1
Ingat kata kunci ini dan gigit dengan geraham "INSIDER INSIGHT"
Saya teringat satu hadis yang menjadi sandaran utama ulama hadis dalam Jarh wa Ta'dil.
Hadis tersebut sangat membekas di hati saya.
Iaitu kisah Fatimah Binti Qais dalam Sahih Muslim.
Cerita dia Fatimah baru sahaja diceraikan talak 3 oleh suami beliau. Kiranya cerai tak boleh rujuk dah.
2
Fatimah dirisik oleh dua orang sahabat Nabi ﷺ, iaitu Mu‘awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm.
Fatimah wanita cerdik. Beliau tak tanya pandangan kawan-kawan ahli korum mesyuarat tingkap.
Tapi beliau tanya pandangan Rasulullah ﷺ.
Ada beberapa point yang menarik dalam kisah Fatimah ini. Nabi ﷺ tak fokus cerita sisi positif, baik dan betapa soleh dan ahli syurganya tentang dua sahabat baginda.
Tetapi baginda sebut beberapa perkara untuk Fatimah pertimbangkan kerana ia mungkin memberi kesan jangka panjang dalam kehidupan berumahtangga.
3
Nabi ﷺ komen tentang Mu‘awiyah
أَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لَا مَالَ لَهُ
Mu‘awiyah pada masa itu tak dak harta.
Pasai Abu Jahm pulak, dalam satu riwayat Sahih Muslim.
وَأَمَّا أَبُو جَهْمٍ فَرَجُلٌ ضَرَّابٌ لِلنِّسَاءِ
Abu Jahm seorang yang suka memukul wanita.
Bila ada orang approach untuk jadi pasangan.
Saya rasa wajib untuk bakal calon kenai keburukan diri bakal pasangan berdasarkan hadis ini.
Pandangan saya mungkin silap.
4
Dalam hadis Fatimah Binti Qais ini ada banyak point-point penting yang saya rasa semua wanita yang cari calon suami, para ibubapa yang mencari calon menantu dan kaki matchmaker kena fokus betul2.
Nabi ﷺ cerita semua kelemahan calon yang risikonya Fatimah akan hadapi. Nabi cerita jujur walaupun depa dua orang tu sahabat Baginda.
Sebab perempuan bukan kawin dengan Resume atau CV suami yang semuanya positif dan cerita penuh dengan data baik sahaja.
Tapi dia akan hidup dengan semua sisi baik dan buruk perangai suami dia.
Nabi berikan "INSIDER INSIGHT" kepada Fatimah.
Ini part yang selalu diabaikan oleh pencari jodoh.
5
Ada pompuan mungkin boleh sabaq dengan suami yang muka average, tak romantik atau jenis hujung bulan beli Maggie ja jamu bini anak bini makan.
Tapi tak semua pompuan mampu tahan dengan suami jenis panas baran, yang buat bini jadi punching bag, tempat dia training MMA.
Kebiasaanya pompuan adalah makhluk santun yang sensitif dengan apa jua penderaan fizikal dan mental.
6
Buat para matchmaker dan jenis suka nak rekomen orang supaya bina masjid.
Ingatlah... Kita sedang memberi pendapat yang akan menyumbang kepada kebahagiaan dan azab seorang wanita.
Kita ditanya pendapat kerana penanya percaya kita memiliki "INSIDER INSIGHT" yang dia tak ada.
Sebab tu kalau ada orang mintak pandangan tentang lelaki untuk calon suami. Kita wajib kena jujur dan amanah.
Berilah pendapat seolah yang akan kawin itu adalah diri kita sendiri atau anak kita yang paling kita sayang.
Kalau kita tau laki tu panas baran, jangan fokus senaraikan kebaikan lelaki tadi.
"Laki tu rajin pi masjid, rajin join program dakwah, suka baca Quran, rajin dhuha, rajin menadah kitab, pandai ambik hati orang tua, pandai masak, pandai berkuliah, pandai bisnes, lelaki paling soleh yang pernah saya kenai dan bakal ahli sorga."
7
Kalau kita kenai kawan tu jenis kaki rembat duit orang, jangan duk cerita
"Dia selalu jadi jadi sukarelawan program dakwah Sunnah, dia selalu berdamping dengan para ulama, dia aktif berdakwah kepada Non Muslim, dia banyak train sukarelawan, dia banyak Islamkan orang, dia selalu buat dialog harmoni dengan agama lain."
Semua fakta yang kita bagitau tu mungkin betui dan benar belaka.
Tapi orang tengah mintak pandangan kita pasai adakah lelaki yang dia tengah risik ni sesuai jadi suami untuk diri dia, untuk anak dia atau untuk kenalan dia?
8
Bila orang tanya kita. Adakah LELAKI ini atau WANITA ini sesuai jadi pasangan hidup? Fokus cerita keburukan.
Saya ulang. Cerita keburukan.
Waktu macam ni bukan masanya nak jadi promoter lelaki atau perempuan tadi dengam senaraikan semua kelebihan-kelebihan dia.
Sebab keburukan-keburukan lelaki tadi akan dihadapi oleh isteri dia yang akan jadi pasangan hidup dia mungkin sampai mati.
Rajin hangpa baca sampai sini no? Bacalah sampai habih dah alang-alang. Tak banyak dah. Sikit lagi ja
9
Habih tu kalau orang tanya kita pasai kawan kita, pasai anak murid kita, atau kenalan kita untuk jadi calon pasangan hidup. Apa kita nak cerita?
Kata kuncinya simple. Cakap benar seolah kita ni nak sangat gelaran al-Amin macam Nabi.
9.1- Wajib cerita semua buruk calon suami supaya orang nak kawin dengan dia boleh pikiaq habis-habisan sanggup dak nak bersuamikan laki yang perangai macam tu.
9.2- Ni paling penting. Berikan alternatif yang terbaik kepada orang yang mencari calon. Part ni yang paling susah. Apa dalilnya?
Dalam kisah Fatimah tadi. Selepas Nabi cerita keburukan Muawiyah dan Abu Jahm.
Nabi ﷺ suggest Fatimah kawin dengan Usamah bin Zaid رضي الله عنه.
Fatimah asainya tak mau. Sebab Usamah Bin Zaid bukan keturunan bangsawan Quraisy. Dia anak hamba. Kulit pun gelap bukan muka jambu hero Korea kegilaan Gen Z lani.
Tapi sebab Fatimah percaya bahawa Nabi hanya akan suggest calon suami yang terbaik untuk dia.
Selepas Fatimah berkahwin dengan Usamah, Fatimah cerita ramai wanita-wanita lain cemburu positif dengan Fatimah.
Sebab Usamah suami yang baik.
10
Usamah adalah cucu angkat kesayangan Nabi ﷺ.
Saya rasa banyak pengajaran lain yang saya belajar dari kisah Fatimah Binti Qais.
10.1- Buat semua yang suka rekomen calon dekat orang lain.
Jangan jadi ejen cari jodoh kalau hang sendiri tak kenal betul-betul perangai calon yang hang duk promot.
Hang ingat calon yang promot tu baguih. Sekali lepaih menikah , sekali laki tu jebon kaki pukui pompuan. Hang dapat saham sekali.
10.2- Jangan under estimate janda yang baik. Fatimah bukan anak dara, dia janda.
Tetapi Rasulullah ﷺ rekomen cucu angkat yang paling baginda sayang untuk kawin dengan Fatimah.
Buat semua ibubapa. Nabi saw dah tunjukkan kepada kita. Calon isteri yang baik tak semestinya anak dara. Kalau ada janda yang baik depan mata yang kita kenai betui baik untuk anak kita. Ambillah buat menantu.
Janda yang baik boleh jadi menantu yang lebih baik dan menyenangkan hati daripada anak dara yang perangainya macam menantu dari neraka.
11
Buat lelaki yang mencari jodoh.
Boleh hayati kisah Jabir bin Abdullah رضي الله عنه berkahwin dengan janda.
Nabi ﷺ tanya "awat hang tak kawin anak dara, hang boleh main cak-cak dengan dia, dia pun boleh melawak-melawak dengan hang" (lebih kurang la terjemahan tu. Hangpa jangan la serius sangat)
Bila Nabi tanya Jabir lagu tu. Beliau pun habaq dekat Nabi pasiapa dia pilih janda.
Ayah Jabir meninggal dunia dan adik-adik perempuan yang masih kecil tu jadi yatim.
Anak yatim perlukan penjagaan, perhatian dan kasih sayang ibu.
Beliau mahukan isteri yang matang untuk membantu menguruskan keluarga dan didik adik-adik dia.
Bila Nabi dengaq alasan Jabir. Nabi ﷺ doakan keberkatan untuk Jabir.
Nampak dak? Keperluan setiap manusia tak sama.
12
Fatimah perlukan suami yang sesuai dengan keadaannya yang dah kena cerai talak 3 dengan suami sebelum ni. Dia perlukan fresh start dalam kehidupan berumahtangga.
Dia perlu rasa bahagia, maka Nabi saw carikan calon suami yang boleh bahagiakan dia walaupun tak hensem dan keturunan bangsawan.
Jabir pula perlukan isteri yang sesuai dengan tanggungjawabnya kena bela adik-adik yang masih kecik.
Keperluan kita semua berbeza. Maka carilah calon yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
13
Ada orang dia miskin dan mata duitan. Dia hanya bahagia jika ada duit dan harta yang banyak. Maka carilah pasangan yang kaya raya sesuai dengan keperluan dia.
Ada orang dia liat bangun subuh. Carilah pasangan yang garang dan tegas untuk siram ayaq ais bila dia liat bangun subuh.
Setiap orang kenai diri dia dan apa yang dia perlukan.
Kata kuncinya kenai diri sendiri, kenai bakal pasangan.
Kita yang pilih, tak Dak sapa boh pisau di tengkuk kita suruh ambik pasangan kita.
Jangan cari pasangan sebab desperate. Sebab nanti kita akan tangkap muat.
14
Sebab tu bila saya perhati status Nabilah Alwi tolong cari calon isteri ketiga untuk suaminya.
Dia dah senaraikan ciri-ciri wanita yang diharapkan dapat hidup bersama keluarga dia dan suami dia.
Ini point penting. Kita wajib kenalpasti keperluan kita dan kadar toleransi kita dengan bakal pasangan kita.
Kalau saya boleh bagi pesanan kepada wanita yang berminat nak jadi calon isteri ketiga atau keempat kepada Ust Aiman Banna.
Ini pesanannya...
15
Pesanan ini secara umum kepada semua wanita yang mencari calon pasangan hidup samada dengan lelaki bujang atau suami orang atau duda.
Saya cuma nak pesan.
Wanita wajib dan berhak tahu kelemahan bakal suaminya, tahu cabaran-cabaran hidup berumahtangga samada monogami atau poligami.
Bagi dunia poligami. Kena tau risiko berkaitan penggiliran masa, nafkah dan realiti berinteraksi dengan keluarga bakal suami yang dah ada beberapa orang anak dengan perkahwinan pertama kedua atau ketiga.
Bagi saya tak memadai sekadar tau bakal suami dah terbitkan 60 buku, ada 10 bisnes dan tengah sambung Master.
Atau kenal suami melalui CV dan Resume semata-mata.
16
60 buah buku yang dah ditulis tak menjamin semua masalah rumah tangga selepas berkahwin dengan isteri ketiga boleh diselesaikan dengan mmterbitkan buku ke-61.
Akhirnya, apa pun cara yang kita gunakan mencari jodoh, pastikan niat dan objektif itu tercapai.
Kita bukan sekadar nak cari suami atau isteri atau pasangan hidup.
Kita perlukan pasangan hidup yang kekurangannya kita boleh hadap, dan dia pun pula boleh terima kekurangan kita.
Kita berkahwin kerana perkahwinan adalah fitrah dan ibadah.
Perkahwinan juga merupakan nikmat yang Allah berikan di mana kita menjalani hidup dengan teman untuk kita berkasih sayang.
17
Perkahwinan memberi kita peluang ada teman berbincang, teman bergaduh, teman tidur sekatil dan teman mengharungi kehidupan dunia menuju akhirat.
Selebihnya, kita berikhtiar, dapatkan nasihat orang-orang berilmu, ikhlas dan sayangkan kita.
Kemudian berdoa, bertawassul dan beristikharah mohon petunjuk Allah supaya kita dikurniakan jodoh yang baik untuk dunia dan akhirat kita.
Moga Allah kurniakan kepada kita pasangan yang menjadi penyejuk mata.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada pasangan dan zuriat kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami ikutan bagi orang yang bertakwa.
(Surah al-Furqan: 74)
Kalau rasa tulisan ni bermanfaat. Share kepada yang memerlukan.
Sumber: Mohd Roesfan Sazzerin aka Sunan

No comments:
Post a Comment