FORMULA BELI KERETA

  • 0
Sedang berkira-kira nak beli kereta? Kereta apa? Berapa cc? Auto atau manual? Dan harganya berapa?

Kalau dari segi perancangan kewangan dan hutang, harga kereta jangan lebih daripada gaji setahun. Ok, kat bawah ni saya kongsikan 2 formula yang mudah-mudahan boleh bantu untuk buat keputusan.
Katakanlah nak beli All New Persona Auto 1.6 Standar. Memang mengancam sungguh Persona baru ni. Harganya kurang lebih RM50k.

1. Guna formula ni ---> harga kereta bahagi 12
RM50k / 12 = RM4167

Kalau gaji sekarang > RM4167, ok lah nak beli kereta ni. Tapi kalau gaji RM3900, kena turunkan standard sikit ambik transmission manual. Cara yang lain, up kan pendapatan. Mungkin buat part time UBER atau Grab Car driver.

Kalau tak nak tambah kerja, boleh guna formula di bawah untuk ukur kemampuan poket.

2. Pendapatan sebulan x 12 = harga kereta

Kalau gaji RM2500 sebulan, setahun bersamaan RM30k. Pilihlah nak beli mana-mana kereta yang harganya RM30k ke bawah sama ada kereta baru atau terpakai.

Ok, itu je nak share. Terima kasih sudi baca sampai habis. All the best.

RFS
Masih rider kapcai

7 TIPS BERJIMAT

  • 0
Setiap kali pergi kerja dari Nilai ke Bangi saya akan jumpa papan iklan Mr. DIY ini (rujuk gambar) selepas laluan nak masuk ke tol Elite. Bagus nasihat ni. Saya suka. ^_^
Antara penjimatan yang kita boleh buat bila berbelanja adalah seperti berikut.

1. Bijak bezakan antara kehendak dan keperluan
Makan itu keperluan asas. Tapi makan kat KFC, Domino Pizza atau Secret Recipe itu kehendak. Kalaupun mampu, sebulan sekali cukuplah. Ini setiap weekend nak makan sedap je, padan lah simpanan selalu kering kontang.

2. Hidup di bawah kemampuan
Walaupun mampu beli tudung branded, beli je kat kawan-kawan yang ada jual tudung atau shawl. Kan dapat jimat puluh-puluh RM, di samping support bisnes kawan sendiri. Sambil menyelam, minum air. Lagi untung kalau dapat diskaun lebih. Kawan kan?

3. Rancang perbelanjaan
Bila nak keluar untuk berbelanja, senaraikan dulu apa yang nak dibeli. Rancang dan tulis siap-siap nak beli apa. Hanya beli barang yang ditulis saja. Nak keluar shopping tu, perut jangan dalam keadaan lapar, supaya nafsu makan tak mempengaruhi nafsu belanja.

4. Buat belanjawan
Kalau ada peruntukan makan RM400 sebulan, bahagikan RM100 seminggu. Kalau tak cukup juga, jangan usik bajet minggu depan atau korek simpanan. Cuba latih diri puasa sunat, terutamanya bagi orang bujang.

5. Bandingkan harga
Setiap produk ada banyak pilihan. Contohnya sekarang saya dah ganti Nutella RM12-15 dengan Delfi RM8-9. Beli kat 99 Speedmart. Kalau beza berat/kuantiti, tekan kalkulator kat hp, kira harga tiap gram/unit jatuh berapa sen dan pilih yang paling murah. Kenapa bayar lebih untuk produk yang sama, kan? Yang murah tak semestinya tak bagus. Yang mahal tak semestinya bagus. Kaedah ini juga terpakai untuk susu dan lampin anak. Kadang-kadang saya compare beberapa jenama kat 3-4 tempat. Tak de lah sampai saya jalan ke 3-4 tempat tu. Katalog yang dapat dalam peti surat tu kan ada?

6. Belanja ikut keutamaan
Ikutkan hati, semua benda kita nak beli, kan? Sabar. Utamakan yang utama, dahulukan keperluan, kemudiankan kehendak. Mana yang ada, guna sampai habis, pakai sampai rosak. Contohnya pakaian anak, abang/kakak punya boleh turunkan kat adik. Contoh lainnya hp. Nak baiki atau beli baru? Saya dah pernah tulis dulu. (Rujuk komen kat bawah).

7. Hidup bersederhana
Ini adalah salah satu rahsia kenapa orang kaya kekal dan tambah kaya. Ramai orang kaya memilih cara hidup sederhana (mengikut standard mereka masing-masing). Malangnya kita, dah lah susah, suka pula hidup mewah. Sebab itulah tak kaya-kaya dan ramai kena tipu dengan skim cepat kaya.

Akhir kata, keadaan kewangan kita sekarang adalah kesan perbuatan kita 3, 5 dan 10 tahun lepas. Dan keadaan kewangan kita 3, 5 dan 10 tahun akan datang adalah kesan tindakan kita hari ini. Menyalahkan keadaan dan orang lain tak banyak membantu. Tambah ilmu dan mula bertindak. Tanpa tapi, tanpa nanti.

Syabas dan tahniah sebab sanggup baca sampai habis. Sekian. Terima kasih.
.
RFS
Bakal duta Mr. DIY

6 LANGKAH PRAKTIKAL UNTUK LANGSAI HUTANG

  • 0
Rasa semak dengan hutang yang banyak? Macam mana nak buat?

1. Pertama, kita kena sedar dan insaf bahawa yang namanya hutang, nak tak nak kena bayar juga. Jadi, bulatkan tekad nak habiskan semua hutang yang ada dan berazam untuk tak lagi buat hutang baru, (kecuali hutang bijak untuk tambah aset).

2. Langkah seterusnya, senaraikan semua hutang yang ada. Dari situ nanti kita akan nampak:
+ semua hutang yang ada
+ berapa bayaran bulanan
+ berapa profit/interest bank
+ berapa lama lagi tempoh habis bayar

3. Bila dah nampak semua tu, kita boleh pilih cara mana yang sesuai supaya hutang cepat habis:
A. Habiskan baki hutang yang paling sikit.
B. Serang hutang yang profit/interestnya paling tinggi.

4. Bila hutang X dah habis bayar, guna peruntukan yang sebelumnya untuk bayar hutang X untuk serbu hutang Y atau Z pula. (Tengok balik #3)

5. Sepanjang proses ni kena fokus dan cekal. Seeloknya cari pendapatan tambahan untuk bayar hutang lebih cepat.

6. Bila semua hutang dah habis, peruntukan yang sebelum ini guna untuk bayar hutang XYZ jangan guna untuk belanja pula, apatah lagi buat hutang bodoh lagi. Guna sebahagian atau semua peruntukan itu untuk 2 perkara, iaitu 1# tambah simpanan atau #2 tambah harta (aset).

Sekian. Terima kasih. Care to share.

RFS

SECEBIS KISAH TENTANG SEORANG RFS

  • 0
Saya habis belajar dan konvo bulan Ogos 2009. Lepas tu dapat balik dan duduk kat kampung sekejap. Bulan Disember 2009 dah mula kerja kat Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), kat Tanjung Lumpur, Kuantan. Ada orang Kuantan baca post ni? ^_^

Masa tu walaupun gaji dan elaun tak sampai RM2000 pun, tapi rasa macam banyak sangat. Bujang lagi kan?! :D

Saya tak de kenderaan langsung. Motor tak punya, apatah lagi kereta (lesen kereta pun tiada). Tinggal pula kat asrama, jadi warden jaga pelajar. Pergi balik kerja jalan kaki je. Kalau sekali sekala perlukan kenderaan, saya akan pinjam motor kawan ataupun minta tolong kawan hantar/ambik.

Gaji saya banyak habis untuk 2 perkara, #1 makan minum dan #2 buku bacaan, terutamanya buku kewangan. Selebihnya saya simpan sama ada simpan tunai ataupun tukar kepada emas perak.

Ahad, 11hb April 2010 adalah kali pertama saya jumpa isteri, 11hb Jun 2010 hari Jumaat kami menikah. Tepat-tepat 2 bulan sejak taaruf dan tak sampai 7 bulan sejak saya baru mula kerja.

Lepas kahwin, saya masih kerja dan menetap di Kuantan, isteri tinggal kat rumah mertua di Senawang. Hujung minggu baru jumpa. Masa ni, komitmen saya bertambah untuk tambang bas pergi balik Kuantan-Seremban-Kuantan.

Waktu itu saya beli motor, senang nak ulang alik dari Tanjung Lumpur ke terminal. Itupun motor terpakai dan jenama tempatan. Untuk makluman, sampai sekarang saya masih belum beli kereta. Kalau perlu guna kereta, pinjam isteri punya.

Masa ni saya dah mula rancang nak beli rumah pertama. Tapi tak cari kat kawasan Kuatan sebab memang bercadang akan pindah dan menetap lama kat Negeri Sembilan atau Selangor.

Bila ada cuti agak panjang, saya akan merayau kat kawasan Senawang, Seremban dan Nilai survey rumah lelong dan sub sale. Kawasan Bangi dan Kajang pun selalu intai juga kat Mudah dan LelongTips.

Hujung 2011 saya pindah kerja kat Maahad tahfiz As-Sa'idiyyah (MTAS), Senawang dan menetap di Taman Panchor Jaya. Hujung tahun itu juga isteri saya sign SPA beli rumah pertama kami kat Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. Alhamdulillah.

Kenapa pilih Nilai? Ada banyak sebab. Di samping peluang dan potensi yang sungguh memikat, isteri saya kerja di USIM. Jadi memang cari rumah dekat tempat kerja salah seorang daripada kami. Jimat minyak dan tol. :)

Bulan Ogos 2012 kami pindah ke rumah baru di Nilai. Kalau sebelumnya isteri saya ulang alik Senawang-Nilai-Senawang, kali ini giliran saya pula berulang alik Nilai-Senawang-Nilai.

Tapi itu hanya sementara. Saya berhenti daripada MTAS hujung tahun 2012, kemudian baru cari kerja baru. Alhamdulillah, hujung tahun 2012 diterima kerja di Sekolah Al-Amin Bangi dan masih berkhidmat sampai sekarang. Dah nak masuk 4 tahun kat sini.

Setiap pagi dan petang menunggang kuda besi membelah jalan dan lebuh raya PLUS Nilai-Bangi-Nilai bagi menjemput sesuap rezeki untuk sendiri dan anak isteri. Alhamdulillah, ada sedikit boleh simpan bulan-bulan untuk bina kehidupan akan datang yang lebih cemerlang.

Alhamdulillah 'ala kulli hal wa fy kulli fal wa ni'mah.

Walaupun hidup saya sekarang tak lah senang, tapi apa yang lebih penting hati saya tenang. Bukankah ketenangan hati dan jiwa yang menjadi dambaan semua orang?

Panjang lagi ni kalau nak cerita. Tak cerita lagi pasal side income dari berniaga macam-macam, tulis dan pasarkan ebook, buat sublet, buat pelbagai internet marketing dan banyak lagi. Kita cerita lain kali, insya-Allah. Ok?

Saya nak pesan kat anak muda supaya belajar ilmu kewangan, bisnes dan pelaburan sejak awal. Masa bujang jangan tinggikan komitmen dengan berhutang di luar kawalan. Semakin umur berganjak, semakin bertambah ahli keluarga, semakin meningkat kebijaksanaan, semakin matang pengalaman, ketika itu kita semakin faham dan mengakui erti peribahasa berikut ini.
+ Bersusah-bersenang dahulu, bersenang-senang kemudian.
+ Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.
+ Sudah terhantuk, baru tengadah.
+ Sedia payung sebelum hujan.

Lagi satu, dan ini adalah yang paling penting. Walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya.

Eh, ada ke yang baca saya tulis panjang-panjang macam ni? Kalau anda baca sampai habis, tolong komen ---> Nice!

Sekian. Terima kasih. Care to share.

RFS
Rider kapcai

P/S: Saya ada buat satu group FB untuk mereka yang berminat nak belajar pasal kewangan. Nama group ni, Group Bincang Wang. Bila join group ini, anda akan dapat:
+ Ebook Mudah Simpan Duit
+ Ebook 7 Perangkap Kewangan
+ Belajar ilmu kewangan daripada perkongsian di dalam group.

Tapi group ini group berbayar. Kalau memang minat nak join, boleh emel saya di hikmahbookshop@gmail.com dengan mesej 'BW'. Nanti saya reply details.