dalam sunnah ada kejayaan."

Akhirnya kami berbual di luar tajuk jual beli karpet, ini sebenarnya boleh jadi salah satu strategi juga dalam melakukan tawar-menawar harga. 

Selanjutnya saya mengetahui bahawa beliau berasal dari Pakistan, bahasa ibunda beliau Pushtun namun begitu beliau boleh juga bercakap Urdu. Kebanyakan masyarakat Pakistan di Malaysia yang berbahasa Pushtun berniaga karpet. Beliau telah berjaya menghafaz setengah isi kandungan al-Quran. Ma syaa Allah. Nama beliau ialah Tuan Ghani Rahman.

Kembali pada perbincangan sebelumnya, harga. Setelah saya melancarkan strategi khas, Tuan ghani Rahman mengambil dan menekan-nekan tombol kalkulator kemudian menunjukkan harga terakhir yang boleh beliau berikan iaitu RM4xx. Wah! Daripada harga asal RM650, turun jadi RM500 dan akhir sekali menjadi RM4xx. Alhamdulillah!

Saya bertanya kepada beliau adakah beliau mendapat untung dengan harga sebegitu murah? Beliau mengatakan, ada untung sedikit. Sekiranya beliau cakap tidak ada untung itu tipu, ada untung tapi sedikit. Dan beliau bersetuju memberikan harga tersebut.

Alhamdulillah. Saya dan suri sepakat dengan harga yang ditawarkan. Resit ditulis (ada tambahan beberapa barang lain), wang diberikan. Proses jual beli selamat dilakukan.

Sebelum kami pulang, Tuan Ghani Rahman memberikan kad bisnes kedai dan menuliskan nombor h/p beliau di sebaliknya sebagai rujukan sekiranya saya bercadang hendak membeli karpet lagi pada masa yang akan datang.
Petunjuk jalan ke kedai karpet Tuan Ghani Rahman
Sebagai membalas layanan mesra, jasa baik dan tawaran harga yang begitu berpatutan daripada Tuan Ghani Rahman, saya menuliskan perkongsian pengalaman ini. Mana tahu ada rakan-rakan yang bercadang hendak membeli karpet juga di Nilai 3. Dengan menunjukkan gambar resit dan kad bisnes ini, Tuan Ghani Rahman mungkin bersedia memberikan harga istimewa pula kepada Anda. Tiada salahnya mencuba. :)

Kedai Karpet S.A. Marketing Sandakan Carpets Sdn. Bhd tempat Tuan Ghani Rahman bekerja berada di No.9, Jalan Nilai 3/1, Kawasan perindustrian Nilai 3.

PENGENALAN TENTANG MTNP

  • 0


Logo


Sejarah


Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) adalah sebuah Institusi Pengajian Swasta milik penuh Yayasan Pahang. Tahfiz Pahang Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat milik penuh Yayasan Pahang yang dipertanggungjawabkan mentadbir dan menguruskan MTNP sepenuhnya. Institusi ini beroperasi di kampus yang serba lengkap di kawasan seluas 3 ekar, bersebelahan Kompleks Yayasan Pahang.


Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang ditubuhkan pada tahun 1996 pada mulanya berada di bawah penyeliaan Jabatan Agama Islam Pahang. Premis operasi awalnya menggunakan tingkat atas Masjid Negeri dan kemudian berpindah ke empat buah rumah teres yang disewa di Jalan Bukit Ubi, Kuantan.


Bermula 1 Jun 2006, Yayasan Pahang telah mengambil alih sepenuhnya MTNP yang kemudiannya beroperasi di kampus baru sekarang ini di Jalan Tanjung Lumpur, Kg. Peramu, Kuantan.



Misi, Visi dan Matlamat


Misi

Membangunkan modal Insan yang cemerlang, sepadu, seimbang serta berkeupayaan tahap tinggi berasaskan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah untuk menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang profesional memenuhi keperluan bangsa dan negara.


Visi

Maahad ini menjadi institusi terkemuka di Malaysia, terkenal dengan pembinaan kecemerlangan modal insan yang sepadu dan seimbang berasaskan ilmu Wahyu dan Alamiyah dalam seluruh potensi keinsanan bagi melahirkan kualiti insan sebagai Hamba Allah dan Khalifah Allah di muka bumi.


Matlamat

Melahirkan golongan hafiz yang berkelayakan profesional serta menguasai teraju kepentingan agama, bangsa dan negara di masa hadapan. Melahirkan golongan hafiz profesional yang menguasai hablu min Allah (hubungan dengan Allah) dan hablu min al-nas (hubungan sesama manusia) seperti tuntutan al-Quran. Melahirkan golongan profesional yang mampu menggarap Islam sebagai sau sistem praktikal untuk menyelesaikan seluruh persoalan kehidupan insan melalui kajian dan analisis saintifik secara profesional yang membuka hati nurani manusia dan alam untuk berkasih sayang dan keamanan alam sejagat.



Key Result Area MTNP


Kecemerlangan akademik

Kecemerlangan hafazan

Kecemerlangan sakhsiah diri



Laman Web Rasmi MTNP


LAWATAN MA RIAB KE MTNP

  • 0
Selasa, 26 Oktober 2010 (semalam) sekitar pukul 12 tengah hari, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mendapat kunjungan dari Madrasah 'Aliyah (MA) Ruhul Islam Anak bangsa (RIAB), Aceh Besar, Nanggroe Aceh Darussalam, Indonesia. Rombongan pelawat terdiri dari 12 orang guru pengiring dan 80 orang lebih pelajar Tingkatan 6.

Setakat ini, ini adalah sekolah paling jauh yang pernah datang melawat ke MTNP. Para pelawat menempuh perjalanan ratusan atau bahkan mungkin ribuan batu untuk sampai ke MTNP. Ini menjadi suatu kebanggaan dan penghormatan bagi MTNP dan juga MA RIAB itu sendiri.
Klik pada gambar untuk saiz lebih besar
Kerana saya adalah alumni MA RIAB (ehm.. ehm..), saya telah mendapat amanah untuk menyambut dan mempengerusikan majlis taklimat. Sesi taklimat dikendalikan oleh KPP HEP MTNP, Ustaz Mohd Lafzul Bin Muda. Turut menjayakan sesi taklimat En. Mohd Izuan (sound system), En. Megat Azlan (video montaj dan slide) dan Cikgu Amirun (photographer).
Setelah sesi taklimat, tetamu dihidangkan dengan jamuan makan di dewan makan MTNP. Kemudian setelah menunaikan solat, mereka dibawa melawat persekitaran MTNP. Akhirnya setelah sesi penggambaran di sekitar MTNP, tetamu meneruskan perjalanan ke destinasi lain yang telah diaturkan.
Semoga kunjungan silaturahim ini mendapat rahmat, berkat dan redha Allah serta membuahkan pengajaran dan pengalaman yang berharga bagi kedua-dua belah pihak khasnya dan umat Islam amnya. Allahumma amin!