RM 10 JADI RM 1000

  • 1

Pada hari Jumaat (27/1/2012) yang lepas saya mengadakan kuiz bagi pelajar-pelajar kelas Al-Quran saya. Bagi sesiapa yang boleh menjawab soalan dengan benar, saya akan bagi peruntukan sarapan di kantin pada waktu rehat pagi itu juga (Pukul 10:30) sebanyak RM 1. Dan tambahan RM 0.50 lagi bagi yang menjawab soalan bonus.

Akhirnya 4 orang pelajar mendapat peruntukan RM 1.50, manakala 4 orang lagi mendapat peruntukan RM 1. Total RM 10 sahaja. Bila buat macam tu, pelajar rasa seronok. Saya yang buat kuiz juga rasa seronok melihat mereka bersemangat dan bersungguh.

Bagitu kelas Al-Quran berakhir pada pukul 9:30, pelajar-pelajar menuju ke kelas akademik, manakala saya menuju ke kantin sekolah untuk bersarapan. Selepas bersarapan, kira-kira pukul 10:00, Ustaz Shaiful mendatangi saya dengan membawa sebuah bekas yang berisi kertas-kertas kecil yang bergulung. Beliau meminta saya untuk mengambil salah satu kertas tersebut kemudian membukanya. Apabila kertas tersebut dibuka, di dalamnya tertulis 1. Ketika itu baru saya menyedari bahawa itu adalah undian kutu dan saya mendapat giliran yang pertama. Alhamdulillah! :)

Ketika itu saya belum mengeluarkan RM 10 untuk membelanja pelajar kelas Al-Quran saya, tetapi saya tahu saya akan membelanjakannya sekejap lagi. Ketika itu saya juga belum menerima duit kutu RM 1000, tetapi saya tahu saya akan menerimanya tidak lama lagi.

Begitulah balasan Allah kepada saya. Allah tidak pernah mengingkari janji-Nya.

Setiap kebaikan pasti akan dibalas oleh Allah sekurang-kurangnya 10 kali ganda (suarah al-An'am: 160). Dan Allah melipatgandakannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki.

SUMBER KEWANGAN BAGI PEMBELIAN RUMAH

  • 0
Kali ini saya hendak berkongsi bagaimana saya dan suri boleh mengumpul wang bagi pembelian rumah kediaman kami.

Di Malaysia biasanya ketika seseorang bercadang hendak membeli sebuah rumah dia perlu menyediakan wang untuk:
1. Wang deposit sebanyak 10% daripada harga rumah
2. Kos guaman
3. Kos ubah suai atau baik pulih atau pembelian perabot rumah sekiranya mahu atau perlu

Daripada ketiga perkara di atas, perkara nombor 1 adalah yang paling utama. Tanpa deposit 10%, surat perjanjuan jual beli (SPA) hartanah tidak dapat dibuat. Untuk perkara nombor 2 pula, sebagai permulaan biasanya cukup membayar RM500 sahaja dan bakinya boleh dibayar kemudian dari semasa ke semasa. Perkara nombor 3 adalah perkara yang subjektif.

Apa yang kami lakukan supaya dapat membayar perkara nombor 1 dan 2 anatanya adalah sebagai berikut.

1. Tabung khas pembelian rumah

Saya dan suri masing-masing memperuntukkan RM450 setiap bulan bagi dimasukkan ke dalam tabung khas untuk tujuan pembelian rumah. Duit ini disimpan di dalam akaun Tabung Haji. Jadi setiap kali mendapat gaji, RM450 x 2 = RM900  perlu disimpan terlebih dahulu dan selebihnya dibelanjakan bagi keperluan lainnya. Program ini berjalan selama setahun atau lebih sedikit.


2. Akaun kedua KWSP

Wang yang terkumpul dalam akaun kedua KWSP boleh dikeluarkan bagi tujuan pembelian rumah ataupun membayar hutang gadai janji rumah yang sedia ada (bagi yang berkenaan). Bagi mengetahui jumlah wang yang terkumpul dalam akaun KWSP biasanya kami ke kiosk RHB Easy Loan (yang berwarna tema pink) dan meminta jasa baik pegawai kiosk supaya tolong mencetakkan penyata akaun KWSP. Hanya perlu tunjukkan kad pengenalan sahaja.
Gambar RHB easy loan

3. Jual/gadai emas

4. Pinjam daripada ibu bapa atau saudara mara terdekat

5. Jangan sekali-kali mengambil pembiayaan/pinjaman peribadi untuk urusan ini.

Ketika singgah di kiosk RHB bagi mencetak penyata KWSP boleh jadi pegawai kiosk menawarkan perkhidmatan mereka atau mungkin kita sendiri yang terfikir hendak menggunakan perkhidmatan mereka. :v

RFS

PEMBELIAN RUMAH KEDIAMAN

  • 0
Setelah mengkaji sekian banyak iklan rumah yang dijual, saya dan suri memutuskan untuk membeli rumah di Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. Sebenarnya sejak awal lagi kami memang telah bercadang hendak membeli rumah di situ. Walau bagaimanpun kami perlu juga mengkaji rumah yang dijual di kawasan lain yang berhampiran bagi membuat perbandingan. Setelah melawat, membandingkan dan mempertimbangkan pelbagai perkara, akhirnya kami sepakat bagi membeli rumah teres 2 tingkat lot tepi (corner lot).
Rumah yang kami beli nampak daripada jalan raya.
Urusan pembelian rumah ini dibantu oleh salah seorang ejen hartanah yang begitu disegani di kawasan Nilai ini, terutama di kawasan Desa Anggerik iaitu Tuan Jackson Lim. Banyak rumah terbengkalai yang telah beliau baik pulih dan kemudian beliau jual dan sewakan.

Harga rumah ini tidak menepati rancangan peruntukan asal kami disebabkan harganya RM2xxk. Tapi memandangkan rumah yang kami beli ini lot tepi, berada di laluan utama kawasan taman, di sebelah jalan raya dan memiliki potensi yang agak memberangsangkan dalam 3-5 tahun kemudian, harga yang perlu kami bayar adalah berpatutan. Wallahu ta'ala a'lam.

Surat perjanjian jual beli (SPA) rumah ini ditandatangani pada hari Jumaat, 30 Disember 2011. Tentu sahaja SPA hanya sah dan boleh ditandatangani apabila deposit sebanyak 10% daripada harga rumah telah dibayar kepada peguam iaitu RM2xk. Oh! Tidak sangka pula kami mampu mengumpul wang sebanyak itu bagi membayar deposit rumah. Itu belum termasuk kos-kos lainnya yang perlu dibayar kemudian hari. Ho ho ho...

Saya akan kongsikan bagaimana kami berjaya mengumpulkan wang yang diperlukan bagi membayar kos-kos pembelian rumah ini pada entry yang lain, in syaa Allah. :)

P/S: Sebelum membulatkan tekad bagi membuat keputusan akhir untuk membeli rumah ini saya dan suri telah menjemput ibu bapa mertua saya melawat dan melihat sendiri rumah yang hendak kami beli bagi mendapat restu dan pekenan daripada mereka. Kebetulan pula ketika lawatn sedang dibuat, tiba-tiba hujan turun denga begitu lebatnya. Peluang tersebut saya gunakan bagi memeriksa sekiranya ada sebarang kebocoran. Alhamdulillah, tiada masalah kebocoran. :)

MENUNJUKKAN KEMESRAAN DI KHALAYAK

  • 1
Entry kali ini masih ada kaitannya dengan entry yang sebelumnya, iaitu MENCIUM (DAHI) ISTERI SELEPAS AKAD NIKAH. Idea untuk menulis entry ini lahir daripada status facebook Saudara Ahmad Huzaifah Ahmad Shahir yang mempertanyakan tentang kewajaran mempertontonkan kemesraan suami isteri kepada khalayak umum.

Bagi membincangkan status di atas saya telah memulakannya dengan menulis jawapan sebagai berikut, "Kemesraan di antara suami isteri adalah wajar untuk ditunjukkan. Namun biarlah yang berpatutan sahaja, tidak berlebihan. Berpegangan tangan pun sudah menunjukkan kemesraan. Tapi berpelukan pada saya tidak wajar jika dilakukan di depan khalayak. Isteri mencium tangan suami wajar. Suami mencium dahi isteri tidak wajar. Tapi malangnya ini biasa berlaku selepas majlis akad nikah. Sekadar pandangan dari saya. Walahu ta'ala a'lam."

Saya sedia maklum bahawa setiap orang memiliki standard yang berbeza. Pandangan saya di atas setidaknya menggambarkan standard saya. Saya merasa kurang selesa jika melihat suami mencium (dahi) isterinya. Saya juga merasa tidak selesa jika saya mencium isteri dan dilihat oleh orang. Kasihan pula orang yang tengok tu. :D Wallahu ta'ala a'lam.

MENCIUM (DAHI) ISTERI SELEPAS AKAD NIKAH

  • 0
Rasanya suami tidak perlu mencium (dahi) isterinya di hadapan khalayak selepas majlis akad nikah. Pada pandangan saya adalah lebih beradab dan menjaga maruah isterinya jika perkara tersebut dilakukan ketika sedang berdua sahaja dengan isteri. Dengan begitu suami boleh melakukannya dengan lebih ikhlas dan romantik. :)

Tetapi apa yang biasa saya lihat, setelah akad nikah pengantin lelaki akan memakaikan cincin dan gelang (kalau ada) kepada pengantin perempuan.

Kemudian pengantin perempuan akan mencium tangan suaminya. Posing ini memakan masa beberapa minit kerana juru gambar perlu menangkap gambar dari pelbagai sudut. Termasuk juga juru gambar yang tidak bertauliah. :D

Setelah itu suami akan mencium dahi isterinya di hadapan khalayak sama ada atas kehendak sendiri ataupun di bawah tekanan kehendak sanak saudara dan mungkin juga rakan-rakan kerana menganggap bahawa perkara itu adalah romantik, hanya sekali seumur hidup, tiada salahnya, dan malah tidak sedikit yang menganggapnya sebagai adat dan budaya.

Posing ini juga memakan masa beberapa minit seperti posing sebelumnya.

Apakah ia akan berakhir di sini? Bagi sesetengah orang jawapannya ya. Namun tidak bagi sebahagian yang lain. Gambar tadi akan dimuat naik (upload) ke laman media sosial oleh pasangan pengantin itu atau ahli keluarga mereka dan juga rakan-rakan mereka agar menjadi tatapan khalayak ramai dalam dunia maya.

Cara mengelakkan perkara ini

Bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku, bakal pasangan pengantin dan keluarga terutama ibu bapa bakal pengantin boleh berbincang dan berpakat sebelumnya. Kehendak sanak saudara dan rakan-rakan yang menghendaki perkara itu boleh dijangkakan. Jadi walaupun mereka mendesak, jika pasangan tetap dengan pendirian dan kesepakatan yang dibincangkan insya Allah perkara itu boleh dielakkan.

Sekadar isteri mencium tangan suami sudahpun memadai dan tidak kurang romantik. Biarlah malu menjadi pakaian pasangan pengantin ketika itu.

Pernikahan adalah suatu ibadah. Maka biarlah sega;a prosesnya berlangsung tanpa menyalahi akidah, syariah dan akhlak islamiyyah.

Wallahu ta'ala a'lam.

Sila baca juga: MENUNJUKKAN KEMESRAAN DI KHALAYAK