KEHIDUPAN SAYA DI DARUL QURAN JAKIM

  • 0
Selepas sekolah menengah, saya menyambung pengajian di Darul Quran JAKIM selama 3 tahun.

Bila memilih untuk hafaz 30 juzuk Al-Quran, keutamaan beberapa perkara perlu disusun semula. Sesetengah perkara kena kurangkan atau terus tinggalkan.

Dulu masa sekolah menengah kalau selepas asar tak ada kelas, boleh kata hampir selalu turun padang main bola atau futsal.

Sejak masuk Darul Quran, selepas asar saya akan lancarkan bacaan ayat yang nak dihafaz esok. Satu hari kena tasmi' satu maqra', kurang lebih 2-3 muka surat.

Kalau bacaan dah lancar dan masih ada masa, saya akan turun padang untuk main bola tampar atau jogging pusing pagar Darul Quran. Bola sepak memang tinggal terus, tak ada masa.

Sempat juga diamanahkan menjadi Bendahari Perkemat DQ. Perkemat adalah singkatan kepada Persatuan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran. Macam MPP kat kampus lain.

Tugas paling mencabar apabila dua kali menguruskan kemasukan pelajar baru, pelajar persijilan dan diploma.

Apa yang unik, semua wang pendaftaran tak masuk ke akaun DQ atau HEP, tapi perlu dimasukkan ke akaun Perkemat. Selepas itu baru bendahari akan salurkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Sempat lah merasa uruskan wang puluh-puluh ribu, walaupun duit orang. Hehe.

Antara pencapaian yang begitu membanggakan, apabila letak jawatan dapat tinggalkan duit kat akaun Perkemat kurang lebih RM40 ribu.

Bendahari setiap exco juga tutup akaun dengan baki duit beribu-ribu, tak ada yang bawah RM1,000.

Macam mana boleh kumpul duit banyak itu? 

1. Bila nak buat program kita bukan habiskan duit, tapi macam mana supaya boleh dapat lebih banyak duit.

2. Dapatkan pembekal yang lebih murah. Terutamanya untuk pakaian dan kitab. Penjimatan kat sini sahaja boleh mencecah belasan ribu. Pembekal lama sampai merajuk, tapi kita hadap sahaja. Hehe.

3. Guna resit lama untuk berunding harga. Bila kita guna perkhidmatan daripada syarikat yang sama selama bertahun-tahun, tak ada salahnya untuk minta harga istimewa. Guna resit lama sebagai bahan bukti dalam berunding. Pada masa yang sama, cuba dapatkan juga syarikat lain yang mungkin boleh bagi harga lagi murah.

4. Bantu syarikat di luar sana untuk salurkan bajet CSR atau zakat kepada persatuan.

5. Kawal kemudahan memberikan hutang dan kutip hutang lama. Sebagai persatuan yang jaga kebajikan pelajar, bendahari boleh bagi hutang tanpa faedah kepada pelajar. Ada juga beberapa guru yang turut pinjam duit untuk pelbagai keperluan.

Cuma masalah hutang ini tak kira sesiapa, orang yang belajar agama pun boleh lupa atau buat-buat lupa bila berhutang.

Ada pelajar yang dah lama habis belajar dan ada juga pensyarah yang dah tukar kereta, tapi sampai sekarang masih tak hutang. Huhu.

Tak salah berhutang. Yang salah kalau tak bayar hutang. Lebih-lebih lagi duit itu milik persatuan yang jaga kebajikan ramai orang.

Kalau duit individu mungkin boleh sahaja orang itu nak halalkan, tapi kalau duit persatuan?

Oh, panjang pula karangan kali ini. Saya pun dah keliru nak cerita pasal apa sebenarnya. Kahkah.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada Anda yang sudi baca sampai habis. Harapnya belajar sesuatu daripada perkongsian ini.

Sekian. Terima kasih.

RFS
Diploma
Tahfiz dan Dakwah
DQ JAKIM 2003-2006

No comments:

Post a Comment