PERANCANGAN HIDUP DAN MATI

  • 0
Selain novel, buku yang paling laris di kedai buku adalah buku-buku perancangan hidup seperti buku motivasi, pengurusan diri, perancangan kewangan, bisnes, pelaburan atau yang serupa dengannya. Buku-buku seperti itu sangat membantu orang yang membeli, membaca dan mengamalkannya. Walaupun harga buku-buku tersebut hanya RM 20-30 tetapi nilai yang terkandung di dalamnya berkali-kali ganda lebih bernilai dari harganya.

Namun sayangnya kebanyakan tulisan-tulisan perancangan hidup hanya menekankan tentang keperluan, kemudahan dan keselesaan hidup sahaja. Jarang-jarang menyentuh tentang kehidupan selepas mati.


PERANCANGAN MATI

Perancangan dalam hidup itu memang perlu. Tapi perancangan untuk mati lebih perlu. Sebab kematian bukanlah satu pengakhiran tetapi satu permulaan hidup yang tak mati-mati.

Berkenaan perancangan mati, Nabi SAW pernah berpesan bahawa ketika manusia mati semua amalannya akan terputus kecuali 3 perkara (sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh). Jadi selain 3 perkara itu, tidak ada lagi yang bisa kita harapkan dalam kehidupan setelah mati. Maka selagi masih hidup, marilah kita merancang 3 perkara tersebut dengan sebaik-baiknya.

1. Sadaqah jariyah

Sadaqah jariyah atau lebih dekenali dengan sebutan waqaf adalah infaq yang manfaatnya berpanjangan. Selama manfaatnya masih berjalan, maka pahalanya juga akan terus mengalir kepada pemberi waqaf walaupun dia telah meninggal dunia.

Yang menjadi persoalan adalah jika Anda memperuntukkan 10% (sebagai contoh) dari pendapatan bulanan untuk pelaburan kehidupan dunia, berapa % pula yang Anda peruntukan untuk pelaburan kehidupan akhirat? Jawapan Anda akan menunjukkan sejauh mana kebijakan Anda dalam perancangan "hidup".


2. Ilmu yang bermanfaat

Anda pasti memiliki ilmu yang bermanfaat yang boleh dikongsikan kepada orang lain. Maka, berkongsilah! :) Lebih bagus lagi jika ilmu yang dikongsikan itu menjadi sunnah hasanah.

Harapan saya semoga tulisan-tulisan di dalam blog ini diterima oleh Allah sebagai salah satu bentuk perkongsian ilmu yang bermanfaat. Allahumma amin!


3. Doa anak soleh/ah

Anak soleh bukan disebabkan ayahnya bernama Soleh atau ibunya bernama Solehah. :D Tapi anak soleh adalah seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan sehariannya secara istiqamah. Salah satu cara untuk mengetahui tingkat kesolehan seorang anak adalah dengan melihat bagaimana dia menjaga kewajipan solat.

Bagaimana dengan orang yang tidak memiliki anak? Dalam hal ini guru saya Ustaz Mubarak Al-Hafizh, seorang tokoh ulama dari daerah Jambi, Indonesia, pernah mengatakan bahawa lafaz anak (walad) di dalam hadis disebutkan dalam bentuk nakirah bukan ma'rifah. Itu boleh bermaksud umum bukan khusus. Anak itu tidak semestinya anak sendiri. Tapi boleh juga anak angkat, anak saudara atau anak didik. Wallahu ta'ala a'lam.

Semoga saya dan adik-beradik yang lain istiqamah menjadi anak soleh/ah yang sentiasa mendoakan Ayah dan Bunda.

No comments:

Post a Comment