MAJLIS NIKAH DAN WALIMAH KAMI

  • 0

Saudari Mujahidah Puteri menulis status FB seperti berikut:

Bila menatap lambakan potret sahabat-sahabat dalam arena dakwah yang baru mendirikan rumahtangga, dengan pelbagai aksi mesra, bersanding, solekan tebal dan gambar close up, pertama sekali yang terdetik adalah rasa simpati.

Mereka ahli dalam bidang agama dan tentu sekali menyedari perihal hukum, justeru saya cenderung menganggap keberadaan mereka dalam suasana sedemikian adalah bukan atas pilihan mereka.

Detik-detik bergelar raja sehari, kadang-kadang yang banyak menetukan itu dan ini adalah kaum keluarga. Si pengantin kadangkala terpaksa mengikut demi menjaga hati. Lalu terjadilah apa yang terjadi.

Cuma harapnya, ia kembali diperbaiki. Isteri hanya untuk tatapan suami. Jangan biar keindahannya dinikmati oleh mata-mata ajnabi. Bahagia dan berkat dalam rumahtangga bukan pada potret perkahwinan yang dibangga-bangga, ingat tu :)

[copied from myilham.com]
___

Berikut ini saya kongsikan sedikit pengalaman saya ketika melangsungkan pernikahan dan majlis walimah.

Majlis Nikah

Saya menikah dan mengadakan walimah pada hari yang berbeza. Ketika majlis nikah, hanya keluarga dekat dan kawan rapat sahaja yang dijemput.

Pada malam sebelum majlis nikah, saya berbincang dan berpakat dengan bakal ayah mertua melalui telefon tentang perjalanan program (tentatif) untuk esok hari. Kami menyepakati apa yang perlu (seperti pakai sarung tangan bagi isteri sebagai bentuk ikhtiar berhati-hati) dan apa yang tidak perlu dilakukan (seperti cium dahi isteri, jemput baca ---> notarfs.blogspot.com/2011/12/mencium-dahi-isteri-selepas-akad-nikah.html).

Juru gambar dan juru solek atau mak andam (sekiranya ada) sepatutnya mengikut kehedak kita sebagai pelanggan yang sianggap raja, bukannya kita yang mengikut kehendaknya. Jadi, tidak perlu ikut kehendak mereka sekiranya boleh mencalarkan maruah kita dihadapan Allah SWT dan Rasul SAW.

Majlis Walimah

Ketika majlis walimah, kami menghidangkan jamuan secara buffet. Kami membahagikan 3 kawasan meja makan, bagi mengurangkan percampuran (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan.

Gambarannya seperti ini: kawasan meja lelaki, meja buffet (sebagai partition), kawasan meja keluarga (di tengah), meja buffet lagi dan kawasan meja perempuan. Kami meletakkan label bagi setiap kategori meja. Walaupun tidak semua tetamu mengikut meja yang ditetapkan, namun begitu sedikit sebanyak apa yang kami upayakan boleh dikatakan memuaskan.

Meja makan pasangan pengantin diletakkan berasingan dari meja para tetamu, iaitu di bahagian dalam pagar rumah.

Saya dan isteri tidak bersanding, malah kami menjadi penyambut tetamu dan beramah mesra dengan mereka. Saya di kawasan meja lelaki, manakala isteri di kawasan meja perempuan dan sekali sekala ke kawasan meja keluarga.

Jadi kami hanya bersama ketika makan dan sesi bergambar bersama tetamu tertentu sahaja.

Untuk sesi bergambar bersama tetamu, kami hanya bergambar di dalam rumah. Hanya keluarga dan kawan rapat sahaja yang dapat bergambar kami suami isteri, sama ada kami yang menjemput ataupun mereka yang meminta.

Tetamu yang kurang rapat, hendak minta bergambar dan masuk ke dalam rumah pun segan. :)

Pernikahan adalah suatu ibadah. Syarat diterimanya suatu ibadah adalah kemurnian ikhlas pada niat serta mengikut panduan yang diajarkan syariat.

Tidak mungkin suatu ibadah itu bisa mencapai redha Allah jika dalam proses pelaksanaannya ternoda oleh hal-hal yang bertentangan dengan kehendak-Nya.

Syaitan sentiasa berusaha merosakkan niat dan proses ibadah pernikahan hamba-hamba Allah dengan pelbagai cara. Syaitan sungguh kreatif dalam menjerumuskan anak Adam ke dalam lembah dosa.

Hanya dengan perlindungan-Nya saja kita boleh terlepas daripada tipu daya syaitan. Maka mohonlah kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan dan sentiasa dijaga.

Sekadar perkongsian pengalaman. Semoga ada manfaatnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

RFS
Bukan malaikat

No comments:

Post a Comment