PERSEDIAAN BERKHWIN

  • 0
Ada seorang anak muda PM saya tanya soalan dan minta nasihat tentang persediaan nak kahwin.

Saya bukanlah orang yang ada banyak pengalaman dalam kehidupan rumah tangga. Kahwin pun sekali sahaja.  Itupun dah 8 tahun lepas. Hihi.

Tapi memandangkan Nabi SAW pernah pesan bahawa sekiranya ada yang minta nasihat, maka kita perlu tunaikan permintaannya. Dan sebaik-baik nasihat adalah agar bertakwa kepada Allah serta beriman kepada hari akhirat.

Nak kahwin ada pelbagai persediaan yang perlu disiapkan. Kewangan hanya salah satu daripada banyak perkara.

Perkara yang paling utama adalah agama. Menilai agama bakal pasangan itu memang penting, namun menjaga dan meningkatkan agama dalam diri sendiri lebih penting lagi.

Nak dapat jodoh baik, kena jadi baik dulu, kini dan selamanya.

Dalam bab bercinta ini ada beberapa buku yang suka saya cadangkan untuk dibaca oleh bakal pengantin, pengantin baru dan juga pengantin lama.

Antaranya buku Tentang Cinta oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan buku oleh Ustazah Fatimah Syarha seperti Cinta High Class atau novel Seindah Mawar Berduri.

Lagi satu, baca juga buku-buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tentang cinta. Insya-Allah boleh jadi panduan untuk perbaiki diri sebagai ikhtiar bertemu jodoh yang baik.

Dalam bab kewangan pula, nak cari dan kumpul duit tak perlu tunggu ada jodoh. Tapi kalau dah jumpa jodoh, wajib ada duit bila nak kahwin. Kan?

Boleh cari duit dan jodoh sekali gus serentak. Kalaupun belum jumpa jodoh, duit masih perlu tetap dicari dan diuruskan dengan baik bagi meneruskan hidup.

Bila dah sampai masa nak kahwin pula, ada 2 hal yang perlu diambil kira, #1 duit untuk belanja kahwin dan #2 duit belanja untuk kehidupan selepas berkahwin. Usah berlebihan pada #1 sehingga menyusahkan yang #2.

Kewangan memang bukan perkara utama dalam membina kebahagiaan rumah tangga. Tapi masalah kewangan boleh jadi punca utama keruntuhan rumah tangga.

Sekian sahaja perkongsian kali ini. Terima kasih sudi baca sampai habis.

RFS
Pengantin purba