CARA UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI BILA BELI RUMAH

  • 0
Sedang berkira-kira hendak membeli rumah? Tak kiralah nak beli untuk pelaburan atau duduk sendiri.

Dulu saya pun macam kebanyakan anak muda, tak tahu nak bermula dari mana. Nak bersedia apa? Berapa perlu ada simpanan?

Pertama sekali, ukur baju di badan sendiri. Caranya? Cuba congak-congak berapa installment yang sanggup anda bayar setiap bulan selama 30 tahun? Ini hanya anda dan pasangan (bagi yang dah kahwin) yang boleh jawab. Orang lain tak tahu.

Ok, dah dapat berapa jumlah tu? Sekarang darab dengan 200. Jangan tanya kenapa, buat je. >:(

Ok, katakanlah anda mampu bayar installment RM1k sebulan, bila darab 200 jadi RM200k. Betul?

Ok, cari dan beli rumah yang harganya tak lebih RM200k. Boleh cari kat Mudah, iProperty, iHartanah, LelongTips dan sebagainya. Jangan cari kat pejabat atau bilik pameran pemaju. Memang tak jumpa punya. -_-

Kalau sekarang masih menyewa RM600 sebulan, pastikan mampu menyimpan tak kurang RM400 sebulan selama 3-6 bulan. Simpanan ini langsung tak boleh usik, kecuali nanti bila nak guna untuk beli rumah.

Contohnya masa saya dan suri nak beli rumah dulu, setiap bulan RM900 wajib masuk Tabung Haji. Buat potongan gaji siap-siap. Masa tu kami masih menyewa RM300 sebulan kat Seremban.

RM300 sewa rumah semasa campur RM900 simpanan untuk beli rumah, jumlahnya RM1200. Ini jumlah installment yang mampu kami bayar setiap bulan.

Kalau ikut formula tadi, RM1200 darab 200 bersamaan RM240k. Ini bermakna, kami perlu cari rumah dengan harga RM240k ke bawah.

Sekian. Terima kasih. Care to share.

RFS
Perunding kewangan tak bertauliah

CARA BIJAK KELUARKAN DUIT KWSP

  • 7
Anda ada akaun KWSP? Simpanan KWSP adalah simpanan persaraan untuk hari tua. Ia terbahagi kepada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 di mana:
+ Akaun 1: 70% daripada simpanan dan khusus untuk persaraan
+ Akaun 2: 30% daripada simpanan dan khusus untuk pengeluaran pra-persaraan yang boleh bagi tambah nilai kepada simpanan persaraan.

Duit dalam KWSP itu duit sendiri tapi tak boleh guna sehingga umur bersara, iaitu 55 tahun.

Sebenarnya ada cara nak keluarkan dan guna duit KWSP itu, walaupun tak boleh keluar semua. Antara caranya adalah seperti berikut:

Akaun 1
1. Beli saham kat Bursa Malaysia. ---> Sekarang tak pasti masih boleh lagi atau tak.
2. Beli Unit Trust. ---> Beli dan yang ada potensi bagi dividen 10% ke atas. Boleh buat setiap 3 bulan atau 4 kali setahun.

Akaun 2
1. Beli rumah daripada pemaju. Keluarkan KWSP sebanyak deposit yang diperlukan. Tapi kat pemaju selalunya tak perlu deposit sampai 10%.
2. Beli rumah daripada orang (subsale). Lepas sign SPA, boleh keluarkan duit KWSP.
3. Keluarkan untuk bayar baki hutang rumah sebelum refinance atau jual.
4. Keluarkan untuk bayar ansuran rumah setiap bulan. Duit dari poket sendiri yang sepatutnya untuk bayar ansuran, boleh guna untuk pelaburan lain.
5. Keluarkan untuk daftar haji atau kos pergi haji apabila dapat panggilan.
6. Keluarkan untuk bayar kos sambung belajar. Peningkatan pendidikan boleh meningkatkan pendapatan. Nak guna untuk bayar PTPTN pun boleh ye.
7. Membiayai kos rawatan penyakit kritikal atau membeli peralatan bantuan kesihatan. ---> Kalau ada mencarum takaful, kes seperti ini boleh dielakkan.
8. Umur dah 50? Boleh keluarkan sebahagian.
9. Ada RM 1 juta 50 ribu dalam KWSP? Kalau ada, tak baca dah kot status saya ini. ^_^
10. Semua simpanan boleh dikeluarkan apabila bertukar dari sektor swasta ke sektor kerajaan dari sistem KWSP ke sistem Pencen.

Sekian. Terima kasih. Care to share.


RFS
Bukan staf KWSP

Rujukan

MANTERA PELABURAN

  • 0

Ada satu mantera yang selalu dilafazkan oleh para pelabur, "Past performance not indicate future result."

Persoalannya, apakah dengan mengetahui prestasi pulangan sebelum ini daripada sesuatu dana lanhsung tidak boleh menggambarkan prestasi serupa di masa hadapan?

Saya suka bagi analogi macam ini. Dalam sebuah liga bola sepak, ada sebuah kelab yang telah menjadi juara sebanyak 13 kali sejak liga dijalankan kira-kira 23 tahun lepas. Apakah kelab itu berpeluang menjadi juara musim ini?

Boleh jadi ya. Kelab itu berpotensi untuk kembali menjadi juara musim ini. Dan kemungkinan untuk terus menjadi juara pada masa hadapan juga selalu ada.

Tapi apakah setiap musim akan jadi juara? Jawapannya, tentu saja tidak.

Namun begitu, walaupun ada masanya tidak menjadi juara tapi sekurang-kurangnya kelab itu kekal dan konsisten dalam top 4 carta liga.

Hanya 2 musim yang lalu kelab itu jatuh ke tangga ke-7. Itupun disebabkan berlaku perubahan besar dalam pengurusan kelab.

Ada kelab lain, musim lepas juara liga. Musim ini pengurusan tidak berubah tapi kelab itu banyak kali masuk gua dan sangat hampir dengan jurang.

Boleh faham kot analogi ini.

Kesimpulannya, tidak ada yang betul dan tidak ada yang salah. Sesiapa saja boleh pilih kelab, eh silap, pelaburan mana yang dia suka. Pulangan yang lepas hanya tinggal sejarah.

Walau bagaimanapun, sejarah perlu dirujuk sebagai panduan dan pedoman pada masa yang akan datang. Dan akhir sekali, terimalah sebuah lagu daripada saya yang bertajuk "Sejarah Mungkin Berulang".

Sekian.

RFS

CERAMAH PARENTING

  • 1

Semalam saya menyertai satu ceramah parenting (keibubapaan) yang disampaikan oleh sahabat saya, Us. Nur Firdaus I-Trec. Kami saling kenal sejak 12 tahun lepas ketika belajar di Darul Quran JAKIM.

Tamat belajar di DQ, Us. Nur Firdaus menyambung pengajian di UKM dalam bidang pendidikan. Sekarang beliau sedang belajar di UM peringkat master.

Beliau juga seorang ayah kepada 2 orang cahaya mata.

Antara point penting yang sempat saya catat dan ingat daripada perkongsian beliau adalah seperti berikut:

1. Ibu bapa perlu ambil tahu 3  aspek pertumbuhan anak:
+ cognitive
+ affective
+ psychomotor

2. Seelok-eloknya anak dijaga oleh ibu bapa. Kalaupun dijaga oleh orang lain, apa yang penting adalah kualiti penjagaan.

3. Dalam hadis Nabi dinyatakan, ajar anak solat umur 7 tahun dan kalau tak solat, pukulan (sebagai satu bentuk pengajaran) dibenarkan pada umur 10 tahun. Adapun prosesnya:
+ bina keakraban (attachment) dengan anak seawal usia
+ kenalkan anak dengan Allah pada setiap masa.
+ ajar solat sebelum 7 tahun.

4. Anak-anak akan banyak bertanya pada umur 4-7 tahun. Dalam satu kajian, anak bertanya 109 soalan yang berbeza.

5. Kata-kata atau soalan anak adalah output daripada otaknya. Otak adalah enjin yang memproses maklumat.

6. Ada 2 pattern soalan:
+ soalan sama berulang kali
+ soalan expanded (berkait dan bersambung)

7. Tindakan terbaik ibu bapa terhadap soalan anak adalah menjawabnya dengan penuh kesabaran.

8. Jangan beranggapan soalan akan berhenti apabila soalan telah dijawab. Kerana setelah satu soalan dijawab, dalam kepala anak ada berderet lagi soalan lain yang hendak ditanya.

9. Memarahi anak dan melarangnya bertanya soalan akan membantutkan perkembangan otak dan minatnya untuk terus belajar daripada persekitaran.

9. Kaitkan jawapan dengan Allah. Contoh:
+ ini kucing, Allah yang cipta.
+ Ini kertas, kertas dari pokok, Allah cipta pokok.
Mereka mungkin belum faham, tapi boleh serap apa jua yang kita sampaikan.

10. Anak-anak meniru perbuatan orang dewasa bermula umur 2 tahun. Ada 2 jenis peniruan.
+ meniru apa jua perbuatan
+ meniru tingkah laku sosial, termasuk ucapan (social referencing)

11. Parenting adalah satu kerja yang perlu dibuat sepanjang 24/7/365 tanpa rehat. Hanya dapat rehat bila anak tidur, itupan kadang-kadang tak dapat juga. Sebab bila anak tidur, baru dapat buat kerja.

12. Elakkan daripada memberi kuasa terhadap tv, komputer dan gajet. Kanak-kanak tidak perlukan itu. Mereka lebih perlukan perhatian. Memberi kuasa bermaksud membenarkan anak mengawal sendiri peralatan tersebut. Contohnya, anak boleh pegang remote untuk on, off atau tukar channel pilihannya sendiri.

13. Bagi RUANG untuk anak tapi tetapkan BATAS. Sentiasa perlu jelas konsep RUANG dan BATAS. Dalam kes tv, misalnya:
Ruang = boleh menonton tv
Batas = channel dan masa ditetapkan oleh ibu bapa

14. Bila beri ruang, anak akan buat silap. Ambil peluang daripada situasi itu untuk bimbing anak agar dapat belajar perbaiki kesilapan dan perbetulkan keadaan.

15. Kalau tak nak sunguh-sunguh korbankan masa dan tenaga mendidik anak sepanjang 5 tahun pertama usia anak, kita akan penat sepanjang hayat. Tempoh 5 tahun ini amat kritikal dalam mencorakkan siapa dan bagaimana anak kita nanti.

Wallahu ta'ala alam.

Tambahan: Saya bertanya kepada Us. Nur Firdaus, buku parenting apa yang beliau cadangkan untuk saya baca? Jawapan beliau adalah buku Brain Rules dan Brain Rules for Baby oleh John Medina.

RFS
Bapa 3 anak

P/S: Ini hanya sekadar point penting. Untuk syarah yang lebih jelas, terang dan terperinci, seeloknya terus datang dan dengar sendiri.

Ceramah seterusnya pada bulan Januari 2016, insya-Allah. Lokasi di Desa Pinggiran Putra, Kajang. Sesi perkongsian ini percuma tapi ilmu dan pengalaman yang disampaikan sungguh mahal dan tak ternilai harganya.

Saya akan berikan maklumat program dalam komen di bawah. Add dan follow juga perkongsian beliau di FB dan FB page Ikhwah Training & Resources.

KEKAYAAN BUKAN UKURAN KEJAYAAN

  • 0

Selalunya orang menganggap bahawa orang yang berjaya itu adalah orang kaya. Pandangan seperti ini mendorong ramai orang bertungkus lumus hendak menjadi orang kaya atau kalaupun tidak kaya, mahu kelihatan seperti orang kaya.

Sebenarnya wang bukanlah ukuran kejayaan. Ramai orang kaya sebenarnya tidak berjaya membina hidup yang baik dan mulia. Dan tidak sedikit pula individu yang berjaya sengaja memilih gaya hidup yang sederhana.

Apabila seseorang menjadikan wang sebagai kayu ukur kejayaan, dia sebenarnya menggunakan ukuran luaran. Wang dan harta adalah suatu yang ada di luar diri seseorang.

Ukuran luaran bermakna kita membandingkan kejayaan kita dengan kejayaan orang lain. Kalau kita lebih baik daripada orang lain, maka kita anggap diri kita sudah berjaya. Tapi kalau orang lain lebih baik, maka kita anggap diri kita tidak berjaya.

Perbuatan mengukur kejayaan dengan menggunakan orang lain sebagai perbandingan adalah perbuatan yang keliru dan tidak adil.

Orang yang berjaya adalah orang yang dapat melakukan sesuatu dengan sehabis baik keupayaannya, di dalam aspek penting dalam hidupnya (agama, kerja, rumah tangga dan masyarakat). Masing-masing individu perlu menentukan sendiri definisi kejayaan dan melakukan yang terbaik bagi mencapainya.

Pandangan yang mengatakan wang dan harta sebagai lambang kejayaan adalah pandangan yang keliru. Kalau untuk berjaya kita mesti kaya, hanya berapa kerat sahaja orang yang berpeluang menjadi orang berjaya.

Dan boleh jadi kita menganggap orang yang tidak kaya atau hidup sederhana adalah orang yang tidak berjaya. Padahal realitinya tidak seperti itu.

Orang yang menyamakan kejayaan dengan wang dan harta adalah orang yang salah faham terhadap erti kejayaan. Sebenarnya, semua orang boleh berjaya, walaupun bukan semua orang boleh menjadi kaya raya.

Sumber: Buku Mendorong Diri Sendiri oleh Puan Ainon Mohd. & Prof. Abdullah Hassan

P/S: Usia buku ini sudah lebih 12 tahun.