MEMBELI KARPET BARU DI NILAI 3

  • 1
Nama saya ditulis Rais Khan dengan tulisan Urdu
Baru-baru ini saya dan suri serta anakanda kami Qawwam ke Nilai 3 bagi membeli karpet baru bagi menggantikan tikar buluh yang telah digunakan selama lebih 3 tahun. :)

Kami memilih kedai yang nampak sunyi, sedang tidak ramai dikunjungi pembeli supaya dilayan oleh pekedai dengan cepat dan selesa. Keatika kami singgah di kedai yang kami pilih, hanya ada seorang pekerja (pekerja lain sedang solat katanya) yang sedang melayan seorang pembeli yang lain. Sambil menunggu, kami memerhatikan beberapa jenis karpet dengan pelbagai saiz.

Apabila tiba giiran kami dilayan oleh pekerja kedai, kami memulakan dengan bertanyakan harga dan maklumat lanjut tentang karpet yang kami minati. Ketika sedang berbincang dengan pekerja kedai, pada awalnya beliau menawarkan karpet saiz kira-kira 9x7 kaki tanpa tanda harga pada harga RM500. Selepas berbincang-bincang lagi akhirnya beliau menawarkan karpet saiz 11x9 kami dengan tanda harga RM650 juga pada harga RM500.

Oh! Saiz lebih besar dengan harga yang sama, RM500. Walau bagaimanapun, jenis dan ketebalan karpet sedikit berbeza. Karpet saiz kecil kelihatan sedikit lebih tebal.

Akhirnya saya dan suri sepakat memilih karpet bersaiz lebih besar namun belum bersepakat dengan harga RM500 kepada pekerja kedai. :D

Misi tawar-menawar bagi mendapat harga yang lebih murah baru sahaja bermula.

Ketika sedang melakukan proses tawar-menawar harga, pekerja kedai menyebut kira-kira seperti, "Saya kasih abang harga banyak murah sebab saya tengok abang ikut sunnah, ada janggut." Dalam hati saya terdetik, "Dalam sunnah ada kejayaan."

Akhirnya kami berbual di luar tajuk jual beli karpet, ini sebenarnya boleh jadi salah satu strategi juga dalam melakukan tawar-menawar harga. 

Selanjutnya saya mengetahui bahawa beliau berasal dari Pakistan, bahasa ibunda beliau Pushtun namun begitu beliau boleh juga bercakap Urdu. Kebanyakan masyarakat Pakistan di Malaysia yang berbahasa Pushtun berniaga karpet. Beliau telah berjaya menghafaz setengah isi kandungan al-Quran. Ma syaa Allah. Nama beliau ialah Tuan Ghani Rahman.

Kembali pada perbincangan sebelumnya, harga. Setelah saya melancarkan strategi khas, Tuan ghani Rahman mengambil dan menekan-nekan tombol kalkulator kemudian menunjukkan harga terakhir yang boleh beliau berikan iaitu RM4xx. Wah! Daripada harga asal RM650, turun jadi RM500 dan akhir sekali menjadi RM4xx. Alhamdulillah!

Saya bertanya kepada beliau adakah beliau mendapat untung dengan harga sebegitu murah? Beliau mengatakan, ada untung sedikit. Sekiranya beliau cakap tidak ada untung itu tipu, ada untung tapi sedikit. Dan beliau bersetuju memberikan harga tersebut.

Alhamdulillah. Saya dan suri sepakat dengan harga yang ditawarkan. Resit ditulis (ada tambahan beberapa barang lain), wang diberikan. Proses jual beli selamat dilakukan.

Sebelum kami pulang, Tuan Ghani Rahman memberikan kad bisnes kedai dan menuliskan nombor h/p beliau di sebaliknya sebagai rujukan sekiranya saya bercadang hendak membeli karpet lagi pada masa yang akan datang.
Petunjuk jalan ke kedai karpet Tuan Ghani Rahman
Sebagai membalas layanan mesra, jasa baik dan tawaran harga yang begitu berpatutan daripada Tuan Ghani Rahman, saya menuliskan perkongsian pengalaman ini. Mana tahu ada rakan-rakan yang bercadang hendak membeli karpet juga di Nilai 3. Dengan menunjukkan gambar resit dan kad bisnes ini, Tuan Ghani Rahman mungkin bersedia memberikan harga istimewa pula kepada Anda. Tiada salahnya mencuba. :)

Kedai Karpet S.A. Marketing Sandakan Carpets Sdn. Bhd tempat Tuan Ghani Rahman bekerja berada di No.9, Jalan Nilai 3/1, Kawasan perindustrian Nilai 3.

1 comment: