ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | SATU PASANGAN BERCERAI SETIAP 20 MINIT SEKALI

  • 0
Bismillah.
1. Perceraian adalah perkara halal namun begitu dimurkai oleh Allah SWT. (Mafhum hadith)

2. Sebelum perceraian terpaksa dipilih sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah rumah tangga, Islam menagajarkan agar kedua belah pihak ataupun wakil mereka perlu mencari dan mencuba jalan lain terlebih dahulu. (al-Nisa: 35)

3. Perceraian berpunca daripada krisis yang berlaku dalam rumah tangga. Krisis rumah tangga pula berpunca daripada pelbagai sebab.

4. Antara punca utama perceraian adalah disebabkan masalah kewangan. Masalah ini biasanya bermula apabila seseorang berkahwin menggunakan wang daripada pembiayaan/pinjaman peribadi. Dan boleh jadi sebelum ini dia telahpun menanggung hutang belajar dan kenderaan. Masalah ini boleh dielakkan sekiranya dia belajar dan mengamalkan pengurusan kewangan sejak sebelum berkahwin lagi.

5. Antara penyebab perceraian juga adalah krisis keimanan. Berapa ramai antara yang bercerai, solat mereka sekian lama telah terabai. Hakim, kaunselor dan pegawai berkenaan yang menguruskan kes perceraian biasanya sedia maklum tentang perkara ini. Jika seseorang sanggup mengabaikan kewajipan terhadap Allah SWT, apatah lagi tanggungjawabnya kepada makhluk (pasangannya). Oleh itu, Nabi SAW sejak awal menasihatkan agar umatnya memilih pasangan atas dasar kualiti agamanya.

6. Di samping itu masalah komunikasi antara suami isteri turut menyumbang kepada masalah perceraian ini. Manusia memiliki fikiran dan perasaan. Lelaki ada ego yang perlu diraikan manakala perempuan ada emosi yang dibelai. Perkara itu hanya dapat terpenuhi dengan komunikasi yang baik dan berkesan sama ada komunikasi verbal (seperti pujian, dorngan dan galakan) mahupun non verbal (seperti ciuman, pelukan dan layanan mesra).

7. Perceraian mungkin boleh menyelesaikan sebahagian masalah, namun perceraian juga boleh menimbulkan pelbagai masalah lainnya. Apatah lagi sekiranya pasanga yang bercerai telahpun dikurniakan zuriat oleh Allah SWT.

8. Suami menanggung kewajipan memberi tempat tinggal dan menafkahi isteri yang diceraikannya (bagi talaq raj'i) sepanjang masa 'iddah. (al-Talaq: 1). Sekiranya isteri diceraikan ketika sedang mengandung, maka 'iddahnya sehingga isetrinya bersalin. Apabila isterinya itu menyusukan dan menjaga anaknya, maka suami perlu pula menanggung kewajipan menafkahi anaknya itu. Ini antara masalah yang turut perlu difikirkan oleh suami yang bercadang hendak menceraikan isterinya. 

Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.

No comments:

Post a Comment