Showing posts with label Hartanah. Show all posts
Showing posts with label Hartanah. Show all posts

PENGALAMAN BELI RUMAH

  • 0
Saya pernah duduk menyewa. hidup menyewa itu banyak suka dukanya. Anda yang pernah dan masih menyewa tentu faham dan ada pengalaman sendiri. Kan?

Bulan Ogos 2012 adalah kali pertama saya dan suri berpindah masuk ke rumah sendiri. Rumah teres 2 tingkat di Bandar Baru Nilai.

Kenapa beli rumah kat Nilai? Sebab suri saya mengajar kat USIM.

Ada seorang mentor Cina pernah pesan, "Cari rumah dekat tempat kerja, bukan cari kerja dekat dengan rumah."

Masa dulu beli memang rasa mahal. Tapi kalau dulu tak beli, memang menyesal.

Di bawah ini saya kongsikan pengalaman saya dan suri beli rumah pertama kami.

Pengalaman Beli Rumah

Gaji saya dan suri 5 tahun lepas jika digabungkan tak sampai RM4,000. Nak kata rendah, mungkin ada yang lebih rendah. Nak kata tinggi, ramai lagi yang lebih tinggi.

Masa awal-awal kerja saya banyak baca buku (juga ebook) tentang kewangan dan hartanah. Kesimpulan mudah yang saya buat, berapa jumlah gaji itu memang penting, tapi berapa yang boleh disimpan daripada gaji itu lebih penting dalam menentukan kecemerlangan kewangan. Dan untuk beli rumah atau melabur hartanah perlu ada kewangan yang kukuh sebagai tapak asasnya.

Gaji tinggi jadi tak cukup kalau banyak bela liabiliti. Gaji rendah tiada masalah kalau masih dapat menyimpan untuk deposit dan bayar ansuran hutang rumah.

Sebelum beli rumah, saya dan suri sewa rumah dengan kadar RM300 sebulan. Di samping itu, kami juga buat bajet khas simpan siap-siap RM900 daripada gaji untuk tabung beli rumah.

Maknanya, RM900 + RM300 = RM1,200. Ini adalah jumlah ansuran yang mampu kami bayar jika membeli rumah.

RM1,200 boleh beli hartanah harga RM240,000 jika tempoh pembiayaan 30 tahun atau RM260,000 jika tempoh pembiayaan 35 tahun.

Pada asalnya kami rancang nak cari dan beli rumah landed pada harga bawah RM200,000. Lagi murah lagi elok.

Lepas tengok beberapa rumah, akhirnya kami berkenan kat rumah teres 2 tingkat berhampiran jalan raya. Tapi harganya lebih RM200,000 sebab corner lot. Kalau rumah tengah harganya dalam RM160,000-180,000. Kami dah pergi tengok beberapa rumah sebelum betul-betul buat keputusan untuk beli. 
Asalnya owner nak jual dengan harga RM275,000. Masa itu saya tak ada kemahiran dan pengalaman lagi, jadi bila minta kurang dapatlah harga RM260,000. Huhu.

Selepas itu timbul pula satu masalah. JPPH bagi penilaian untuk rumah itu RM230,000 sahaja. Ah, sudah.

Memandangkan suri saya pegawai kerajaan, boleh mohon 100% pembiayaan. Tapi lagi RM30,000 kena topup sendiri. Aduh. Nak beli ke tak ni?

Fikir punya fikir, akhirnya beli juga. Patutnya sebelum sign SPA, nego lagi sekali dengan owner. Tapi macam saya kata tadi, tak ada kemahiran dan pengalaman dalam rundingan. Rugi banyak kat situ. Huhu.

Ok, sekarang tarik nafas dulu dalam-dalam. Kemudian hembuskan dengan perlahan. Dah? Jom sambung baca.

Macam mana kami nak dapat duit RM30,000 lebih untuk topup dan kos guaman?

1. Saya dan suri berkahwin pada bulan Jun 2010, sign SPA Disember 2011. Kalau sebulan simpan RM900, setahun dah RM10,000 lebih. Bila dapat bonus, simpan lebih sikit. Nak beli rumah, kena sanggup bersusah.

2. Selain simpan RM900/bulan daripada gaji, ada side income juga sikit-sikit buat tambahan tapi tak konsisten. Baru nak belajar menjual. Hehe.

3. Saya dan suri juga ada simpan emas beberapa puluh gram. Tak banyak pun. Masa nak beli rumah dulu ada yang jual dan ada yang gadai.

4. Keluarkan akaun 2 KWSP. Habis licin. Ada beberapa belas ribu kalau tak silap.

5. Dalam Tabung Haji suri ada sekitar RM8,000. Ini duit simpan sejak suri masih kecik lagi. Daripada simpan sahaja tak buat apa. Baik guna untuk beli rumah kan? Haha.

6. Ayah mentua tawarkan nak pinjamkan duit sebagai backup. Alhamdulillah, dah habis bayar pun.

7. Kalau nak kaya, kena miskin alasan. Kalau nak banyak menyimpan, kena banyak berjimat.

Kami tak ada honeymoon, tak travel, tiada gadjet canggih dan mahal, kat rumah tak ada TV, perabot sekadar ada, jarang beli baju baru, saya tiada kereta hanya berkapcai pergi balik kerja, suri naik kereta Viva sahaja. Dan macam-macam lagi kami buat untuk berjimat.

Tahun lepas ada satu rumah corner lot kat taman ini dijual dengan harga RM540,000. Tapi rumah itu dah renovate dapur ke belakang. Kalau rumah basic macam kami sekarang harganya dalam RM480,000 ada kot.

Dalam tempoh kurang lebih 5-6 tahun ada capital gain RM220,000 ok lah kan? Ibaratnya kami bayar RM1,200, tapi dapat balik RM3,000 setiap bulan dalam bentuk capital gain. Siapa nak bagi kan?

Sebenarnya sejak tahun 1990, harga rumah terus meningkat dan tak pernah jatuh kecuali masa kegawatan ekonomi tahun 1998 dan 1999.

Purata kenaikan harga rumah di Malaysia adalah 6.5% setahun sejak 26 tahun silam.

Jadi jangan tunggu beli rumah, tapi beli rumah dan tunggu.

Syabas dan tahniah saya ucapkan jika anda sanggup baca karangan ini sampai habis. Saya doakan agar Allah permudahkan segala urusan anda dalam usaha membeli rumah. Allahumma amin.

RFS
Masih rider kapcai

RUMAH SEBAGAI ALAT BANTU SELESAIKAN MASALAH KEWANGAN

  • 0
Macam mana boleh setel masalah kewangan dengan rumah?

Kalau beli rumah yang betul untuk pelaburan, kita boleh dapat 2 pulangan.
1. Elaun daripada penyewa.
2. Kenaikan harga rumah.

Pada masa yang sama akan berlaku 2 perkara, iaitu:
1. Ekuiti (pemilikan) meningkat
2. Baki hutang berkurang.

Kesemua ini boleh bantu untuk tambah pendapatan dan pendapatan tambahan itu boleh guna untuk bayar hutang.

Apabila nilai rumah meningkat, kita ada pilihan sama ada:
1. Refinance atau topup loan.
2. Jual.

Contoh rumah pangsa yang saya beli di Nilai pada tahun 2013 dengan harga RM65k, sekarang harganya mencecah RM120k. Kalau saya refinance atau topup loan atau jual, saya akan dapat wang tunai dalam RM50k-65k.

Itu belum termasuk elaun yang saya dah terima setiap bulan daripada penyewa sejak tahun 2013.

Elaun ini adalah duit sewa tolak installment dan maintenance fee setiap bulan.

RM600 sewa - RM400 installment & maintanance fee

Dapat elaun kurang lebih RM200 sebulan.

Macam tu lah kurang lebih macam mana rumah boleh bantu selesaikan masalah kewangan.

RFS

HARTANAH SEBAGAI ALAT BANTU SELESAIKAN MASALAH KEWANGAN

  • 0
Saya ada kecenderungan berpendapat bahawa hartanah boleh jadi alat untuk bantu selesaikan kebanyakan masalah kewangan.

Ada orang yang bersusah payah perbaiki kewangan kerana nak melabur hartanah. Ada juga yang melabur dalam hartanah sebab nak perkemaskan lagi kewangan sedia ada yang dah ok.

Hartanah boleh bantu banyak masalah kewangan seperti:
+ sumber modal bisnes dan pelaburan (buat refinance atau OD)
+ bina simpanan (dalam bentuk ekuiti dan capital gain)
+ alat untuk optimumkan simpanan dalam KWSP
+ salah satu jalan untuk capai bebas kewangan
+ tambah pendapatan (daripada sewa)
+ hapuskan hutang dan liabiliti
+ bantu kos perkahwinan
+ tabung pendidikan
+ tabung pencen
+ alat leverage
+ dan lain-lain

Sekian. Terima kasih. Care to share.

RFS

P/S: Anda ada nak komen terhadap pandangan di atas? Harap sudi berkongsi ilmu dan pengalaman.

CARA UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI BILA BELI RUMAH

  • 0
Sedang berkira-kira hendak membeli rumah? Tak kiralah nak beli untuk pelaburan atau duduk sendiri.

Dulu saya pun macam kebanyakan anak muda, tak tahu nak bermula dari mana. Nak bersedia apa? Berapa perlu ada simpanan?

Pertama sekali, ukur baju di badan sendiri. Caranya? Cuba congak-congak berapa installment yang sanggup anda bayar setiap bulan selama 30 tahun? Ini hanya anda dan pasangan (bagi yang dah kahwin) yang boleh jawab. Orang lain tak tahu.

Ok, dah dapat berapa jumlah tu? Sekarang darab dengan 200. Jangan tanya kenapa, buat je. >:(

Ok, katakanlah anda mampu bayar installment RM1k sebulan, bila darab 200 jadi RM200k. Betul?

Ok, cari dan beli rumah yang harganya tak lebih RM200k. Boleh cari kat Mudah, iProperty, iHartanah, LelongTips dan sebagainya. Jangan cari kat pejabat atau bilik pameran pemaju. Memang tak jumpa punya. -_-

Kalau sekarang masih menyewa RM600 sebulan, pastikan mampu menyimpan tak kurang RM400 sebulan selama 3-6 bulan. Simpanan ini langsung tak boleh usik, kecuali nanti bila nak guna untuk beli rumah.

Contohnya masa saya dan suri nak beli rumah dulu, setiap bulan RM900 wajib masuk Tabung Haji. Buat potongan gaji siap-siap. Masa tu kami masih menyewa RM300 sebulan kat Seremban.

RM300 sewa rumah semasa campur RM900 simpanan untuk beli rumah, jumlahnya RM1200. Ini jumlah installment yang mampu kami bayar setiap bulan.

Kalau ikut formula tadi, RM1200 darab 200 bersamaan RM240k. Ini bermakna, kami perlu cari rumah dengan harga RM240k ke bawah.

Sekian. Terima kasih. Care to share.

RFS
Perunding kewangan tak bertauliah

SOAL JAWAB TENTANG PERBANKAN DAN RIBA

  • 0
Soalan:

Sebagai REN saya membantu buyer untuk submit loan dan ada yang memilih islamic loan dan ada juga yang memilih conventional. 

Saya juga pernah cadangkan investor untuk mengambil full flexi loan kerana dia mempunyai lebihan cash kerana ia mampu menjimatkan interest.

Saya rasa tidak sedap hati selepas membaca artikel dibawah.
Ada sahabat REN boleh memberi pendapat atau ada yang arif tentang ini?

Hadis yang diriwayatkan dari Jabir, "Rasulullah SAW melaknat seorang yang mengambil riba, seorang yang memberikan (membayar) riba, seorang yang mencatatkan (merekodkan) transaksi tersebut dan dua orang saksi yang terlibat. Baginda bersabda, 'Mereka semuanya sama bersalah'." [Direkodkan oleh Imam Muslim]

Pemakan Riba itu ada 4 golongan :
1. Mengambil riba
2. Memberi riba.
3. Menjadi penulis/pencatat
4. Saksi kepada transaksi riba.

Artikel penuh ---> www.facebook.com/notes/abu-basyer/jauhkan-daripada-riba-dalam-semua-urusan-kehidupan/10151548766151040


Jawapan:

Kalau ikut artikel yang Tuan kongsikan, penulis mencadangkan supaya tinggalkan dan jauhi riba perbankan konvensional. Sebagai alternatifnya adalah perbankan Islam.

Saya perlu akui bahawa perbankan Islam masih banyak perlu penambahbaikan. Walau bagaimanapun, itulah alternatif terbaik yang kita ada sekarang.

Berkenaan pandangan orang yang menyatakan bahawa perbankan Islam pun tidak terlepas daripada mengamalkan riba, maka jika itu pandangan ijtihad yang dia pegang, maka haramlah baginya menggunakan produk/perkhidmatan perbankan sama ada perbankan Islam, apatah lagi perbankan konvensional.

Orang yang berpegang pada pandangan ijithad bahawa wang fiat adalah riba, maka jatuhlah hukum riba ke atasnya mengikut apa yang dia yakini.

Manakala mereka yang berpegang pada pandangan jumhur dan ulama' yang menyatakan bahawa wang fiat dan perbankan Islam adalah patuh syariah (ada beza antara halal dan konsep patuh syariah, yang ini bab lain), maka harus bagi mereka menggunakan produk/perkhidmatan perbankan Islam.

Berkenaan masalah Tuan dalam menghadapi pelanggan yang mahukan produk/perkhidmatan perbankan konvensional, apa yang boleh saya nasihatkan adalah supaya berkata jujur kepada pelanggan bahawa tuan hanya membantu permohonan pembiayaan daripada perbankan Islam dan salah di sisi agama berurusan dengan produk/perkhidmatan riba.

Riba ini, semua agama samawi (Islam, Nasrani dan Yahudi) pun haramkan. Tapi dalam perlaksanaannya, tepuk dada tanya iman.

Wallahu ta'ala 'lam.

RFS
mudahsimpanduit.blogspot.com

CAPITAL APPRECIATION

  • 0

Ada yang bertanya tentang capital appreciation dalam group pelanggan mudahsimpanduit.blogspot.com dan di bawah ini adalah jawapan saya.

Capital appreciation antara landed property vs non landed property, selalunya landed property menang tapi untuk cash flow selalunya non landed menang.

Kalau antara sesama non landed property pula, secara mudah urutannya adalah seperti berikut ini, bermula dari yang paling tinggi capital appreciation-nya;
1. Condo
2. Medium cost apartment
3. Flat (low cost)

Biasanya capital appreciation ditentukan oleh beberapa perkara berikut ini:
+ kemudahan seperti pool, gym, gated, guarded, lift, parking lot, dll.
+ keadaan property seperti leasehold vs freehold, master title vs strata title, kepadatan hunian, pengurusan JMB, majoriti penghuni (penjawat awam, pelajar, pekerja/pelajar asing, dll), tahap keselamatan, dll.
+ kemudahan yang berhampiran seperti: KTM/LRT, akses keluar masuk, tol, pasaraya, bank, sekolah, masjid/surau, restoran, kedai runcit, dll.

Begitulah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan.

Kesemua perkara ini boleh kita tahu dan rasa sendiri bila kita buat sendiri site view ke hartanah yang nak kita beli.

RFS

P/S: Kalau ada kesilapan atau ada maklumat yang tertinggal, mohon komen di bawah. ^_^

bit.ly/kitbelirumah

NASIHAT BAGI BAKAL PENGANTIN BARU

  • 0
Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal membina rumah tangga, antara sunnah-sunnah selepas pernikahan adalah seperti berikut ini.

- Suami solat sunat berjemaah dengan isteri, ini amalan sahabat. Buat pada malam pertama.
- Suami pegang ubun-ubun isteri dan baca doa.
- Suami hidang susu untuk isteri.

Ringkasnya semua amalan ini dibuat malam pertama di dalam bilik berdua dengan isteri, BUKAN depan orang ramai.

Amalan suami mencium isteri di hadapan para tetamu, tok kadi, wali dan saksi entah datang dari mana. Jangan tanya saya. -_-

Wallahu ta'ala a'lam.


BELANJA KAHWIN

Belanja kahwin yang paling banyak menelan kos biasanya untuk belanja kenduri dan wang hantaran.
Untuk menjimat perbelanjaan kenduri kahwin, rancang untuk sekalikan majlis nikah dan walimah pada hari yang sama.

Untuk perbelanjaan yang lebih jimat, buat kenduri yang sederhana. Utamakan belanja keperluan seperti makan minum tetamu dan tempat yang selesa.

Kurangkan belanja kehendak seperti mahligai pengantin macam anak raja, pakaian pengantin yang dipakai sehari cuma, kek 7 tingkat, DJ dan sound system konsert Jom Heboh, khidmat juru kamera dan sesi penggambaran macam nak masuk majalah, goodies bag atau bunga telur, sewa kereta mewah dan sebagainya.

Ingat, lagu tema kita adalah Kun Anta. ;)

Perbelanjaan selepas perkhawinan lebih penting daripada perbelanjaan majlis kahwin yang orang kata, "Alah, apa salahnya? Sekali seumur hidup."
_____

Tips berbelanja.
- Ukur baju di badan sendiri.
- Belanja di bawah paras kemampuan, bukannya mengikut kemampuan.
- Bezakan antara keperluan dan kehendak.
- Orang yang membazir bersaudara dengan syaitan. (Surah al-Isra': 27)
- Tidak boros, tidak kedekut, berpada-pada dalam membelanjakan wang. (Surah al-Furqan: 67)
_____

Untuk wang hantaran pula, tukar dengan sesuatu yang nampak lebih bernilai tapi dengan kos yang lebih rendah. Contohnya rumah, kereta, polisi takaful.

Rumah boleh cari yang bawah harga pasaran atau rumah dengan deposit/booking fee yang rendah.
Untuk memiliki kereta hanya perlu bayar sedikit wang muka.  Pastikan kereta mampu milik supaya tidak terbeban dengan ansuran bulanan.

Dengan RM100 sebulan atau RM1200 setahun, seorang anak muda boleh mendapat perlindungan asas sebanyak setengah juta.

Alternatif lainnya sijil ASB, SSP BSN, emas dan sebagainya.

Sekian perkongsian ringkas daripada saya seorang bujang tiga. Mudah-mudahan sedikit sebanyak membantu bakal pengantin dalam membuat persediaan.

RFS

P/S: Jangan suka tayang sweet (kemesraan) suami isteri di media sosial. Orang yang suka sangat tayang sweet di media sosial, di samping banyak mendapat pujian, rumah tangganya juga akan lebih banyak mendapat ujian.

Kehidupan dalam rumah tangga bukannya semua manis-manis belaka. Ada juga masam, sekali-sekala masin dan terkadang pahit. Namun semua itulah yang akan mendewasakan diri dan mematangkan fikiran.

3 CARA BELI RUMAH

  • 0
Nak beli rumah ada 3 cara:

1. Beli rumah baru daripada pemaju. Biasanya entry cost rendah. Tapi installment tinggi sebab selalunya rumah baru mahal-mahal.

Booking fee dalam RM3k-5k. Deposit ada diskaun 5-7%. S&P, legals fee, stamp duty, loan agreement, takaful dan lain-lain selalunya percuma (masuk dalam harga/hutang rumah).


2. Rumah sub sale (terpakai). Entry cost sederhana. Installment pun sederhana mengikut pilihan rumah dan bajet yang ditentukan sendiri.

Deposit 10% memang wajib kecuali bagi kes-kes tertentu di mana hartanah dijual dengan harga di bawah harga pasaran.

Kalau jumpa rumah > 10% bawah harga pasaran dan penjual bersetuju tak perlu bayar penuh 10% deposit (bayar booking fee sahaja), maka entry cost kadang-kadang lebih rendah berbanding entry cost beli rumah daripada pemaju.

Baca: Bagaimana cara beli rumah 2 tahun sekali.


3. Rumah lelong. Entry cost agak tinggi tapi installment rendah.

Baca: Tips membeli rumah lelong

Kenapa entry cost tinggi? Sebab wajib buat bank draft 10% dari harga rizab, duit topup deposit kalau harga naik masa lelongan, kos baik pulih sebelum rumah boleh ditempati.

Kenapa installment rendah? Sebab selalunya rumah lelong dijual dengan harga di bawah harga pasaran. Kalau dijual ikut harga pasaran, lebih baik beli rumah sub sale.

Baca: Kesilapan pembeli rumah lelong yang wajib dielakkan


RFS

P/S: Setakat ini saya masih belum berjaya beli rumah melalui lelongan. Persaingan agak sengit. :D

Baca: Berapa harga rumah paling mahal yang mampu saya beli?

SEMINAR LOAN PROFILE BERSAMA DSR

  • 0
Hari ini, Ahad, 7 Jun 2015 dari pagi ke petang saya meluangkan masa bagi menyertai Seminar Loan Profile anjuran DSR Group.

Antara beberapa perkara yang saya pelajari adalah seperti berikut.
- 4 jenis mortgage (TL, TL+OD, SF dan FF)
- Amortization (principle+interest) adalah enjin bagi mortgage
- 4 level of loan approval
- Bagaimana proses bank meluluskan sesuatu pinjaman/pembiayaan
- Kenapa permohonan ditolak
- Yearly rest, monthly rest dan daily rest
- Beza topup dan refinance
- Cara kira DSR (front end & bak end)
- Kesilapan DSR dalam pelaburan hartanah
- Dan banyak lagi

Kesimpulan:
- Untuk MOF 90%, saya perlu dapatkan hartanah > RM 167k
- Untuk MOF 70%, saya perlu cari hartanah > RM215k


RFS

TIPS MEMBELI RUMAH LELONG

  • 0
Dalam keadaan harga rumah baru begitu mahal dan di luar kemampuan kebanyakan orang, rumah lelong boleh menjadi alternatif bagi memiliki rumah dengan harga diskaun.

Namun begitu, proses pembelian rumah lelong ada risiko tersendiri umpamaa perangkap yang sedia menunggu mangsa. Tersilap langkah, azab seksa yang terpaksa ditanggung amat pedih dan dalam tempoh yang panjang.

Risiko beli rumah lelong ---> bit.ly/1HMRtWG

Berikut ini adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan bagi yang bercadang hendak membeli rumah melalui lelongan awam.
Sebelum Lelongan

1. Buat lawatan ke rumah yang ingin dibeli.
Anda perlu membuat lawatan tapak dan kenal pasti lokasi rumah yang ingin dibeli. Cuba berbual-bual dengan jiran rumah tersebut jika anda ingin tinggal di rumah lelong tersebut. Mendapat jiran yang baik adalah rezeki.

Ada masanya, keadaan rumah tersebut sangat buruk. Ada sesetengah kes, bumbung pun sudah tidak ada. Kadang kala, rumah yang ingin dilelong masih berpenghuni. Anda terpaksa menanggung kos tambahan jika ingin keluarkan penghuni itu dari rumah yang bakal anda beli. Pernah ada kes di mana ada mayat (bunuh diri atau ibunuh) di dalam rumah lelong.

2. Buat semakan pinjaman dengan pihak Bank.
Sebaik-baiknya pergi ke 2-3 buah bank untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Tanya peguam panel di Bank tersebut. Mana tahu, firma rakan anda adalah panel Bank tersebut.

Proses penyempurnaan pembelian untuk rumah lelong hanyalah 120 hari sahaja. Ada sesetengah kes, hanya 90 hari (kes yang melibatkan rumah strata yang belum dikeluarkan geran). Bila semakan pinjaman sudah dibuat dan anda tahu berapa jumlah yang anda layak, ia akan memudahkan proses membuat pinjaman setelah anda berjaya membeli rumah lelong.

Ada sesetengah kes, bayaran penuh hanya boleh dibuat setelah 2 hari tempoh 120 hari tamat. Wang deposit 10% anda tidak akan dikembalikan dan anda perlu membuat permohonan untuk lanjutan masa. Itu pun, tidak tentu lagi permohonan untuk lanjutan masa dibenarkan.

3. Hubungi peguam yang mengendalikan kes lelong tersebut dan tanya peguam tersebut, lelongan tersebut adalah untuk kali yang ke berapa. Kebiasaannya, lelongan kali pertama, harga yang ditetapkan adalah mengikut nilaian semasa. Kebiasaannya, pada lelongan kali kedua, harga rezab akan diturunkan sebanyak 10% daripada lelongan kali pertama.

4. Periksa segala bil ultiliti dan segala bil yang tertunggak seperti maintenance fee (untuk kategori rumah seperti kondominium, apartment & rumah pangsa). Buat juga carian hartanah dan carian cukai taksiran (biasanya dipanggil cukai pintu). Ada kes jumlah tunggakkan untuk maintenance fee adalah 2 kali ganda daripada harga rezab rumah yang dilelong.

5. Baca Pengisytiharan Jualan sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah lelong. Ada kalanya di dalam terma tertulis, pihak Bank tidak akan menanggung segala bayaran bil, maintenance fee, cukai pintu & cukai tanah. Jika anda tidak membaca dan fahamkan apa yang tercatat dalam Pengisytiharan Jualan, anda akan bertanggungan untuk apa yang anda tandatangani.

6. Beli bank deraf sebanyak 10% daripada harga lelongan dari mana-mana Bank. Jangan lupa untuk membeli bank deraf mengikut nama yang tercatat di dalam Pengisytiharan Jualan. Ada kes yang berlaku, nama yang diletakkan di dalam bank deraf berlainan dengan nama yang tercatat dalam Pengisytiharan jualan. Akibatnya, pembida tersebut tidak layak untuk membeli rumah yang diidamkan!

7. Jika tempat lelongan itu jauh dari rumah anda, uruskan penginapan yang berdekatan dengan tempat lelongan di buat. Ini akan memudahkan urusan anda pada hari lelongan.

8. Buat pemeriksaan sekali lagi sehari sebelum tarikh lelong. Ada kes yang pernah saya kendalikan, seminggu sebelum lelong, pembida buat pemeriksaan dan rumah tersebut dalam keadaan baik. Sehari sebelum lelongan, pagar rumah sudah ditanggalkan dan lubang tandas dicurah dengan simen.

9. Fotostat kad pengenalan, bank draf dan surat kuasa wakil (jika anda mewakili ahli keluarga anda) sebanyak 4 salinan.


Semasa Hari Lelongan

10. Pastikan anda datang awal ke tempat lelongan. Ada masa yang perlu dipatuhi untuk masukkan borang bidaan anda. Jika terlambat, borang anda boleh ditolak.

11. Jangan layan orang yang bertanya anda beli hartanah di mana. Ada kalanya, mereka hanya ambil kesempatan ke atas anda.Tidak perlu saya jelaskan lebih lanjut di sini.

12. Jika anda seorang sahaja pembida ketika lelongan, biasanya anda akan dapat membeli hartanah tersebut dengan harga rezab yang ditetapkan. Sekiranya ada lebih daripada seorang pembida, harga rizab akan dinaikkan dan setiap bidaan akan dinaikkan.

Biasanya bidaan dinaikkan sebanyak RM1,000 untuk setiap kenaikan bidaan. Nasihat saya, jangan ghairah menaikkan bidaan disebabkan anda tidak mahu kalah dengan pembida yang lain. Mereka mungkin pembeli tunai dan ada banyak wang. Tetapkan bajet anda berdasarkan harga semasa.

13. Jika tidak berjaya membeli rumah lelong tersebut, tunggu sehingga bank deraf anda dikembalikan. Anda hanya perlu tukar bank deraf tersebut kepada wang tunai di bank yang anda beli bank deraf tersebut.


Setelah Lelongan Selesai

14. Jika menang, nda perlu tandatangan kontrak jualan di hadapan Timbalan Pendaftar. Biasanya anda akan diberi satu Salinan kontrak.

15. Setelah mendapat kontrak jualan tersebut, jumpa peguam yang dilantik untuk urusan pinjaman dengan pihak bank.

16. Jika kalah, ambil belik bank draft daripada pegawai yang menguruskan pendaftaran. Selepas itu pergi ke bank di mana anda membuat bank draft bagi mendapatkan semula wang anda.

Elakkan 10 kesilapan yang biasa berlaku kepada pembeli rumah lelong ---> bit.ly/1HMRtWG

RUMAH MAMPU MILIK

  • 0
Rumah sebagai tempat tinggal adalah salah satu keperluan asas bagi setiap orang sama ada milik sendiri ataupun menyewa. Impian bagi setiap orang yang masih menyewa rumah orang lain adalah dapat memiliki rumah sendiri sebagai kediaman.

Namun cabaran besar yang dihadapi oleh generasi sekarang adalah tentang harga rumah. Harga rumah dari tahun ke tahun semakin meningkat, tanpa kita tahu bilakah harganya akan turun.

Formula Harga Rumah Mampu Milik

Sebenarnya kita masih boleh memiliki rumah jika mampu menguruskan kewangan dengan baik serta meletakkan sasaran untuk membeli rumah pada kadar harga mampu milik.

Kata orang London, "There are no cheap or expensive houses. It's all about affordability issues. Quality always comes with a price to pay."

Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kadar harga rumah mampu milik? Berikut ini adalah formulanya.

Kadar harga rumah mampu milik adalah 3 tahun gaji bersih.

Gaji bersih yang saya maksudkan adalah jumlah pendapatan selepas ditolak KWSP, zakat dan cukai.

Kalau gaji bersih RM2000 sebulan, maknanya harga rumah mampu milik adalah RM72 ribu sahaja.

Kalau gaji RM5000 pula, harga rumah mampu milik adalah RM180 ribu sahaja.

Jika mahu rumah yang lebih besar dan selesa, tentu perlu menggabungkan pendapatan sendiri dengan pendapatan pasangan memandangkan harga rumah yang besar tentu lebih mahal. Namun begitu, dalam strategi pelaburan hartanah, menggabungkan pendapatan suami isteri bagi pembelian rumah adalah satu pantang larang.


Terima kasih sudi baca sampai habis.


RFS

P/S: Sebenarnya setiap orang layak beli rumah pada harga sehingga 5-6 tahun gaji di mata bank. Tapi kalau anda beli rumah pada harga lebih daripada 3 tahun gaji, walaupun anda sanggup bayar bulan-bulan tapi itu sudah di luar kemampuan.

P/P/S:Nak tahu bagaimana cara rakan saya Tuan Wahi Abd Rashid beli rumah setiap 2 tahun sekali? Rujuk di sini ---> bit.ly/kitbelirumah

KOS PENGANGKUTAN ATAU TEMPAT TINGGAL?

  • 0

Dua tahun lepas saya dan isteri membuat
keputusan untuk berpindah dan tinggal
di Nilai kerana isteri saya bekerja di sana.

Sebelumnya ketika kami masih tinggal
di Seremban, untuk kos pengangkutan sahaja
isteri saya perlu menghabiskan tidak kurang
daripada RM100/minggu atau
kira-kira RM400/bulan. :(

Sekarang peruntukan RM200/bulan untuk
kos pengangkutan kadang-kadang lebih. :D
Alhamdulillah.

Ada duit lebih daripada peruntukkan
pengangkutan sebelum ini RM200/bulan
boleh buat harta. Alhamdulillah.

Disebabkan sudah berpindah ke Nilai,
saya yang sebelumnya bekerja di Seremban
sekarang telah berpindah kerja di Bangi.
Lebih dekat dan jimat. (y)

Peruntukkan saya untuk pengangkutan
hanya RM15/minggu atau kira-kira RM60
sahaja sebulan.

Saya menunggang kuda besi
jenama tempatan sahaja.
Tak de kelas langsung kan? :P

Pada saya, biarlah [1] bersusah-payah
dahulu bersenang lenang kemudian
berbanding [2] hidup biar papa asal bergaya.

Wallahu ta'ala a'lam.

Sekadar perkongsian pengalaman.
Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah.
Jika sebaliknya, wa al-'iyadzu billah.

P/S: Perkongsian ini saya tulis sebagai
maklum balas bagi tulisan Tuan Zaidi Ismail
ini > http://goo.gl/Rcmz86

BELI ATAU SEWA RUMAH?

  • 0
Setiap orang memiliki pertimbangan sendiri sama ada hendak membeli rumah ataupun hendak terus menyewa.

Dilema bagi orang yang menyewa pula, sampai bila hendak menyewa? Suatu masa nanti tentu tuan rumah akan menghendaki kembali rumahnya. Ketika masa itu tiba, penyewa perlu [1] mencari rumah sewa yang baru ataupun [2] mula berfikir dan merancang hendak membeli rumah sejak awal.

Beli Rumah

Sekiranya ansuran bulanan rumah yang bercadang hendak dibeli kurang lebih seperti kadar sewa semasa di kawasan yang sama atau berhampiran, maka lebih baik beli rumah.

Contoh: Jika harga rumah dalam lingkungan RM300k, bermakna ansuran setiap bulan selama 30 tahun kurang lebih RM1,5k. Jika kadar sewa semasa bagi rumah di kawasan yang sama atau berhampiran dalam lingkungan RM1,5k ke atas, maka lebih baik beli rumah berbanding terus menyewa.

Jika suatu hari nanti perlu berpindah atas sebab tertentu, rumah yang telah dibeli boleh disewakan pada kadar yang sama seperti jumlah ansuran setiap bulan.

Sewa Rumah

Sekiranya kadar sewa jauh lebih murah berbanding ansuran setiap bulan jika membeli rumah, maka lebih baik menyewa.

Contoh: Jika harga rumah dalam lingkungan RM300k, bermakna ansuran setiap bulan selama 30 tahun kurang lebih RM1,5k (sama seperti di atas). Jika kadar sewa semasa bagi rumah di kawasan yang sama atau berhampiran dalam lingkungan RM1k atau mugkin lebih rendah lagi, maka lebih baik menyewa untuk sementara.

"Jika terus menyewa, bila boleh membeli rumah? Biasanya harga rumah semakin lama semakin mahal", begitu kerisauan sebahagian orang yang sebenarnya mampu membeli rumah, namun terpaksa menyewa atas sebab tertentu.

Bagi orang seperti ini, dia boleh membeli rumah pelaburan yang dapat membayar sendiri ansurannya kepada bank. Jika harga rumah naik, harga rumah yang telah dibeli dan disewakan itu akan turut naik. Kenaikan harga rumah yang sebelumnya menghasilkan kerisaukan kini membuahkan senyuman.

Wallahu ta'ala a'lam.

P/S: Harga dan jenis rumah ditulis secara umum bagi memudahkan pengiraan. Terdapat sedikit perbezaan harga mengikut jenis rumah pada kiraan sebenar. Mohon buat "kerja rumah" sebelum membuat keputusan membeli rumah. ;)


P/P/S: Pandangan di atas tidak sesuai bagi semua orang.

HARGA RUMAH YANG MELAMPAU?

  • 0
Baru-baru ini di dada kahbar hangat memperbincangkan tentang isu harga rumah yang begitu tinggi dan dianggap agak melampau oleh sebahagian orang.
Baca berita penuh di [sini]
Bagi saya, harga rumah terutama projek perumahan baru sememangnya mahal. Tapi apa yang pelik, rumah yang mahal itu sebahagian besar telahpun ditempah malahan ada sesetengah projek yang telah habis terjual. :D Namun begitu, masih banyak rumah yang dijual pada harga yang berpatutan. :)

Kenapa saya berpandangan begitu? Bagini jawapan saya. Apabila ada permohonan pembiayaan/pinjaman perumahan masuk, [1] bank akan menilai harga sebenar rumah yang hendak dibeli dan [2] hanya akan memberikan pembiayaan/pinjaman sebanyak 90% daripada penilaian harga yang dibuat oleh juru nilai bertauliah. 

Sebagai contoh: sebuah rumah pangsa di Bandar Baru Nilai hendak dijual pada harga RM75k. Sedangkan menurut juru nilai harga semasa bagi unit di ramah pangsa itu dalam lingkungan RM60k sahaja. Itu adalah harga yang berpatutan bagi unit tersebut. Dengan begitu, bank hanya akan memberikan 90% daripada RM60k iaitu RM54k sahaja. Sekiranya pembeli tetap hendak membeli unit tersebut maka dia perlu membayar deposit daripada poketnya sendiri sebanyak RM6k + RM15k = RM21k. Saya yakin tidak ada orang yang begitu bodoh hendak meneruskan jual beli yang tidak adil seperti ini. :D

Bagi masalah di atas, apa yang boleh dibuat adalah [1] meminta kepada penjual supaya menurunkan harga di samping [2] turut meminta budi bicara pihak bank supaya menaikkan sedikit penilaian bagi rumah tersebut. Cara lainnya adalah [3] dengan mencari unit lain yang dijual pada harga berpatutan di kawasan yang sama ataupun berhampiran ataupun agak jauh sedikit. Usah mengeluh harga rumah yang mahal. Lebih baik berusaha mendapatkan rumah pada harga yang berpatutan ataupun murah.

Kesimpulannya, setiap rumah yang harganya dianggap begitu tinggi dan melampau oleh sebahagian orang akan melalui proses penilaian daripada bank. Tidak mungkin bank akan memberikan pembiayaan/pinjaman melebihi penilaian. Dan tidak mungkin pula ada orang yang mahu membeli rumah yang dijual terlalu mahal berbanding nilai/harga yang sepatutnya. Jadi selagi bank masih meluluskan pembiayaan/pinjaman dan pembeli bersetuju meneruskan proses pembelian, maka selagi itu pulalah harga rumah adalah berpatutan. Wallahu ta'ala a'lam.

Apa yang penting bukan harga rumah yang (dianggap) tinggi atau melampau. Yang paling penting adalah apa yang perlu dilakukan supaya mampu membeli rumah iaitu [1] menguruskan wang dan hutang dengan bijak, [2] meningkatkan pendapatan, [3] mencari rumah dengan harga yang sesuai mengikut kemampuan dan juga [4].


Nota tambahan

Sekiranya harga rumah diturunkan sebanyak 10-20% daripada harga semasa, saya percaya hampir semua orang yang menganggap bahawa harga rumah mahal masih tidak mampu membeli rumah. Kenapa begitu? Kerana yang bermain di fikiran mereka harga rumah mahal sehingga mereka tidak pernah membuat perancangan yang jelas bagi membeli rumah dan tidak mempunyai wang yang cukup bagi membayar deposit serta kos lainnya.

Saya juga percaya sebahagian besar yang berkomentar bahawa harga rumah mahal adalah mereka yang setiap bulan masih membayar hutang sewa beli kereta. Padahal setiap orang yang mampu membeli kereta sebenarnya mampu membeli rumah. Namun tidak setiap orang daripada mereka mampu membeli rumah apabila telah membeli kereta. Ini disebabkan peratusan DSR (Debt Service Ratio) ataupun DBR (Debt Burden Ratio) seseorang meningkat apabila telah membeli kereta secara sewa beli sehingga jika mereka memohon pembiayaan/pinjaman kepada bank bagi membeli rumah, permohonan tidak akan diluluskan. 

Sekiranya masih menyewa

Sekiranya sekarang ini anda masih menyewa, mohon pertimbangkan cadangan saya ini. Namun sebelum itu cuba buat kiraan seperti berikut ini:
Kadar sewa semasa x 200 = harga rumah yang boleh dibeli

Contoh: seorang rakan saya menyewa sebuah rumah pangsa denga kadar sewa RM600/bulan
RM600 x 200 = RM120k

Bermakna sekiranya beliau mahu, beliau boleh memilih bagi membeli rumah pangsa dengan harga kurang lebih RM120k di kawasan yang sama ataupun berhampiran daripada terus menyewa. Bayaran gadai janji bagi rumah berharga RM120k kurang lebih RM600/bulan bagi tempoh 30 tahun. Bayaran sewa akan terus meningkat dari tahun ke tahun manakala bayaran gadai janji kekal. Wallahu ta'ala a'lam.

KOS GUAMAN BAGI APARTMEN DESA JATI

  • 0
Sebentar tadi saya baru sahaja menerima panggilan daripada pejabat guaman memaklumkan bahawa baki kos yang perlu dibayar berjumlah RM32xx. Total kos yang perlu kami bayar bagi pembelian rumah berharga RM65k ini berjumlah R37xx sahaja. Ini sudah termasuk kos guaman, stamp duty, legals fee, loan agreement dan sebagainya.

P/S: Saya telah meyewakan rumah ini walaupun urusan jual beli masih dalam proses dan belum selesai sepenuhnya. Ini supaya saya boleh mendapat keuntungan segera daripada pembelian ini. Bak kata orang, "Dapat untung sejak daripada membeli dan bukannya ketika menjual." Deposit rumah sewa dan bayaran sewa rumah ini selama 3 bulan akan digunakan bagi membayar kos guaman. :)

PROJEK HARTANAH BARU DI BANDAR BARU NILAI

  • 0
LODGE RESIDENCES
Features
- Stay next to Nilai University
- Near city conveniences such as Giant, Tesco, healthcare centers and other amenities
- High Gross Rental Returns (GRR) of 8%
- Long tenure of 3+3+3
- Affordably priced for easy ownership
- Strategically located near to public transportation & access routes
- Surrounded by beautiful and lush greenery of Putra Nilai

Project Details
- Development Size: 3.22 acres
- Development Type: Student Residences
- Land Tenure: Freehold
- Location: PT 13107, Persiaran Universiti
- Total No. of Units: 948
- Built-up: From 142 sqft

Ulasan:
Saya menjangkakan pasar bagi hartanah ini adalah pelabur yang akan menyewakan unit mereka kepada pelajar sekitar seperti pelajar Nilai University, Inti Intenational College University dan Manipal Intenational University.


MESA HILL
Sehingga kini belum ada sebarang maklumat tentang projek ini. Hanya beberapa banner tentang projek ini terpacak di tepi jalan berhampiran tapak cadangan projek. Namun saya menjangkakan pasar bagi projek ini adalah pelabur yang akan menyewakan unit mereka kepada pelajar, terutama pelajar Manipal Intenational University.

[Kemaskini pada 16/7]

A location of utmost advantages & value
- Ready population catchment
- 20,000 students from universities and colleges in Nilai
- Projected 30,000 more students in future from across 30 countries
- Short distance to KLIA, KLIA2 & LCCT

Up-to-date integrated retail & entertainment
- Variety of F&B outlets
- Convenient stores
- Various Wi-Fi zones

Strategic location with superior access
- 10 minutes drive to KLIA
- 15 minutes drive to LCCT
- 15 minutes drive to Putrajaya / Cyberjaya
- 35 minutes drive to  KL city centre


IMPIANA VILLA NILAI
Sebenarnya ini adalah projek hartanah lama yang sudah bermula sejak tahun 2010. Namun sekarang ini sedang dibina projek bagi fasa baru. Harga pada tahun 2010 bermula RM26xk. Harga sekarang bermula RM4xxk. Perumahan ini berada di belakang Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai.

HARGA RUMAH: BERPATUTAN, MURAH ATAU MAHAL?

  • 0
Bagaimana hendak mengetahui apakah harga rumah yang hendak dibeli berpatutan, lebih murah berbanding harga pasaran ataupun lebih mahal? Perkara ini adalah antara perkara penting yang perlu dikaji dan dipelajari sebelum memutuskan handak menandatangani sesebuah perjanjian jual beli (SPA) rumah. 
Saya dan suri membeli rumah ini menggunakan pembiayaan daripada Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Kementeria Kewangan Malaysia. Oleh itu, penilaian bagi rumah ini juga dibuat oleh pihak kerajaan iaitu Jabatan Penilaian. Malangnya hasil penilaian oleh Jabatan Penilaian bagi rumah ini kurang RM30k daripada harga yang ditetapkan oleh penjual. Maka pembiayaan daripada BPP hanya sebanyak 90% daripada hasil penilaian Jabatan Penilaian. Kami terpaksa mencari sumber kewangan tambahan bagi menutup jurang perbezaan yang agak 'dalam' ini. Hu hu hu...

Adakah [1] rumah yang kami beli lebih mahal daripada harga pasaran ataupun [2] penilaian yang dibuat oleh jabatan Penilaian yang lebih murah berbanding harga pasaran? Saya fikir kedua-duanya. [1] Saya pernah bertanya kepada kakak abang ipar saya yang pernah bekerja dengan pemaju rumah ini, iaitu BBN Developer Sdn Bhd, bahawa harga bagi unit yang saya beli dijual oleh pemaju pada harga RM19xk. Namun saya tidak pasti rumah ini dibina pada akhir alaf 20 ataupun awal alaf 21. [2] Ada juga seorang rakan pelabur hartanah pernah memberi komentar bahawa penilaian oleh Jabatan Penilaian agak rendah disebabkan rekod mereka agak lambat dikemaskini. Sekiranya menggunakan pembiayaan daripada bank, biasanya CIMB Bank adalah antara bank yang memberikan penilaian yang agak tinggi berbanding bank-bank yang lain. Wallahu ta'ala a'lam.

Sebelum kami beli, rumah ini pernah disewakan dengan kadar sewa RM950/bulan. Sekiranya rumah ini kami beli dengan harga yang telah disepakati dan disewakan pada kadar RM1000/bulan, kami perlu menambah dalam lingkungan RM200/bulan bagi membayar gadai janji rumah ini. Daripada segi pelaburan dan pengurusan kewangan ini adalah suatu pantang yang sepatutnya perlu dijauhi. Walau bagaimanapun, kadar sewa akan naik dari semasa ke semasa, manakala bayaran gadai janji adalah tetap. :)

Dalam pelaburan hartanah mazhab sewa, biasanya rumah bertanah (landed) bukanlah pilihan yang baik memandangkan sukar mendapatkan rumah bertanah yang boleh memberi aliran tunai positif (aliran wang masuk > aliran wang keluar), bahkan break even (aliran wang masuk = aliran wang keluar) sekalipun.

Walaupun begitu saya tetap membeli rumah ini kerana saya percaya (bukannya sekadar berharap) dengan analsia yang saya buat bahawa dalam masa tidak sampai 5 tahun kemudian, sekiranya disewakan rumah ini boleh memberikan aliran tunai positif. 

Saya bukannya berharap, kerana berharap bukanlah strategi yang menguntungkan dalam apa jua pelaburan. :D Saya percaya disebabkan tanda-tanda ke arah itu nampak begitu jelas di mata saya. Cukuplah saya katakan [1] ada dua (bukannya satu) restoran McDonald, [2] ada pasaraya Giant dan Tesco serta [3] sedang dibina sebuah universiti swasta kesemuanya dalam lingkungan 2-5km sahaja daripada rumah ini. :) Wallahu ta'ala a'lam.

SUMBER KEWANGAN BAGI PEMBELIAN RUMAH

  • 0
Kali ini saya hendak berkongsi bagaimana saya dan suri boleh mengumpul wang bagi pembelian rumah kediaman kami.

Di Malaysia biasanya ketika seseorang bercadang hendak membeli sebuah rumah dia perlu menyediakan wang untuk:
1. Wang deposit sebanyak 10% daripada harga rumah
2. Kos guaman
3. Kos ubah suai atau baik pulih atau pembelian perabot rumah sekiranya mahu atau perlu

Daripada ketiga perkara di atas, perkara nombor 1 adalah yang paling utama. Tanpa deposit 10%, surat perjanjuan jual beli (SPA) hartanah tidak dapat dibuat. Untuk perkara nombor 2 pula, sebagai permulaan biasanya cukup membayar RM500 sahaja dan bakinya boleh dibayar kemudian dari semasa ke semasa. Perkara nombor 3 adalah perkara yang subjektif.

Apa yang kami lakukan supaya dapat membayar perkara nombor 1 dan 2 anatanya adalah sebagai berikut.

1. Tabung khas pembelian rumah

Saya dan suri masing-masing memperuntukkan RM450 setiap bulan bagi dimasukkan ke dalam tabung khas untuk tujuan pembelian rumah. Duit ini disimpan di dalam akaun Tabung Haji. Jadi setiap kali mendapat gaji, RM450 x 2 = RM900  perlu disimpan terlebih dahulu dan selebihnya dibelanjakan bagi keperluan lainnya. Program ini berjalan selama setahun atau lebih sedikit.


2. Akaun kedua KWSP

Wang yang terkumpul dalam akaun kedua KWSP boleh dikeluarkan bagi tujuan pembelian rumah ataupun membayar hutang gadai janji rumah yang sedia ada (bagi yang berkenaan). Bagi mengetahui jumlah wang yang terkumpul dalam akaun KWSP biasanya kami ke kiosk RHB Easy Loan (yang berwarna tema pink) dan meminta jasa baik pegawai kiosk supaya tolong mencetakkan penyata akaun KWSP. Hanya perlu tunjukkan kad pengenalan sahaja.
Gambar RHB easy loan

3. Jual/gadai emas

4. Pinjam daripada ibu bapa atau saudara mara terdekat

5. Jangan sekali-kali mengambil pembiayaan/pinjaman peribadi untuk urusan ini.

Ketika singgah di kiosk RHB bagi mencetak penyata KWSP boleh jadi pegawai kiosk menawarkan perkhidmatan mereka atau mungkin kita sendiri yang terfikir hendak menggunakan perkhidmatan mereka. :v

RFS

PEMBELIAN RUMAH KEDIAMAN

  • 0
Setelah mengkaji sekian banyak iklan rumah yang dijual, saya dan suri memutuskan untuk membeli rumah di Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. Sebenarnya sejak awal lagi kami memang telah bercadang hendak membeli rumah di situ. Walau bagaimanpun kami perlu juga mengkaji rumah yang dijual di kawasan lain yang berhampiran bagi membuat perbandingan. Setelah melawat, membandingkan dan mempertimbangkan pelbagai perkara, akhirnya kami sepakat bagi membeli rumah teres 2 tingkat lot tepi (corner lot).
Rumah yang kami beli nampak daripada jalan raya.
Urusan pembelian rumah ini dibantu oleh salah seorang ejen hartanah yang begitu disegani di kawasan Nilai ini, terutama di kawasan Desa Anggerik iaitu Tuan Jackson Lim. Banyak rumah terbengkalai yang telah beliau baik pulih dan kemudian beliau jual dan sewakan.

Harga rumah ini tidak menepati rancangan peruntukan asal kami disebabkan harganya RM2xxk. Tapi memandangkan rumah yang kami beli ini lot tepi, berada di laluan utama kawasan taman, di sebelah jalan raya dan memiliki potensi yang agak memberangsangkan dalam 3-5 tahun kemudian, harga yang perlu kami bayar adalah berpatutan. Wallahu ta'ala a'lam.

Surat perjanjian jual beli (SPA) rumah ini ditandatangani pada hari Jumaat, 30 Disember 2011. Tentu sahaja SPA hanya sah dan boleh ditandatangani apabila deposit sebanyak 10% daripada harga rumah telah dibayar kepada peguam iaitu RM2xk. Oh! Tidak sangka pula kami mampu mengumpul wang sebanyak itu bagi membayar deposit rumah. Itu belum termasuk kos-kos lainnya yang perlu dibayar kemudian hari. Ho ho ho...

Saya akan kongsikan bagaimana kami berjaya mengumpulkan wang yang diperlukan bagi membayar kos-kos pembelian rumah ini pada entry yang lain, in syaa Allah. :)

P/S: Sebelum membulatkan tekad bagi membuat keputusan akhir untuk membeli rumah ini saya dan suri telah menjemput ibu bapa mertua saya melawat dan melihat sendiri rumah yang hendak kami beli bagi mendapat restu dan pekenan daripada mereka. Kebetulan pula ketika lawatn sedang dibuat, tiba-tiba hujan turun denga begitu lebatnya. Peluang tersebut saya gunakan bagi memeriksa sekiranya ada sebarang kebocoran. Alhamdulillah, tiada masalah kebocoran. :)

PERANCANGAN MEMBELI RUMAH KEDIAMAN

  • 0
Ketika ini saya baru sahaja berpindah tempat kerja. Jika sebelum ini saya mengajar di Maahad Tahfiz di Kuantan, Pahang, sekarang ini saya mengajar di Maahad Tahfiz di Seremban, Negeri Sembilan. Antara sebab saya berpindah ke Negeri Sembilan disebabkan suri saya menetap di Seremban dan bekerja di Nilai, Negeri Sembilan. Saya terpaksa berulang Kuantan-Seremban-Kuantan hampir setiap minggu. Apabila dikira-kira kos perjalanan saya dalam lingkungan RM400 setiap bulan. Abang sulung saya pernah memberi nasihat kira-kira begini: Buat apa kita mencari nafkah untuk keluarga tetapi terpaksa berpisah dan jauh dari keluarga?
Ehsan daripada Tuan Flickr
Apabila dapat berpindah ke Negeri Sembilan, saya dan suri merancang hendak membeli rumah sendiri. Kami telahpun bersepakat hendak membeli rumah di Nilai. Ketika menetap di Seremban, setiap bulan suri saya perlu memperuntukkan kira-kira RM400 bagi minyak dan tol.

Apabila dijumlahkan kos pengangkutan saya RM400 dan suri RM400, setiap bulan kami menghabiskan kira-kira RM800 bagi pengangkutan. Jumlah sebanyak itu apabila digunakan untuk membeli rumah, boleh dapat rumah berharga RM160k dengan tempoh pembiayaan selama 30 tahun. Daripada RM800 itu terus dihabiskan di atas jalan, adalah lebih baik jika digunakan untuk membeli rumah. :)

Saya telah mengkaji iklan rumah dijual di kawasan Nilai sejak beberapa bulan yang lalu. Rumah teres 1 tingkat masih ada yang dijual pada harga di bawah RM100k. Manakala rumah teres 2 tingkat dijual pada harga RM150k-200k dan ada juga yang lebih mahal.

Bajet yang kami tetapkan bagi harga rumah yang hendak kami beli pada harga di bawah RM200k bagi rumah teres 2 tingkat. Lebih murah, lebih baik. Sempena cuti sekolah yang masih berbaki ini, saya menggiatkan lagi usaha mencari dan melawat rumah yang dijual di kawasan Nilai. :D