Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

BAHASA CINTA 2

  • 0
Kebahagiaan dalam rumah tangga boleh disemai dan disuburkan dengan selalu berusaha untuk gembirakan isteri.

Dan nak buat isteri happy tak semestinya dengan selalu keluar duit untuk belikan hadiah atau belanja makan mewah.

Selain dengan kata-kata manis (tips minggu lepas), salah satu cara sederhana namun berkesan adalah dengan sentuhan kasih sayang. Boleh dengan usapan, belaian atau pelukan.

Kalau nak lebih disayang, sekali sekala cuba rendahkan ego anda sebagai suami sehingga sanggup picit dan urut badan isteri.

Contohnya masa nak kejut isteri bangun tidur, picit-picit kakinya. Bila dia dah terjaga dan duduk, urut pula badannya pada bahagian belakang, leher, bahu dan lengan. Insya-Allah isteri yang sebelumnya rasa berat nak bangun dan buka mata akan rasa ringan nak melayang. Hihi.

Bila badan isteri dah selesa, insya-Allah macam-macam kerja boleh dibuat dan banyak urusan dapat diselesaikan.

Kalau dapat buat macam itu hujung minggu sahaja pun insya-Allah isteri rasa cukup bahagia. Kalau buat hari-hari apatah lagi. Hihi.

Tak perlu jadi pakar dalam bab urut untuk buat perkara ini. Hanya perlukan keikhlasan hati serta keinginan yang tinggi untuk wujudkan kebahagiaan dalam rumah tangga.

Berikan bahagia, insya-Allah kebahagiaan akan datang sendiri kepada kita.

Happy wife, happy life.

RFS

JADI BAPA TUNGGAL

  • 1
Hari ini, 8 tahun lepas saya bergelar sebagai seorang suami. Hari ini saya adalah seorang suami sekali gus ayah kepada 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan.

Namun sejak isteri berpantang kat rumah mentua, bila weekdays sahaja saya akan jadi macam bapa tunggal dengan 3 orang anak.

Anak pertama (6 tahun), kedua (4 tahun) dan ketiga (2 tahun) duduk dengan saya sebab mereka bersekolah (tadika dan taska) di Nilai.

Bila hujung minggu atau cuti, baru saya dan anak-anak balik ke rumah mentua untuk bersama dengan isteri dan baby.

Minggu ini nak cukup sebulan saya hidup macam bapa tunggal. Rasa sungguh mencabar dan kena banyak bersabar. Hehe...

Bangun pagi-pagi kena sediakan sahur sendiri. Kalau bangun dalam masa kecederaan nak dekat subuh, dapat teguk air sahaja pun alhamdulillah. Itupun ada 3-4 kali juga saya terlepas sahur. Huhu...

Nak solat subuh berjamaah kena tinggal sekejap anak-anak yang sedang lena. Kalau kebetulan anak bangun dan nak ikut, terpaksa bawa sekali.

Balik surau memang tak ada masa rehat. Kejut anak sulung supaya mandi. Iron pakaian sendiri dan anak-anak. Sambil siapkan barang anak-anak, curi masa untuk siapkan diri sendiri. Mandikan anak-anak. Kadang-kadang suapkan makan juga. Dah selesai urusan anak-anak, hantar pula mereka ke sekolah. Selepas itu saya terus bertolak ke tempat kerja di Bangi. Ini adalah kesibukan saya sebagai bapa tunggal di sebelah pagi.

Balik kerja dah asar. Selepas asar dapat rehat sekejap. Selepas itu kesibukan kembali berdatangan.

Ambik anak kat sekolah, beli makan untuk anak-anak dan sendiri nak berbuka. Kadang-kadang buka puasa kat surau atau masjid, tapi sebelum maghrib memang dah kena suap anak-anak makan, barulah dapat berbuka dengan tenang. Sebelum itu on mesin basuh dulu.

Kalau berbuka kat masjid, kena bawa anak-anak sekali. Duduk kat masjid sampai habis tarawih atau witir.

Kalau masjid yang ada nursery macam Masjid Hasanah Bangi dan Masjid Bandar Seri Putra, tenang sikit nak bawa anak-anak. Kalau masjid dan surau yang tak ada nursery, dapat solat isyak berjamaah pun dah ok sangat. Sesekali tarawih dan witir sambung kat rumah sahaja.

Nak masuk tidur, anak ketiga ada perangai tersendiri. Kalau ok, saya teman sekejap sahaja dah tidur. Tapi kalau sedang meragam, macam-macam kena buat nak layan kerenahnya. Huhu...
Begitulah serba serbi kehidupan rumah tangga. Adakalanya suka dan bahagia, adakalanya duka dan derita. Bukan semua smooth sahaja. Ini adalah realiti, bukannya fantasi seperti yang selalu kita lihat di kaca tv atau news feed FB.

Kahwin bukan sekadar cinta dan dating halal. Bangga dapat tunjuk sweet, boleh pegang tangan pasangan ke hulu ke hilir, suap makan ke mulut pasangan, buat adegan romantik, snap kemudian upload di media sosial dan yang sewaktu dengannya.

Kalau kita tengok perkara yang indah-indah daripada kehidupan kawan yang telah kahwin, sebenarnya itu semua hanya apa yang mereka mahu perlihatkan kepada dunia.

Kalau nak, kita pun boleh juga nak buat macam itu. Tapi bila fikir-fikir semula, kurang manfaatnya. Malu pun ada. Haha...

Bila dah kahwin kena bersedia dengan bab mandikan dan tukarkan lampin anak, bilas dan basuh baju yang kena kencing dan najis, makan minum tumpah kat sofa dan lantai kena lap dan mop, kemaskan mainan anak berselerak sampai nak jalan pun susah dan macam-macam lagi.

Untuk menjayakan kehidupan rumah tangga, rasa CINTA sahaja tidak cukup. Ia perlu disulami dengan rasa TANGGUNG JAWAB. Dan ini adalah beban yang sungguh berat. Hanya lelaki sahaja yang sanggup memikulnya.

Kata kunci yang paling utama adalah SABAR dan SYUKUR. Bersabar apabila diuji dengan kesusahan. Dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah, sedang dan akan Allah kurniakan.

Saya sendiri baru kahwin 8 bulan, eh silap, 8 tahun. Perjalanan masih jauh. Banyak lagi perlu belajar. Sentiasa perlu latih diri supaya bersabar dengan pasangan dan anak-anak.

Kena ringankan mulut ucapkan kata-kata mesra dan sayang. Tangan kena rajin belai, peluk pasangan dan anak-anak. Dan kadang-kadang tolong urut dan picit juga.

Panjang pula perkongsian kali ini. Harapnya sedikit sebanyak ada  manfaat bagi yang membaca. Tahniah saya ucapkan kepada anda yang baca sampai habis.

Akhir sekali, mohon doakan rumah tangga saya kekal bahagia hingga ke syurga. Terima kasih.

RFS
Lapan tahun membina syurga dalam rumah tangga

P/S: Dulu masa bertunang, saya rancang nak nikah pada hari Sabtu, 12hb Jun 2010. Tapi Disember 2009 saya putus tunang. Akhirnya saya nikah pada hari Jumaat, 11hb Jun 2010. Awal sehari daripada perancangan asal. Hehe...

Nak tahu macam mana saya putus tunang tapi akhirnya menikah juga? Jemput baca dalam komen kat bawah.

PERSEDIAAN BERKHWIN

  • 0
Ada seorang anak muda PM saya tanya soalan dan minta nasihat tentang persediaan nak kahwin.

Saya bukanlah orang yang ada banyak pengalaman dalam kehidupan rumah tangga. Kahwin pun sekali sahaja.  Itupun dah 8 tahun lepas. Hihi.

Tapi memandangkan Nabi SAW pernah pesan bahawa sekiranya ada yang minta nasihat, maka kita perlu tunaikan permintaannya. Dan sebaik-baik nasihat adalah agar bertakwa kepada Allah serta beriman kepada hari akhirat.

Nak kahwin ada pelbagai persediaan yang perlu disiapkan. Kewangan hanya salah satu daripada banyak perkara.

Perkara yang paling utama adalah agama. Menilai agama bakal pasangan itu memang penting, namun menjaga dan meningkatkan agama dalam diri sendiri lebih penting lagi.

Nak dapat jodoh baik, kena jadi baik dulu, kini dan selamanya.

Dalam bab bercinta ini ada beberapa buku yang suka saya cadangkan untuk dibaca oleh bakal pengantin, pengantin baru dan juga pengantin lama.

Antaranya buku Tentang Cinta oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan buku oleh Ustazah Fatimah Syarha seperti Cinta High Class atau novel Seindah Mawar Berduri.

Lagi satu, baca juga buku-buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tentang cinta. Insya-Allah boleh jadi panduan untuk perbaiki diri sebagai ikhtiar bertemu jodoh yang baik.

Dalam bab kewangan pula, nak cari dan kumpul duit tak perlu tunggu ada jodoh. Tapi kalau dah jumpa jodoh, wajib ada duit bila nak kahwin. Kan?

Boleh cari duit dan jodoh sekali gus serentak. Kalaupun belum jumpa jodoh, duit masih perlu tetap dicari dan diuruskan dengan baik bagi meneruskan hidup.

Bila dah sampai masa nak kahwin pula, ada 2 hal yang perlu diambil kira, #1 duit untuk belanja kahwin dan #2 duit belanja untuk kehidupan selepas berkahwin. Usah berlebihan pada #1 sehingga menyusahkan yang #2.

Kewangan memang bukan perkara utama dalam membina kebahagiaan rumah tangga. Tapi masalah kewangan boleh jadi punca utama keruntuhan rumah tangga.

Sekian sahaja perkongsian kali ini. Terima kasih sudi baca sampai habis.

RFS
Pengantin purba

DOSA IBU BAPA KEPADA ANAK

  • 0
Salah satu dosa ibu bapa terhadap anak adalah membanding-bandingkan mereka.

Nak bagi contoh tak pandai pula. Tapi perkara ini memang sering kali berlaku. Saya percaya anda tahu.

Amalan membanding-bandingkan anak sama ada dengan adik-beradiknya sendiri ataupun dengan anak orang lain (kawan anak, anak kawan kita, anak jiran atau sepupu) adalah cara yang salah dalam mendidik.

Setiap anak adalah istimewa. Mereka ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sedangkan kembar seiras pun tidak sama, inikan pula yang jauh berbeza.

Cara ini sangat berisiko mencederakan emosi, melukakan hati dan boleh mengakibatkan anak menyimpan dendam kesumat.

Mungkin masa kita kecil dulu pun kita pernah disakiti sebegini oleh orang dewasa yang kita hormati lagi kita sayangi. (Ya, ia lebih menyakitkan apabila yang melakukannya adalah orang yang dekat dengan kita.)

Bahkan terkadang amalan ini berterusan terbawa-bawa sehingga kita dewasa dan berkeluarga.

Contohnya oleh ibu bapa sendiri, ibu bapa suami/isteri, datuk nenek yang kita kasihi dan mungkin guru yang kita segani.

Saya percaya dosa ini masih diamalkan oleh ibu bapa sama ada disedari mahupun tidak.
.
Kita yang dulu pernah kena begitu, masa sekarang dah dewasa kadang-kadang buat perkara yang sama kepada anak-anak.

Perkara yang buruk tak elok diteruskan. Derita yang kita pernah rasa usah diwariskan kepada mereka dan zuriat mereka nantinya.

Ya, sedikit sebanyak kita terikut-ikut cara yang ibu bapa kita amalkan. Begitu pula dengan anak kita nantinya.

Yang baik, teruskan. Yang buruk, tinggalkan.

Jika marah (semua orang pernah marah), biarlah kerana Allah dan sebab sayangkan mereka.

Jika kita buat salah kepada anak (semua orang buat salah), jangan segan minta maaf. Salam, peluk dan cium mereka. Lafazkan maaf dengan ikhlas.

Kalau tak buat salah pun kadang-kadang boleh buat macam ini.

Anak-anak lebih mudah belajar daripada apa yang kita tunjukkan daripada apa yang kita cakapkan.

Terima kasih sudi baca sampai habis. Care to share.

RFS
Masih belajar jadi ayah mithali

KESAN BURUK GAJET KEPADA ANAK

  • 0
Antara kesan apabila kanak-kanak terlalu banyak dan kerap menggunakan gajet adalah seperti berikut.

+ Mengganggu fungsi otak, saraf dan mata.
+ Mudah hilang fokus.
+ Perkembangan mental terbantut.
+ Ketinggalan dalam pembelajaran.
+ Kemampuan mengawal diri menurun.
+ Meningkatnya kecenderungan untuk buat sesuatu secara melulu.
+ Kajian juga menunjukkan kanak-kanak kurang empati dan lebih ganas dalam interaksi.

Kesan di atas sedikit sebanyak juga berlaku terhadap orang dewasa. Bila Pokemon Go mula masuk ke negara ini, mungkin kita akan lihat kesannya akan bertambah parah.

Sekian. Terima kasih. Care to share.

RFS

CERAMAH PARENTING

  • 1

Semalam saya menyertai satu ceramah parenting (keibubapaan) yang disampaikan oleh sahabat saya, Us. Nur Firdaus I-Trec. Kami saling kenal sejak 12 tahun lepas ketika belajar di Darul Quran JAKIM.

Tamat belajar di DQ, Us. Nur Firdaus menyambung pengajian di UKM dalam bidang pendidikan. Sekarang beliau sedang belajar di UM peringkat master.

Beliau juga seorang ayah kepada 2 orang cahaya mata.

Antara point penting yang sempat saya catat dan ingat daripada perkongsian beliau adalah seperti berikut:

1. Ibu bapa perlu ambil tahu 3  aspek pertumbuhan anak:
+ cognitive
+ affective
+ psychomotor

2. Seelok-eloknya anak dijaga oleh ibu bapa. Kalaupun dijaga oleh orang lain, apa yang penting adalah kualiti penjagaan.

3. Dalam hadis Nabi dinyatakan, ajar anak solat umur 7 tahun dan kalau tak solat, pukulan (sebagai satu bentuk pengajaran) dibenarkan pada umur 10 tahun. Adapun prosesnya:
+ bina keakraban (attachment) dengan anak seawal usia
+ kenalkan anak dengan Allah pada setiap masa.
+ ajar solat sebelum 7 tahun.

4. Anak-anak akan banyak bertanya pada umur 4-7 tahun. Dalam satu kajian, anak bertanya 109 soalan yang berbeza.

5. Kata-kata atau soalan anak adalah output daripada otaknya. Otak adalah enjin yang memproses maklumat.

6. Ada 2 pattern soalan:
+ soalan sama berulang kali
+ soalan expanded (berkait dan bersambung)

7. Tindakan terbaik ibu bapa terhadap soalan anak adalah menjawabnya dengan penuh kesabaran.

8. Jangan beranggapan soalan akan berhenti apabila soalan telah dijawab. Kerana setelah satu soalan dijawab, dalam kepala anak ada berderet lagi soalan lain yang hendak ditanya.

9. Memarahi anak dan melarangnya bertanya soalan akan membantutkan perkembangan otak dan minatnya untuk terus belajar daripada persekitaran.

9. Kaitkan jawapan dengan Allah. Contoh:
+ ini kucing, Allah yang cipta.
+ Ini kertas, kertas dari pokok, Allah cipta pokok.
Mereka mungkin belum faham, tapi boleh serap apa jua yang kita sampaikan.

10. Anak-anak meniru perbuatan orang dewasa bermula umur 2 tahun. Ada 2 jenis peniruan.
+ meniru apa jua perbuatan
+ meniru tingkah laku sosial, termasuk ucapan (social referencing)

11. Parenting adalah satu kerja yang perlu dibuat sepanjang 24/7/365 tanpa rehat. Hanya dapat rehat bila anak tidur, itupan kadang-kadang tak dapat juga. Sebab bila anak tidur, baru dapat buat kerja.

12. Elakkan daripada memberi kuasa terhadap tv, komputer dan gajet. Kanak-kanak tidak perlukan itu. Mereka lebih perlukan perhatian. Memberi kuasa bermaksud membenarkan anak mengawal sendiri peralatan tersebut. Contohnya, anak boleh pegang remote untuk on, off atau tukar channel pilihannya sendiri.

13. Bagi RUANG untuk anak tapi tetapkan BATAS. Sentiasa perlu jelas konsep RUANG dan BATAS. Dalam kes tv, misalnya:
Ruang = boleh menonton tv
Batas = channel dan masa ditetapkan oleh ibu bapa

14. Bila beri ruang, anak akan buat silap. Ambil peluang daripada situasi itu untuk bimbing anak agar dapat belajar perbaiki kesilapan dan perbetulkan keadaan.

15. Kalau tak nak sunguh-sunguh korbankan masa dan tenaga mendidik anak sepanjang 5 tahun pertama usia anak, kita akan penat sepanjang hayat. Tempoh 5 tahun ini amat kritikal dalam mencorakkan siapa dan bagaimana anak kita nanti.

Wallahu ta'ala alam.

Tambahan: Saya bertanya kepada Us. Nur Firdaus, buku parenting apa yang beliau cadangkan untuk saya baca? Jawapan beliau adalah buku Brain Rules dan Brain Rules for Baby oleh John Medina.

RFS
Bapa 3 anak

P/S: Ini hanya sekadar point penting. Untuk syarah yang lebih jelas, terang dan terperinci, seeloknya terus datang dan dengar sendiri.

Ceramah seterusnya pada bulan Januari 2016, insya-Allah. Lokasi di Desa Pinggiran Putra, Kajang. Sesi perkongsian ini percuma tapi ilmu dan pengalaman yang disampaikan sungguh mahal dan tak ternilai harganya.

Saya akan berikan maklumat program dalam komen di bawah. Add dan follow juga perkongsian beliau di FB dan FB page Ikhwah Training & Resources.

TIPS UNTUK MENINGKATKAN SELF-ESTEEM ANAK APABILA PULANG DARIPADA TEMPAT KERJA

  • 0

Apabila balik pasti kita semua penat seharian bekerja. Apabila pulang ke rumah, kita perlu siapkan kerja di rumah dan melayan anak-anak.

Sebelum memulakan sebarang tugas, luangkan masa beberapa minit dengan anak. Masa yang sangat kualiti. Masa yang sangat menggembirakan.

Apabila memulakan bicara, mulakan dengan soalan-soalan akhlak yang kita tahu anak kita mampu lakukan.

Contoh:
1) Siapa hari ini tolong ummi kemas rumah?
2) Siapa hari ini tolong ummi jaga Dani?
3) Siapa hari ini selalu beralah dengan Dani supaya tak tantrum?
4) Siapa yang selalu play dengan kakak?
5) Siapa baca Iqra' hari ini?
6) Siapa hafal surah hari ini?
7) Siapa baca buku hari ini?

Apabila anak menjawab, sertakan pujian dengan impak positifnya.

Contoh: Dhuha, tolong Ummi kemas rumah. Terus puji dan nyatakan impaknya.

"Bagus kakak solehah girl, tolong Ummi kemas rumah (puji). Mesti Ummi tak penat sangat dan happy (impak positif)"

________________________

Teknik di atas di ambil daripada komunikasi Nabi Muhammad saw dengan sahabat. Nabi saw menyoal tentang siapa yang melakukan akhlak baik tersebut, kemudian menyatakan impak positifnya, iaitu 'sudah tentu masuk syurga'.

Hadith rujukan: Hadith Abu Bakar Masuk Syurga.

Abu Hurairah melaporkan, bahawa pada suatu masa Rasulullah pernah bertanya, 

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar menjawab, “Saya!” Beliau bertanya lagi,

“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya!”

Lalu Nabi Muhammad pun berkata, “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.”

[Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim]

Sumber: Mengurus Tingkah Laku Anak Gaya Nabi

MAJLIS NIKAH DAN WALIMAH KAMI

  • 0

Saudari Mujahidah Puteri menulis status FB seperti berikut:

Bila menatap lambakan potret sahabat-sahabat dalam arena dakwah yang baru mendirikan rumahtangga, dengan pelbagai aksi mesra, bersanding, solekan tebal dan gambar close up, pertama sekali yang terdetik adalah rasa simpati.

Mereka ahli dalam bidang agama dan tentu sekali menyedari perihal hukum, justeru saya cenderung menganggap keberadaan mereka dalam suasana sedemikian adalah bukan atas pilihan mereka.

Detik-detik bergelar raja sehari, kadang-kadang yang banyak menetukan itu dan ini adalah kaum keluarga. Si pengantin kadangkala terpaksa mengikut demi menjaga hati. Lalu terjadilah apa yang terjadi.

Cuma harapnya, ia kembali diperbaiki. Isteri hanya untuk tatapan suami. Jangan biar keindahannya dinikmati oleh mata-mata ajnabi. Bahagia dan berkat dalam rumahtangga bukan pada potret perkahwinan yang dibangga-bangga, ingat tu :)

[copied from myilham.com]
___

Berikut ini saya kongsikan sedikit pengalaman saya ketika melangsungkan pernikahan dan majlis walimah.

Majlis Nikah

Saya menikah dan mengadakan walimah pada hari yang berbeza. Ketika majlis nikah, hanya keluarga dekat dan kawan rapat sahaja yang dijemput.

Pada malam sebelum majlis nikah, saya berbincang dan berpakat dengan bakal ayah mertua melalui telefon tentang perjalanan program (tentatif) untuk esok hari. Kami menyepakati apa yang perlu (seperti pakai sarung tangan bagi isteri sebagai bentuk ikhtiar berhati-hati) dan apa yang tidak perlu dilakukan (seperti cium dahi isteri, jemput baca ---> notarfs.blogspot.com/2011/12/mencium-dahi-isteri-selepas-akad-nikah.html).

Juru gambar dan juru solek atau mak andam (sekiranya ada) sepatutnya mengikut kehedak kita sebagai pelanggan yang sianggap raja, bukannya kita yang mengikut kehendaknya. Jadi, tidak perlu ikut kehendak mereka sekiranya boleh mencalarkan maruah kita dihadapan Allah SWT dan Rasul SAW.

Majlis Walimah

Ketika majlis walimah, kami menghidangkan jamuan secara buffet. Kami membahagikan 3 kawasan meja makan, bagi mengurangkan percampuran (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan.

Gambarannya seperti ini: kawasan meja lelaki, meja buffet (sebagai partition), kawasan meja keluarga (di tengah), meja buffet lagi dan kawasan meja perempuan. Kami meletakkan label bagi setiap kategori meja. Walaupun tidak semua tetamu mengikut meja yang ditetapkan, namun begitu sedikit sebanyak apa yang kami upayakan boleh dikatakan memuaskan.

Meja makan pasangan pengantin diletakkan berasingan dari meja para tetamu, iaitu di bahagian dalam pagar rumah.

Saya dan isteri tidak bersanding, malah kami menjadi penyambut tetamu dan beramah mesra dengan mereka. Saya di kawasan meja lelaki, manakala isteri di kawasan meja perempuan dan sekali sekala ke kawasan meja keluarga.

Jadi kami hanya bersama ketika makan dan sesi bergambar bersama tetamu tertentu sahaja.

Untuk sesi bergambar bersama tetamu, kami hanya bergambar di dalam rumah. Hanya keluarga dan kawan rapat sahaja yang dapat bergambar kami suami isteri, sama ada kami yang menjemput ataupun mereka yang meminta.

Tetamu yang kurang rapat, hendak minta bergambar dan masuk ke dalam rumah pun segan. :)

Pernikahan adalah suatu ibadah. Syarat diterimanya suatu ibadah adalah kemurnian ikhlas pada niat serta mengikut panduan yang diajarkan syariat.

Tidak mungkin suatu ibadah itu bisa mencapai redha Allah jika dalam proses pelaksanaannya ternoda oleh hal-hal yang bertentangan dengan kehendak-Nya.

Syaitan sentiasa berusaha merosakkan niat dan proses ibadah pernikahan hamba-hamba Allah dengan pelbagai cara. Syaitan sungguh kreatif dalam menjerumuskan anak Adam ke dalam lembah dosa.

Hanya dengan perlindungan-Nya saja kita boleh terlepas daripada tipu daya syaitan. Maka mohonlah kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan dan sentiasa dijaga.

Sekadar perkongsian pengalaman. Semoga ada manfaatnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

RFS
Bukan malaikat

5 STRATEGI IBU BAPA PENDORONG

  • 0

Ada 5 strategi yang perlu dijalankan bagi menjadi ibu bapa pendorong, iaitu:

1. Buang strategi garang.
2. Mengubah 'konsep diri' negatif ke positif.
3. Mengekalkan 'konsep diri positif' dengan MEMUJI daya usaha, hasil kerja dan prestasi anak.
4. Tingkatkan estim diri (maruah/harga diri) anak.
5. Cipta peluang supaya anak dapat bertindakbalas
dengan maklumat dan pengalaman baru.

Sumber: Mengurus tingkah laku anak gaya Nabi

3 ILMU KITA KENA CARI SENDIRI

  • 0
Pada pemerhatian saya, ada 3 ilmu yang kalau kita tak usaha cari dan belajar sendiri, kita akan amalkan mengikut pengalaman yang kita rasa dan lihat sendiri daripada ibu bapa, atuk nenek, pakcik makcik atau nasihat saudara, rakan, jiran ataupun sekadar terikut-ikut orang lain, sama ada disedari atau tidak.

1. Ilmu perhubungan antara pasangan suami isteri
2. Ilmu keibubapaan
3. Ilmu kewangan

Ketiga ilmu ini sangat penting tapi malangnya ketiga ilmu ini tidak diajar secara formal di bangku sekolah dan di bilik kuliah.


Mana Nak Cari?

1. Ilmu perhubungan antara pasangan suami isteri

Boleh baca dan ulang selalu buku seperti:
+ Suami Memimpin, Isteri Mengurus oleh Pak Utih
+ Why Men Don't Listen and Women Can't Read Maps
+ Men Are From Mars, Women Are From Venus

2. Ilmu keibubapaan
Baca buku-buku parenting seperti:
+ Tarbiyah al-Awlad ataupun Prophetic Parenting
+ Ibu Kool Bapa Hebat
+ Segenggam Iman Anak Kita

3. Ilmu kewangan
+ Rich Dad Poor Dad
+ Jutawan Dari Planet Jupiter atau boleh juga Maharaja Wang oleh Tuan Azizi Ali
+ Ebook ini --->  Nota Duit

Saya percaya setiap ringgit yang anda laburkan bagi membeli buku ini, setiap minit yang anda habiskan bagi membaca dan mempelajari ilmu yang terkandung di dalamnya, akan sangat bermanfaat jika dapat diamalkan sepanjang hidup anda.

Oh, banyak sangat! Tak mampu nak beli dan baca semua. Apatah lagi nak amalkan. 

Kata ulama', "Kalau tak dapat buat semua, jangan tinggal semua."

Wallahu ta'ala a'lam.


RFS

PRINSIP IBU BAPA PENDORONG

  • 0

Ada 5 prinsip yang perlu menjadi pegangan bagi menjadi ibu bapa pendorong.

1. Pujian sebagai motivasi
2. Tidak siasat kesalahan anak
3. Tidak kritik diri dan salah anak
4. Menjaga dan menyelamatkan maruah anak
5. Berkata positif atau lebih baik diam

Sumber: Mengurus tingkah laku anak gaya Nabi

UCAPKAN SAYANG

  • 0

Walaupun isteri Anda tahu bahawa Anda menyayanginya, dia tetap mengharapkan Anda mengucapkan, "Saya sayang awak" atau yang seumpamanya dan berasa bahagia apabila mendengarnya.

Anda pula memang perlu mengucapkannya berulang kali bagi meneguhkan komitmen cinta terhadapnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

RFS

MARAH SEBAB SAYANG?

  • 0
Seorang peserta bertanya kepada saya, "Bolehkah kita marah anak, tetapi selepas itu kita berkata kepada mereka bahawa kita marah kerana sayang?"

1. Marah bukan satu-satunya cara untuk menjelaskan perasaan sayang.

2.  Teknik marah yang salah memberi kesan negatif kepada psikologi. Sukar sekali kita mendengar kata-kata positif diucapkan oleh orang yang sedang marah.

3. Nabi menunjukkan beliau diam ketika marah. Apabila tingkah laku orang lain berubah, beliau senyum dan memuji kebaikan.

4.Apabila ibu bapa kerap menggunakan alasan "marah kerana sayang", kita akan memerhati tingkah laku konsisten kanak-kanak iaitu:
Mereka mengulang-ulang tingkah laku nakal supaya mereka dimarah. Marah tanda sayang. Apabila buat nakal, mereka mendapat perhatian.


Sumber: Cikpuan Nurhidayah Jaafar

PANDANGAN PERIBADI SAYA TENTANG VAKSIN

  • 0
Bismillah.

Mereka yang anak-anaknya terkena AEFI adalah ibu bapa yang percaya dengan kebaikan vaksin dan imunisasi. Oleh kerana percaya dengan kebaikannya itu, mereka membawa buah hati kesayangan ke klinik mengikut jadual yang ditetapkan bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Apa yang dapat saya simpulkan, menurut GPF apa yang berlaku (pada gambar) ini adalah AEFI. Berkenaan pengkelasan (klasifikasi) AEFI ini hanya boleh dipastikan selepas siasatan yang terperinci dilakukan oleh pihak yang berkenaan.

---------- selingan ----------
Mohon jangan hina diri anda dengan mengatakan bahawa ini adalah kesan melecur terkena air panas, seterika, ekzos, rokok dan sebagainya. Mohon luangkan sedikt masa bagi membaca keterangan (caption) pada gambar sebelum memberi komentar.

Usah pula mengatakan bahawa kesan sampingan daripada suntikan vaksin sepatutnya bermula di paha (kawasan suntikan), bukannya di belakang badan. Ini boleh menyerlahkan kerendahan tahap intelektual anda tentang sistem tubuh badan manusia).
---------- ---------- ----------

Namun yang menjadi masalah, ibu bapa sungguh sukar hendak mendapat kerjasama daripada pihak pegawai perubatan dan jururawat yang terbabit bagi membuat laporan AEFI.

Pihak pegawai perubatan dan jururawat yang berkenaan juga sukar hendak mengakui bahawa ini adalah AEFI serta seboleh-bolehnya hendak menafikannya dengan pelbagai teori dan alasan.

Melihat daripada yang berlaku ini sepertinya menjadi sebuah kewajaran apabila ibu bapa hendak mempertimbangkan semula sama ada masih mahu meneruskan pemberian vaksin atau terus berhenti serta merta.

Pilihan di tangan masing-masing.
_____

Saya secara peribadi begitu kagum dan hormat kepada sesiapa sahaja yang berkerjaya sebagai pegawai perubatan ataupun jururawat. Bagi saya, hanya mereka yang memiliki jiwa kental dan cekal sahaja layak dan mampu memilih kerjaya sebagai pegawai perubatan dan jururawat.

Namun dalam hal vaksin dan imunisasi, izinkan saya dan rakan-rakan memilih jalan yang berbeza dengan kebanyakan para pegawai perubatan dan jururawat selama ianya tidak bercanggah dengan kehendak syariat.

Walau bagaimanapun, kami memilih jalan ini bukannya tanpa ilmu dan hujah tersendiri. Menolak vaksin tidak bermakna menolak peranan industri perubatan dan farmasi secara keseluruhannya. Dan jauh sekali daripada hendak mencabar, memperlekeh mahupun memburukkan kerjaya para pegawai perubatan dan jururawat. Tidak sama sekali.

Namun para pegawai perubatan dan jururawat usahlah memaksa kami mengikut kehendak mereka. Apatah lagi mendabik dada berasa bahawa mereka lebih tahu dan paling benar dalam perkara ini serta memandang rendah ilmu dan pengalaman ibu bapa yang memilih untuk tidak menerima/meneruskan pemberian vaksin bagi buah hati kesayangan.

Boleh jadi ibu bapa yang mereka pandang rendah itu lebih tahu dan lebih banyak mengkaji tentang vaksin dan hubungannya dengan sistem ketahanan tubuh badan manusia (imuniti).

Mohon hormati pilihan orang lain sekiranya mahu dihormati.

What you give, you get back.

Wallahu ta'ala a'lam.


Mohon Cikpuan yang budiman lagi bijaksana sudi menilai dan memberi pandangan ke atas hujah saya berikut ini.

1. Setiap vaksin yang telah, sedang dan akan disuntikkan ke dalam tubuh seorang bayi mengandungi bahan-bahan tertentu seperti formaldehyde, aluminum, thimerosal (merkuri), MSG, antibiotik dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut boleh memberi kesan sampingan kepada tubuh badan dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Rujukan:
> http://www.cdc.gov/vaccines/vac-gen/additives.htm
> http://www.cdc.gov/.../vaccine-decision/side-effects.html
> http://www.cdc.gov/vaccines/vac-gen/side-effects.htm

2. AEFI (Adverse Event Following Immunization)

Sebarang kesan advers yang dialami setelah pelalian diberikan yang dipercayai disebabkan oleh pelalian tersebut. [GPF m/s 6]

Apa sahaja bentuk kesan sampingan yang berlaku selepas pemberian vaksin sama ada ringan (demam, ruam, bengkak), sederhana (muntah-muntah, pingsan, sawan) mahupun serius (kecacatan otak, lumpuh, kematian) disebut dengan istilah AEFI.

Secara ringkasnya GPF adalah sebuah polisi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatur dan mengawasi keselamatan proses vaksinasi/imunisasi.

Menurut GPF, setiap AEFI yang berlaku perlu dilaporkan kepada pihak yang berkenaan supaya dapat direkodkan dan dilakukan tindakan yang sepatutnya.

Rujukan:
> http://moh.gov.my/.../Garispanduan_Farmakovigilans.pdf
> http://www.pharmacy.gov.my/.../garispanduan...

3. Di Amerika Syarikat, dalam sehari sahaja ada beberapa kali laporan AEFI dibuat. Dalam setahun pula ada ribuan laporan AEFI dilaporkan. Kesemua laporan ini dapat dengan mudah dimuat turun (download) pada laman sesawang CDC* dan VAERS.

* CDC (Centers for Disease Control and Prevention) adalah sebuah agensi kerajaan Amerika Syarikat dibawah US Department of Health and Human Services yang berperanan mengawal sesuatu wabak penyakit dan menjalankan usaha-usaha pencegahan sesuatu penyakit itu daripada menular.

Rujukan:
> http://wonder.cdc.gov/vaers.html
> https://vaers.hhs.gov/data/data
_____

Saya berikan rujukan daripada link CDC, VAERS dan KKM. Kesemua ini adalah badan yang berautoriti dalam bidangnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

P/S: Ini adalah antara hujah yang saya sampaikan dalam perbincangan atau mungkin lebih tepatnya perdebatan tentang kesan vaksin di sini.

TIPS MELANCONG KE CAMERON HIGHLAND

1. Seeloknya pergi bukan pada musim cuti sekolah atau musim perayaan. Kenapa?
+ harga jualan produk berlipat ganda daripada harga asal yang normal.
+ kesukaran untuk park kereta.
+ kebanyakan hotel penuh dan harga juga lebih mahal.
+ kurang privasi.

2. Jika anda mahu membeli buah tangan atau buah/sayuran/teh dan lain-lain, belilah di kawasan S corner. Ada sign board S Corner sebelum menuruni bukit di situ. Di sini berderetan kedai dan gerai yang sangat murah berbanding di tempat-tempat lain seluruh Cameron Highlands.

Anda boleh mendapatkan buah strawberi yang besar dan manis sebanyak 5 pek dengan harga semurah RM10 sahaja berbanding jika anda beli di kawasan lain mungkin hanya 3 pek dengan RM10.

Anda boleh beli teh uncang sekotak RM5 dan jika beli lebih anda boleh dapat tawaran istimewa jika anda bijak mengayat.

Saya pernah mmbeli 20 kotak teh uncang dengan rm100 serta mendapat strawberry white coffe sekotak dengan percuma (harga RM0 jika beli).

Sayuran segar dan gemuk di sini cuma RM10 bagi 8 pek yang anda boleh pilih.

3. Kalau mahu makan nasi berlauk dengan porsi yang kenyang, lauk yang hebat harga yang memuaskan, masakan sedap, cari di Tanah Rata. Berdekatan sebelah terminal bas Cameron. Nama kedai Kak Yam, ada banner yang besar boleh nampak.

4. Cari hotel di sekitar tanah rata. Berhampiran kedai makan Kak Yam itu juga. Parkir kereta, jalan kaki untuk buat tinjauan (survey). Biasa backpackers suka menginap di hotel begitu.

Kalau datang bersama anak-anak kecil ada bilik yang pada kadar harga RM80 dengan kemudahan yang baik.

Sumber: Fadillah Nur

NASIHAT BAGI BAKAL PENGANTIN BARU

  • 0
Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal membina rumah tangga, antara sunnah-sunnah selepas pernikahan adalah seperti berikut ini.

- Suami solat sunat berjemaah dengan isteri, ini amalan sahabat. Buat pada malam pertama.
- Suami pegang ubun-ubun isteri dan baca doa.
- Suami hidang susu untuk isteri.

Ringkasnya semua amalan ini dibuat malam pertama di dalam bilik berdua dengan isteri, BUKAN depan orang ramai.

Amalan suami mencium isteri di hadapan para tetamu, tok kadi, wali dan saksi entah datang dari mana. Jangan tanya saya. -_-

Wallahu ta'ala a'lam.


BELANJA KAHWIN

Belanja kahwin yang paling banyak menelan kos biasanya untuk belanja kenduri dan wang hantaran.
Untuk menjimat perbelanjaan kenduri kahwin, rancang untuk sekalikan majlis nikah dan walimah pada hari yang sama.

Untuk perbelanjaan yang lebih jimat, buat kenduri yang sederhana. Utamakan belanja keperluan seperti makan minum tetamu dan tempat yang selesa.

Kurangkan belanja kehendak seperti mahligai pengantin macam anak raja, pakaian pengantin yang dipakai sehari cuma, kek 7 tingkat, DJ dan sound system konsert Jom Heboh, khidmat juru kamera dan sesi penggambaran macam nak masuk majalah, goodies bag atau bunga telur, sewa kereta mewah dan sebagainya.

Ingat, lagu tema kita adalah Kun Anta. ;)

Perbelanjaan selepas perkhawinan lebih penting daripada perbelanjaan majlis kahwin yang orang kata, "Alah, apa salahnya? Sekali seumur hidup."
_____

Tips berbelanja.
- Ukur baju di badan sendiri.
- Belanja di bawah paras kemampuan, bukannya mengikut kemampuan.
- Bezakan antara keperluan dan kehendak.
- Orang yang membazir bersaudara dengan syaitan. (Surah al-Isra': 27)
- Tidak boros, tidak kedekut, berpada-pada dalam membelanjakan wang. (Surah al-Furqan: 67)
_____

Untuk wang hantaran pula, tukar dengan sesuatu yang nampak lebih bernilai tapi dengan kos yang lebih rendah. Contohnya rumah, kereta, polisi takaful.

Rumah boleh cari yang bawah harga pasaran atau rumah dengan deposit/booking fee yang rendah.
Untuk memiliki kereta hanya perlu bayar sedikit wang muka.  Pastikan kereta mampu milik supaya tidak terbeban dengan ansuran bulanan.

Dengan RM100 sebulan atau RM1200 setahun, seorang anak muda boleh mendapat perlindungan asas sebanyak setengah juta.

Alternatif lainnya sijil ASB, SSP BSN, emas dan sebagainya.

Sekian perkongsian ringkas daripada saya seorang bujang tiga. Mudah-mudahan sedikit sebanyak membantu bakal pengantin dalam membuat persediaan.

RFS

P/S: Jangan suka tayang sweet (kemesraan) suami isteri di media sosial. Orang yang suka sangat tayang sweet di media sosial, di samping banyak mendapat pujian, rumah tangganya juga akan lebih banyak mendapat ujian.

Kehidupan dalam rumah tangga bukannya semua manis-manis belaka. Ada juga masam, sekali-sekala masin dan terkadang pahit. Namun semua itulah yang akan mendewasakan diri dan mematangkan fikiran.

DUIT RAYA ANAK

  • 0
Duit raya anak adalah duit anak. Kita hanya pemegang amanah. Jangan pecah amanah, guna duit anak tanpa kebenaran daripada mereka.

Anak anda banyak dapat duit raya? Didik mereka untuk simpan/labur sebahagian duit itu. Kalau dapat simpan/labur semua pun elok juga.

Ramai orang dewasa tidak mampu menyimpan secara konsisten kerana tidak mendapat ilmu dan pengalaman menguruskan kewangan sejak awal usia.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Beberapa tempat yang boleh anda pertimbangkan untuk meletakkan duit raya anak adalah seperti berikut:

1. Tabung haji
2. ASB
3. Akaun simpanan emas
4. Emas/perak fizikal
5. Dana pendidikan (amanah saham/takaful)
6. SSPN
7. Sijil Simpanan Premium BSN
8. AHB
9. Akaun simpanan tetap

Jadi, yang mana satu pilihan anda?

RFS

TIPS MENJELANG MUSIM PERAYAAN

  • 0
Beberapa perkara yang perlu dielakkan semasa musim perayaan.

1. Tukar kereta baru kerana mahu bermegah apabila pulang kampung.
2. Beli kuih-muih penuh semeja sebab mahu menunjuk-nunjuk.
3. Tukar perabot baru supaya tetamu terpegun apabila bertandang ke rumah.
4. Pakaian baru mengikut fesyen tapi tak menepati kehendak syariat kerana ingin tampil anggun bergaya.
5. Bersalam-salaman antara bukan mahram kerana mahu nampak mesra.
6. Menunda-nunda solat kerana mahu bersilaturrahim dan menonton tv.
7. Memberi angpau uang banyak kerana mahu digelar orang ada-ada.
8. Sibuk melayan telefon/tab dan tv sampai tetamu rasa terbiar

Bebarapa tips berbelanja pula adalah seperti berikut.
- Ukur baju di badan sendiri.
- Belanja di bawah paras kemampuan, bukannya mengikut kemampuan.
- Bezakan antara keperluan dan kehendak.
- Orang yang membazir bersaudara dengan syaitan. (Surah al-Isra': 27)
- Tidak boros, tidak kedekut, berpada-pada dalam membelanjakan wang. (Surah al-Furqan: 67)

RFS

ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | USTAZ BERPOLIGAMI

  • 0
Bismillah.
1. Poligami telah dilakukan dan diterima oleh tamadun manusia sejak sekian lama sebelum Nabi SAW lahir ke dunia.

2. Apabila Nabi SAW diutuskan dan syariat diturunkan, Islam turut mengatur perkhawinan sama ada berkahwin satu (yang sebelumnya mengikut kaedah jahiliyyah) ataupun perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada seorang wanita (yang mana sebelumnya perempuan juga dibenarkan berkahwin dengan lebih daripada seorang lelaki dan tidak terhad kepada 4 orang sahaja).

3. Mutakhir ini, isu poligami adalah antara perkara yang agak sensitif dan dianggap negatif. Ini kerana bilangan lelaki yang berpoligami tidak ramai dan daripada jumlah yang tidak ramai itu pula kebanyakannya dilihat, dibaca dan didengar bermasalah. Sekiranya ada contoh poligami yang berjaya, jumlahnya sangat sedikit dan kisahnya tidak diketahui oleh khalayak.

4. Industri filem, drama dan novel sedikit sebanyak turut menyumbang kepada masalah poligami dipandang serong oleh sebahagian orang apabila lebih memilih untuk membawa kisah poligami bermasalah dalam jalan cerita secara tidak adil.

5. Ketika ada seorang ustaz berpoligami, sebahagian orang (dalam point no. 3 dan 4) menganggap bahawa poligami ustaz itu berpunca daripada sesuatu masalah dan akan berakhir dengan bermasalah juga seperti kebanyakan kes poligami yang mereka ketahui.

6. Saya tidak khuatir apabila seorang ustaz yang saya hormati berpoligami sekiranya dilakukan dengan cara yang baik dan menepati syariat. Sekiranya kita kasihan dengan isteri pertama beliau, beliau tentu lebih kasih dan kasihan terhadap isteri beliau dengan jalan yang beliau pilih.

7. Saya peribadi berpandangan adalah baik bagi para ustaz yang berkemahuan dan berkemampuan untuk melakukan poligami supaya menjadi tauladan yang baik bagi umat serta mengubah pandangan orang ramai bahawa bukan smua poligami seperti yang mereka bayangkan.

8. Sekiranya mahu dibuat perbandingan, tidak sedikit juga orang yang berkahwin satu namun bermasalah sehingga menyumbang kepada jumlah perceraian 3 pasangan setiap jam. Namun kerana perkara ini dianggap telalu biasa berbanding poligami yang agak luar biasa, maka hal ini dianggap sepi.

9. Setiap orang boleh memilih sama ada hendak bermonogami (berkahwin satu sahaja) ataupun berpoligami tanpa perlu mempersoalkan pilihan orang lain selagi jalan yang ditempuh menepati kehendak syariat.

10. Perempuan beriman dan memahami syariat tidak akan menentang poligami. Begitu juga lelaki yang beriman dan memahami syariat tidak akan menyalahgunakan poligami serta sedaya upaya untuk berlaaku adil dan tidak menzalimi isteri-isterinya sekiranya berpoligami.

Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.

P/S: Hadith yang menyatakan bahawa wanita yang mengizinkan suaminya berpoligami akan diberikan ganjaran payung emas di syurga adalah hadith palsu. Sesiapa yang menyebarkan hadith ini bermakna dia sedang menempah sebuah tempat duduk di neraka. (Mafhum hadith) Kecuali sekiranya dia bertaubat. Wallahu ta'ala a'lam.

P/P/S: Sekiranya saya ditanya apakah saya tidak mahu berpoligami? Sehingga kini saya masih belum terfikir apatah lagi bercadang mahu berpoligami. Kenapa? Kerana ketika ini pun saya sudah begitu berat menggalas cinta daripada suri saya. :)

ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | SATU PASANGAN BERCERAI SETIAP 20 MINIT SEKALI

  • 0
Bismillah.
1. Perceraian adalah perkara halal namun begitu dimurkai oleh Allah SWT. (Mafhum hadith)

2. Sebelum perceraian terpaksa dipilih sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah rumah tangga, Islam menagajarkan agar kedua belah pihak ataupun wakil mereka perlu mencari dan mencuba jalan lain terlebih dahulu. (al-Nisa: 35)

3. Perceraian berpunca daripada krisis yang berlaku dalam rumah tangga. Krisis rumah tangga pula berpunca daripada pelbagai sebab.

4. Antara punca utama perceraian adalah disebabkan masalah kewangan. Masalah ini biasanya bermula apabila seseorang berkahwin menggunakan wang daripada pembiayaan/pinjaman peribadi. Dan boleh jadi sebelum ini dia telahpun menanggung hutang belajar dan kenderaan. Masalah ini boleh dielakkan sekiranya dia belajar dan mengamalkan pengurusan kewangan sejak sebelum berkahwin lagi.

5. Antara penyebab perceraian juga adalah krisis keimanan. Berapa ramai antara yang bercerai, solat mereka sekian lama telah terabai. Hakim, kaunselor dan pegawai berkenaan yang menguruskan kes perceraian biasanya sedia maklum tentang perkara ini. Jika seseorang sanggup mengabaikan kewajipan terhadap Allah SWT, apatah lagi tanggungjawabnya kepada makhluk (pasangannya). Oleh itu, Nabi SAW sejak awal menasihatkan agar umatnya memilih pasangan atas dasar kualiti agamanya.

6. Di samping itu masalah komunikasi antara suami isteri turut menyumbang kepada masalah perceraian ini. Manusia memiliki fikiran dan perasaan. Lelaki ada ego yang perlu diraikan manakala perempuan ada emosi yang dibelai. Perkara itu hanya dapat terpenuhi dengan komunikasi yang baik dan berkesan sama ada komunikasi verbal (seperti pujian, dorngan dan galakan) mahupun non verbal (seperti ciuman, pelukan dan layanan mesra).

7. Perceraian mungkin boleh menyelesaikan sebahagian masalah, namun perceraian juga boleh menimbulkan pelbagai masalah lainnya. Apatah lagi sekiranya pasanga yang bercerai telahpun dikurniakan zuriat oleh Allah SWT.

8. Suami menanggung kewajipan memberi tempat tinggal dan menafkahi isteri yang diceraikannya (bagi talaq raj'i) sepanjang masa 'iddah. (al-Talaq: 1). Sekiranya isteri diceraikan ketika sedang mengandung, maka 'iddahnya sehingga isetrinya bersalin. Apabila isterinya itu menyusukan dan menjaga anaknya, maka suami perlu pula menanggung kewajipan menafkahi anaknya itu. Ini antara masalah yang turut perlu difikirkan oleh suami yang bercadang hendak menceraikan isterinya. 

Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.