PENGALAMAN BELI RUMAH

  • 0
Saya pernah duduk menyewa. hidup menyewa itu banyak suka dukanya. Anda yang pernah dan masih menyewa tentu faham dan ada pengalaman sendiri. Kan?

Bulan Ogos 2012 adalah kali pertama saya dan suri berpindah masuk ke rumah sendiri. Rumah teres 2 tingkat di Bandar Baru Nilai.

Kenapa beli rumah kat Nilai? Sebab suri saya mengajar kat USIM.

Ada seorang mentor Cina pernah pesan, "Cari rumah dekat tempat kerja, bukan cari kerja dekat dengan rumah."

Masa dulu beli memang rasa mahal. Tapi kalau dulu tak beli, memang menyesal.

Di bawah ini saya kongsikan pengalaman saya dan suri beli rumah pertama kami.

Pengalaman Beli Rumah

Gaji saya dan suri 5 tahun lepas jika digabungkan tak sampai RM4,000. Nak kata rendah, mungkin ada yang lebih rendah. Nak kata tinggi, ramai lagi yang lebih tinggi.

Masa awal-awal kerja saya banyak baca buku (juga ebook) tentang kewangan dan hartanah. Kesimpulan mudah yang saya buat, berapa jumlah gaji itu memang penting, tapi berapa yang boleh disimpan daripada gaji itu lebih penting dalam menentukan kecemerlangan kewangan. Dan untuk beli rumah atau melabur hartanah perlu ada kewangan yang kukuh sebagai tapak asasnya.

Gaji tinggi jadi tak cukup kalau banyak bela liabiliti. Gaji rendah tiada masalah kalau masih dapat menyimpan untuk deposit dan bayar ansuran hutang rumah.

Sebelum beli rumah, saya dan suri sewa rumah dengan kadar RM300 sebulan. Di samping itu, kami juga buat bajet khas simpan siap-siap RM900 daripada gaji untuk tabung beli rumah.

Maknanya, RM900 + RM300 = RM1,200. Ini adalah jumlah ansuran yang mampu kami bayar jika membeli rumah.

RM1,200 boleh beli hartanah harga RM240,000 jika tempoh pembiayaan 30 tahun atau RM260,000 jika tempoh pembiayaan 35 tahun.

Pada asalnya kami rancang nak cari dan beli rumah landed pada harga bawah RM200,000. Lagi murah lagi elok.

Lepas tengok beberapa rumah, akhirnya kami berkenan kat rumah teres 2 tingkat berhampiran jalan raya. Tapi harganya lebih RM200,000 sebab corner lot. Kalau rumah tengah harganya dalam RM160,000-180,000. Kami dah pergi tengok beberapa rumah sebelum betul-betul buat keputusan untuk beli. 
Asalnya owner nak jual dengan harga RM275,000. Masa itu saya tak ada kemahiran dan pengalaman lagi, jadi bila minta kurang dapatlah harga RM260,000. Huhu.

Selepas itu timbul pula satu masalah. JPPH bagi penilaian untuk rumah itu RM230,000 sahaja. Ah, sudah.

Memandangkan suri saya pegawai kerajaan, boleh mohon 100% pembiayaan. Tapi lagi RM30,000 kena topup sendiri. Aduh. Nak beli ke tak ni?

Fikir punya fikir, akhirnya beli juga. Patutnya sebelum sign SPA, nego lagi sekali dengan owner. Tapi macam saya kata tadi, tak ada kemahiran dan pengalaman dalam rundingan. Rugi banyak kat situ. Huhu.

Ok, sekarang tarik nafas dulu dalam-dalam. Kemudian hembuskan dengan perlahan. Dah? Jom sambung baca.

Macam mana kami nak dapat duit RM30,000 lebih untuk topup dan kos guaman?

1. Saya dan suri berkahwin pada bulan Jun 2010, sign SPA Disember 2011. Kalau sebulan simpan RM900, setahun dah RM10,000 lebih. Bila dapat bonus, simpan lebih sikit. Nak beli rumah, kena sanggup bersusah.

2. Selain simpan RM900/bulan daripada gaji, ada side income juga sikit-sikit buat tambahan tapi tak konsisten. Baru nak belajar menjual. Hehe.

3. Saya dan suri juga ada simpan emas beberapa puluh gram. Tak banyak pun. Masa nak beli rumah dulu ada yang jual dan ada yang gadai.

4. Keluarkan akaun 2 KWSP. Habis licin. Ada beberapa belas ribu kalau tak silap.

5. Dalam Tabung Haji suri ada sekitar RM8,000. Ini duit simpan sejak suri masih kecik lagi. Daripada simpan sahaja tak buat apa. Baik guna untuk beli rumah kan? Haha.

6. Ayah mentua tawarkan nak pinjamkan duit sebagai backup. Alhamdulillah, dah habis bayar pun.

7. Kalau nak kaya, kena miskin alasan. Kalau nak banyak menyimpan, kena banyak berjimat.

Kami tak ada honeymoon, tak travel, tiada gadjet canggih dan mahal, kat rumah tak ada TV, perabot sekadar ada, jarang beli baju baru, saya tiada kereta hanya berkapcai pergi balik kerja, suri naik kereta Viva sahaja. Dan macam-macam lagi kami buat untuk berjimat.

Tahun lepas ada satu rumah corner lot kat taman ini dijual dengan harga RM540,000. Tapi rumah itu dah renovate dapur ke belakang. Kalau rumah basic macam kami sekarang harganya dalam RM480,000 ada kot.

Dalam tempoh kurang lebih 5-6 tahun ada capital gain RM220,000 ok lah kan? Ibaratnya kami bayar RM1,200, tapi dapat balik RM3,000 setiap bulan dalam bentuk capital gain. Siapa nak bagi kan?

Sebenarnya sejak tahun 1990, harga rumah terus meningkat dan tak pernah jatuh kecuali masa kegawatan ekonomi tahun 1998 dan 1999.

Purata kenaikan harga rumah di Malaysia adalah 6.5% setahun sejak 26 tahun silam.

Jadi jangan tunggu beli rumah, tapi beli rumah dan tunggu.

Syabas dan tahniah saya ucapkan jika anda sanggup baca karangan ini sampai habis. Saya doakan agar Allah permudahkan segala urusan anda dalam usaha membeli rumah. Allahumma amin.

RFS
Masih rider kapcai

No comments:

Post a Comment