DILEMA WANG HANTARAN

  • 0

Sudah sangat lama saya tidak menulis tentang pernikahan di bawah label Baitul Muslim. Tulisan terakhir saya ditulis pada 5 Ogos 2010 di bawah tajuk Rangkaian Ibadah Nikah Vol 3 (Persiapan Keuangan). Sudah lebih dari setahun. :D

Sebenarnya saya sudah agak lama merancang untuk menulis kembali tentang pernikahan. Terlebih lagi ketika sahabat baik saya Mohd Anuar Khazizi melangsungkan perkahwinan pada 30 hb April 2011 yang lalu. Namun baru sekarang perancangan itu berjaya disempurnakan. Hu hu hu...

Kali ini saya cuba menulis tentang wang hantaran dalam perkahwinan.

Mari kita mulakan dengan berapakah wang hantaran yang ditetapkan oleh mertua saya? Saya masih ingat pagi itu saya, bakal ayah dan ibu mertua saya sedang melawat rumah yang akan menjadi tempat tinggal saya dan isteri setelah menikah nanti. Kami hanya bertiga. Ketika itu bakal ibu mertua mengatakan, "Terpulang nak bagi berapa". Subhanallah! Saya tak pernah terfikir akan dapat jawapan seperti itu. :)

Untuk makluman, sebelum berkahwin dengan isteri saya, saya pernah bertunang dengan seorang muslimah lain. Ketika saya bertunang dengan muslimah itu, pihak keluarganya menetapkan bahawa wang hantaran yang perlu saya berikan adalah RM8 ribu. Walaupun ketika itu masih belajar, saya yakin bahawa pada tarikh perkahwinan yang dirancang nanti, iaitu 2 tahun kemudian, Allah akan membantu saya untuk memenuhi  permintaan itu. Caranya? Saya ada kongsikan di [sini]

Namun dengan kehendak Allah SWT pertunangan itu berakhir di tengah jalan (sila baca: Misteri Jodoh). Alhamdulillah! Kemudian Allah mempertemukan saya dengan isteri saya yang sekarang, jodoh yang sememangnya telah dituliskan oleh-Nya akan menjadi bidadari saya di dunia (sila baca: Ta'aruf) dan in syaa Allah di akhirat. Amin!

Sungguh indah perancangan Allah. :)

Soalan seterusnya: Berapakah wang hantaran yang patut saya berikan?
Jawapannya: Memandangkan sebelumnya telah ditetapkan RM8 ribu sebagai hantaran kepada muslimah bekas tunang saya, maka saya berasa adalah tidak patut apabila saya memberikan hantaran kurang dari RM 8ribu kepada isteri saya. 

Itu kisah saya.

Bagaimana dengan kisah yang lainnya?

Saya mendapati ada di kalangan ibu bapa yang menetapkan kadar tertentu sebagai hantaran bagi anak perempuan mereka. Ada yang merujuk kepada taraf pendidikan/pekerjaan anak mereka, ada juga yang merujuk kepada ahli keluarga perempuan mereka yang baru berkahwin sebagai penanda aras. Ada juga yang mempertimbangkan status pekerjaan bakal pengantin lelaki dalam menetapkan kadar hantaran. Oh!

PERANCANGAN HIDUP DAN MATI

  • 0
Selain novel, buku yang paling laris di kedai buku adalah buku-buku perancangan hidup seperti buku motivasi, pengurusan diri, perancangan kewangan, bisnes, pelaburan atau yang serupa dengannya. Buku-buku seperti itu sangat membantu orang yang membeli, membaca dan mengamalkannya. Walaupun harga buku-buku tersebut hanya RM 20-30 tetapi nilai yang terkandung di dalamnya berkali-kali ganda lebih bernilai dari harganya.

Namun sayangnya kebanyakan tulisan-tulisan perancangan hidup hanya menekankan tentang keperluan, kemudahan dan keselesaan hidup sahaja. Jarang-jarang menyentuh tentang kehidupan selepas mati.


PERANCANGAN MATI

Perancangan dalam hidup itu memang perlu. Tapi perancangan untuk mati lebih perlu. Sebab kematian bukanlah satu pengakhiran tetapi satu permulaan hidup yang tak mati-mati.

Berkenaan perancangan mati, Nabi SAW pernah berpesan bahawa ketika manusia mati semua amalannya akan terputus kecuali 3 perkara (sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh). Jadi selain 3 perkara itu, tidak ada lagi yang bisa kita harapkan dalam kehidupan setelah mati. Maka selagi masih hidup, marilah kita merancang 3 perkara tersebut dengan sebaik-baiknya.

1. Sadaqah jariyah

Sadaqah jariyah atau lebih dekenali dengan sebutan waqaf adalah infaq yang manfaatnya berpanjangan. Selama manfaatnya masih berjalan, maka pahalanya juga akan terus mengalir kepada pemberi waqaf walaupun dia telah meninggal dunia.

Yang menjadi persoalan adalah jika Anda memperuntukkan 10% (sebagai contoh) dari pendapatan bulanan untuk pelaburan kehidupan dunia, berapa % pula yang Anda peruntukan untuk pelaburan kehidupan akhirat? Jawapan Anda akan menunjukkan sejauh mana kebijakan Anda dalam perancangan "hidup".


2. Ilmu yang bermanfaat

Anda pasti memiliki ilmu yang bermanfaat yang boleh dikongsikan kepada orang lain. Maka, berkongsilah! :) Lebih bagus lagi jika ilmu yang dikongsikan itu menjadi sunnah hasanah.

Harapan saya semoga tulisan-tulisan di dalam blog ini diterima oleh Allah sebagai salah satu bentuk perkongsian ilmu yang bermanfaat. Allahumma amin!


3. Doa anak soleh/ah

Anak soleh bukan disebabkan ayahnya bernama Soleh atau ibunya bernama Solehah. :D Tapi anak soleh adalah seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan sehariannya secara istiqamah. Salah satu cara untuk mengetahui tingkat kesolehan seorang anak adalah dengan melihat bagaimana dia menjaga kewajipan solat.

Bagaimana dengan orang yang tidak memiliki anak? Dalam hal ini guru saya Ustaz Mubarak Al-Hafizh, seorang tokoh ulama dari daerah Jambi, Indonesia, pernah mengatakan bahawa lafaz anak (walad) di dalam hadis disebutkan dalam bentuk nakirah bukan ma'rifah. Itu boleh bermaksud umum bukan khusus. Anak itu tidak semestinya anak sendiri. Tapi boleh juga anak angkat, anak saudara atau anak didik. Wallahu ta'ala a'lam.

Semoga saya dan adik-beradik yang lain istiqamah menjadi anak soleh/ah yang sentiasa mendoakan Ayah dan Bunda.