SIMPANAN IKUT BERAPA TAHUN KERJA

  • 1
Anda dah kerja berapa lama?

Mungkin ada yang baru setahun, 3 tahun, 5 tahun atau mungkin lebih.

Sepatutnya setiap jumlah tahun yang kita dah kerja, sebanyak itu pula jumlah simpanan kita mengikut bulan.

Contohnya dah kerja 3 tahun, sepatutnya dah ada simpanan bersamaan 3 bulan gaji untuk kecemasan. Kalau dah 5 tahun, sepatutnya ada simpanan kecemasan sebanyak 5 bulan gaji. Dan begitulah seterusnya.

Kan setiap tahun kerja ada dapat bonus sekurang-kurangnya sekali bersamaan satu bulan gaji, ada yang lebih.

Kalau simpan sekurang-kurangnya 10% pendapatan tiap bulan pun, akan ada simpanan sebulan gaji setiap tahun.

Kalau tak ada, maknanya duit simpanan itu telah dihabiskan sebahagian atau keseluruhannya untuk perbelanjaan, aset atau liabiliti.

Kalau guna untuk aset ok lagi. Nak topup balik duit simpanan yang dah digunakan itu tak banyak masalah.

Yang jadi masalah bila peruntukan simpanan kecemasan itu habis untuk dibelanjakan atau beli liabiliti. Memang menyedihkan.

Baru-baru ini peserta sesi 1 on 1 saya ada pendapatan isi rumah lebih RM7k. Satu jumlah yang agak selesa. Dah kerja selama 5 tahun.

Ada seorang isteri dan seorang anak. Isteri kerja sendiri, jadi anak tak hantar pengasuh atau taska. Sendiri jaga. Maknanya belanja untuk anak tak banyak mana.

Tapi bila masuk bab saving, sebulan tak pernah dapat menyimpan. Kalaupun ada simpan RM100-200, ada masanya aka digunakan juga.

Simpanan kecemasan langsung tiada. Jangan kata sebanyak 5 bulan gaji (sebab dah kerja 5 tahun), tapi sebulan gaji pun tak ada. Yang ada hanya beberapa gram emas yang nilainya ratus-ratus RM sahaja.

Antara puncanya adalah hutang personal loan. Ada 2 personal loan yang ansurannya RM1200 setiap bulan.

Kereta murah sahaja, Proton Saga. Tapi sebab ambik skim graduan, 0 deposit dan 10 tahun tempoh hutang, kesannya tidak baik untuk kesihatan kewangan untuk jangka masa panjang.

Kat sini saya nampak masalah utama adalah pada perbelanjaan yang agak di luar kawalan. Saya pun tak pasti kat mana sebab nak cepat dan tak perincikan satu per satu.

Satu-satunya alat yang saya nampak boleh membantu adalah simpanan KWSP sahaja. Guna untuk kambus sebahagian lubang hutang, kemudian mula guna lebihan cash flow untuk bina simpanan dan aset.

Kembali kepada persoalan di atas, anda dah kerja berapa lama?

Kemudian semak ada berapa jumlah simpanan dan nilai aset yang anda punya sekarang?

Kalau jumlahnya tak cukup pendapatan bulanan selama jumlah tahun anda kerja, maka ada sesuatu yang tidak kena. Segera periksa. Jangan bertangguh lama-lama.

RFS

1 comment:

  1. Dah 11 tahun keje. Simpanan tak macam 11 tahun keje. Huhuuu..

    ReplyDelete