ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | HANTARAN TINGGI

  • 0
Bismillah.
1. Hantaran adalah adat, bukannya syariat. Tiada yang salah dengan adat selagi masih menepati kehendak syariat.

2. Hantaran akan diberikan kepada bakal isteri, bukan kepada ibu bapanya. Sepatutnya beliaulah yang paling layak menentukan kadarnya. Dan hantaran tidak sepatutnya digunakan oleh ibu bapa bagi menampung belanja perkahwinan anak perempuan mereka, kecuali dengan persetujuannya.

3. Ibu bapa bakal isteri turut perlu bersedia daripada segi kewangan apabila hendak melangsungkan perkahwinan anak perempuan mereka dan bukannya mengharapkan hantaran bakal suami anak perempuan mereka.
RM10k dianggap masih tinggi oleh sebahagian pemuda, namun dianggap kadar paling rendah yang boleh ditetapkan oleh sebahagian ibu bapa.
4. Tiada masalah dengan hantaran yang tinggi selagi bakal suami mampu. Kadar kemampuan seseorang adalah berbeza. Oleh itu, ada baiknya kadar hantaran dibincangkan bersama antara bakal pasangan suami isteri beserta pihak keluarga.

5. Bagi sesetengah ibu bapa permintaan wang hantaran yang agak tinggi adalah sebagai komitmen dan bukti bahawa bakal menantu lelaki mereka in syaa Allah mampu menyara anak perempuan mereka nantinya.

6. Bakal suami tidak perlu menutup ketidakmampuan diri bagi memenuhi permintaan kadar hantaran yang dianggap tinggi dengan mengeluh dan merungut. Adalah lebih baik seawal yang boleh belajar dan mengamalkan pengurusan kewangan sebagai persediaan bagi menghadapi perbelanjaan yang agak besar apabila hendak berkahwin nanti.

7. Jalan singkat yang biasa diambil oleh bakal suami bagi memenuhi permintaan hantaran yang tinggi adalah dengan membuat pembiayaan/pinjaman peribadi. Biasanya mereka ini sebelumnya telahpun menanggung hutang belajar dan kenderaan.

8. Berkahwin adalah ibadah seperti mana haji adalah ibadah bagi yang mampu menunaikannya. Seseorang tidak disuruh berhutang untuk berhaji kerana berhutang bagi tujuan itu adalah tanda belum mampu daripada sudut kewangan. Begitu pula dengan berkahwin. Sekiranya masih belum mampu, teruskan usaha sambil berpuasa seperti nasihat Nabi SAW.
Perkara ini boleh berlaku sekiranya bakal menantu lelaki memiliki ciri-ciri bakal penghuni syurga dan bersedia membawa sekali bakal isterinya ke sana bersama-sama. :)
Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.

No comments:

Post a Comment