MENUNJUKKAN KEMESRAAN DI KHALAYAK

  • 1
Entry kali ini masih ada kaitannya dengan entry yang sebelumnya, iaitu MENCIUM (DAHI) ISTERI SELEPAS AKAD NIKAH. Idea untuk menulis entry ini lahir daripada status facebook Saudara Ahmad Huzaifah Ahmad Shahir yang mempertanyakan tentang kewajaran mempertontonkan kemesraan suami isteri kepada khalayak umum.

Bagi membincangkan status di atas saya telah memulakannya dengan menulis jawapan sebagai berikut, "Kemesraan di antara suami isteri adalah wajar untuk ditunjukkan. Namun biarlah yang berpatutan sahaja, tidak berlebihan. Berpegangan tangan pun sudah menunjukkan kemesraan. Tapi berpelukan pada saya tidak wajar jika dilakukan di depan khalayak. Isteri mencium tangan suami wajar. Suami mencium dahi isteri tidak wajar. Tapi malangnya ini biasa berlaku selepas majlis akad nikah. Sekadar pandangan dari saya. Walahu ta'ala a'lam."

Saya sedia maklum bahawa setiap orang memiliki standard yang berbeza. Pandangan saya di atas setidaknya menggambarkan standard saya. Saya merasa kurang selesa jika melihat suami mencium (dahi) isterinya. Saya juga merasa tidak selesa jika saya mencium isteri dan dilihat oleh orang. Kasihan pula orang yang tengok tu. :D Wallahu ta'ala a'lam.

MENCIUM (DAHI) ISTERI SELEPAS AKAD NIKAH

  • 0
Rasanya suami tidak perlu mencium (dahi) isterinya di hadapan khalayak selepas majlis akad nikah. Pada pandangan saya adalah lebih beradab dan menjaga maruah isterinya jika perkara tersebut dilakukan ketika sedang berdua sahaja dengan isteri. Dengan begitu suami boleh melakukannya dengan lebih ikhlas dan romantik. :)

Tetapi apa yang biasa saya lihat, setelah akad nikah pengantin lelaki akan memakaikan cincin dan gelang (kalau ada) kepada pengantin perempuan.

Kemudian pengantin perempuan akan mencium tangan suaminya. Posing ini memakan masa beberapa minit kerana juru gambar perlu menangkap gambar dari pelbagai sudut. Termasuk juga juru gambar yang tidak bertauliah. :D

Setelah itu suami akan mencium dahi isterinya di hadapan khalayak sama ada atas kehendak sendiri ataupun di bawah tekanan kehendak sanak saudara dan mungkin juga rakan-rakan kerana menganggap bahawa perkara itu adalah romantik, hanya sekali seumur hidup, tiada salahnya, dan malah tidak sedikit yang menganggapnya sebagai adat dan budaya.

Posing ini juga memakan masa beberapa minit seperti posing sebelumnya.

Apakah ia akan berakhir di sini? Bagi sesetengah orang jawapannya ya. Namun tidak bagi sebahagian yang lain. Gambar tadi akan dimuat naik (upload) ke laman media sosial oleh pasangan pengantin itu atau ahli keluarga mereka dan juga rakan-rakan mereka agar menjadi tatapan khalayak ramai dalam dunia maya.

Cara mengelakkan perkara ini

Bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku, bakal pasangan pengantin dan keluarga terutama ibu bapa bakal pengantin boleh berbincang dan berpakat sebelumnya. Kehendak sanak saudara dan rakan-rakan yang menghendaki perkara itu boleh dijangkakan. Jadi walaupun mereka mendesak, jika pasangan tetap dengan pendirian dan kesepakatan yang dibincangkan insya Allah perkara itu boleh dielakkan.

Sekadar isteri mencium tangan suami sudahpun memadai dan tidak kurang romantik. Biarlah malu menjadi pakaian pasangan pengantin ketika itu.

Pernikahan adalah suatu ibadah. Maka biarlah sega;a prosesnya berlangsung tanpa menyalahi akidah, syariah dan akhlak islamiyyah.

Wallahu ta'ala a'lam.

Sila baca juga: MENUNJUKKAN KEMESRAAN DI KHALAYAK

DILEMA WANG HANTARAN

  • 0

Sudah sangat lama saya tidak menulis tentang pernikahan di bawah label Baitul Muslim. Tulisan terakhir saya ditulis pada 5 Ogos 2010 di bawah tajuk Rangkaian Ibadah Nikah Vol 3 (Persiapan Keuangan). Sudah lebih dari setahun. :D

Sebenarnya saya sudah agak lama merancang untuk menulis kembali tentang pernikahan. Terlebih lagi ketika sahabat baik saya Mohd Anuar Khazizi melangsungkan perkahwinan pada 30 hb April 2011 yang lalu. Namun baru sekarang perancangan itu berjaya disempurnakan. Hu hu hu...

Kali ini saya cuba menulis tentang wang hantaran dalam perkahwinan.

Mari kita mulakan dengan berapakah wang hantaran yang ditetapkan oleh mertua saya? Saya masih ingat pagi itu saya, bakal ayah dan ibu mertua saya sedang melawat rumah yang akan menjadi tempat tinggal saya dan isteri setelah menikah nanti. Kami hanya bertiga. Ketika itu bakal ibu mertua mengatakan, "Terpulang nak bagi berapa". Subhanallah! Saya tak pernah terfikir akan dapat jawapan seperti itu. :)

Untuk makluman, sebelum berkahwin dengan isteri saya, saya pernah bertunang dengan seorang muslimah lain. Ketika saya bertunang dengan muslimah itu, pihak keluarganya menetapkan bahawa wang hantaran yang perlu saya berikan adalah RM8 ribu. Walaupun ketika itu masih belajar, saya yakin bahawa pada tarikh perkahwinan yang dirancang nanti, iaitu 2 tahun kemudian, Allah akan membantu saya untuk memenuhi  permintaan itu. Caranya? Saya ada kongsikan di [sini]

Namun dengan kehendak Allah SWT pertunangan itu berakhir di tengah jalan (sila baca: Misteri Jodoh). Alhamdulillah! Kemudian Allah mempertemukan saya dengan isteri saya yang sekarang, jodoh yang sememangnya telah dituliskan oleh-Nya akan menjadi bidadari saya di dunia (sila baca: Ta'aruf) dan in syaa Allah di akhirat. Amin!

Sungguh indah perancangan Allah. :)

Soalan seterusnya: Berapakah wang hantaran yang patut saya berikan?
Jawapannya: Memandangkan sebelumnya telah ditetapkan RM8 ribu sebagai hantaran kepada muslimah bekas tunang saya, maka saya berasa adalah tidak patut apabila saya memberikan hantaran kurang dari RM 8ribu kepada isteri saya. 

Itu kisah saya.

Bagaimana dengan kisah yang lainnya?

Saya mendapati ada di kalangan ibu bapa yang menetapkan kadar tertentu sebagai hantaran bagi anak perempuan mereka. Ada yang merujuk kepada taraf pendidikan/pekerjaan anak mereka, ada juga yang merujuk kepada ahli keluarga perempuan mereka yang baru berkahwin sebagai penanda aras. Ada juga yang mempertimbangkan status pekerjaan bakal pengantin lelaki dalam menetapkan kadar hantaran. Oh!

PERANCANGAN HIDUP DAN MATI

  • 0
Selain novel, buku yang paling laris di kedai buku adalah buku-buku perancangan hidup seperti buku motivasi, pengurusan diri, perancangan kewangan, bisnes, pelaburan atau yang serupa dengannya. Buku-buku seperti itu sangat membantu orang yang membeli, membaca dan mengamalkannya. Walaupun harga buku-buku tersebut hanya RM 20-30 tetapi nilai yang terkandung di dalamnya berkali-kali ganda lebih bernilai dari harganya.

Namun sayangnya kebanyakan tulisan-tulisan perancangan hidup hanya menekankan tentang keperluan, kemudahan dan keselesaan hidup sahaja. Jarang-jarang menyentuh tentang kehidupan selepas mati.


PERANCANGAN MATI

Perancangan dalam hidup itu memang perlu. Tapi perancangan untuk mati lebih perlu. Sebab kematian bukanlah satu pengakhiran tetapi satu permulaan hidup yang tak mati-mati.

Berkenaan perancangan mati, Nabi SAW pernah berpesan bahawa ketika manusia mati semua amalannya akan terputus kecuali 3 perkara (sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh). Jadi selain 3 perkara itu, tidak ada lagi yang bisa kita harapkan dalam kehidupan setelah mati. Maka selagi masih hidup, marilah kita merancang 3 perkara tersebut dengan sebaik-baiknya.

1. Sadaqah jariyah

Sadaqah jariyah atau lebih dekenali dengan sebutan waqaf adalah infaq yang manfaatnya berpanjangan. Selama manfaatnya masih berjalan, maka pahalanya juga akan terus mengalir kepada pemberi waqaf walaupun dia telah meninggal dunia.

Yang menjadi persoalan adalah jika Anda memperuntukkan 10% (sebagai contoh) dari pendapatan bulanan untuk pelaburan kehidupan dunia, berapa % pula yang Anda peruntukan untuk pelaburan kehidupan akhirat? Jawapan Anda akan menunjukkan sejauh mana kebijakan Anda dalam perancangan "hidup".


2. Ilmu yang bermanfaat

Anda pasti memiliki ilmu yang bermanfaat yang boleh dikongsikan kepada orang lain. Maka, berkongsilah! :) Lebih bagus lagi jika ilmu yang dikongsikan itu menjadi sunnah hasanah.

Harapan saya semoga tulisan-tulisan di dalam blog ini diterima oleh Allah sebagai salah satu bentuk perkongsian ilmu yang bermanfaat. Allahumma amin!


3. Doa anak soleh/ah

Anak soleh bukan disebabkan ayahnya bernama Soleh atau ibunya bernama Solehah. :D Tapi anak soleh adalah seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan sehariannya secara istiqamah. Salah satu cara untuk mengetahui tingkat kesolehan seorang anak adalah dengan melihat bagaimana dia menjaga kewajipan solat.

Bagaimana dengan orang yang tidak memiliki anak? Dalam hal ini guru saya Ustaz Mubarak Al-Hafizh, seorang tokoh ulama dari daerah Jambi, Indonesia, pernah mengatakan bahawa lafaz anak (walad) di dalam hadis disebutkan dalam bentuk nakirah bukan ma'rifah. Itu boleh bermaksud umum bukan khusus. Anak itu tidak semestinya anak sendiri. Tapi boleh juga anak angkat, anak saudara atau anak didik. Wallahu ta'ala a'lam.

Semoga saya dan adik-beradik yang lain istiqamah menjadi anak soleh/ah yang sentiasa mendoakan Ayah dan Bunda.

PERANCANGAN MEMBELI RUMAH KEDIAMAN

  • 0
Ketika ini saya baru sahaja berpindah tempat kerja. Jika sebelum ini saya mengajar di Maahad Tahfiz di Kuantan, Pahang, sekarang ini saya mengajar di Maahad Tahfiz di Seremban, Negeri Sembilan. Antara sebab saya berpindah ke Negeri Sembilan disebabkan suri saya menetap di Seremban dan bekerja di Nilai, Negeri Sembilan. Saya terpaksa berulang Kuantan-Seremban-Kuantan hampir setiap minggu. Apabila dikira-kira kos perjalanan saya dalam lingkungan RM400 setiap bulan. Abang sulung saya pernah memberi nasihat kira-kira begini: Buat apa kita mencari nafkah untuk keluarga tetapi terpaksa berpisah dan jauh dari keluarga?
Ehsan daripada Tuan Flickr
Apabila dapat berpindah ke Negeri Sembilan, saya dan suri merancang hendak membeli rumah sendiri. Kami telahpun bersepakat hendak membeli rumah di Nilai. Ketika menetap di Seremban, setiap bulan suri saya perlu memperuntukkan kira-kira RM400 bagi minyak dan tol.

Apabila dijumlahkan kos pengangkutan saya RM400 dan suri RM400, setiap bulan kami menghabiskan kira-kira RM800 bagi pengangkutan. Jumlah sebanyak itu apabila digunakan untuk membeli rumah, boleh dapat rumah berharga RM160k dengan tempoh pembiayaan selama 30 tahun. Daripada RM800 itu terus dihabiskan di atas jalan, adalah lebih baik jika digunakan untuk membeli rumah. :)

Saya telah mengkaji iklan rumah dijual di kawasan Nilai sejak beberapa bulan yang lalu. Rumah teres 1 tingkat masih ada yang dijual pada harga di bawah RM100k. Manakala rumah teres 2 tingkat dijual pada harga RM150k-200k dan ada juga yang lebih mahal.

Bajet yang kami tetapkan bagi harga rumah yang hendak kami beli pada harga di bawah RM200k bagi rumah teres 2 tingkat. Lebih murah, lebih baik. Sempena cuti sekolah yang masih berbaki ini, saya menggiatkan lagi usaha mencari dan melawat rumah yang dijual di kawasan Nilai. :D