ISU TERHANGAT SEMINGGU DUA INI | USTAZ BERPOLIGAMI

  • 0
Bismillah.
1. Poligami telah dilakukan dan diterima oleh tamadun manusia sejak sekian lama sebelum Nabi SAW lahir ke dunia.

2. Apabila Nabi SAW diutuskan dan syariat diturunkan, Islam turut mengatur perkhawinan sama ada berkahwin satu (yang sebelumnya mengikut kaedah jahiliyyah) ataupun perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada seorang wanita (yang mana sebelumnya perempuan juga dibenarkan berkahwin dengan lebih daripada seorang lelaki dan tidak terhad kepada 4 orang sahaja).

3. Mutakhir ini, isu poligami adalah antara perkara yang agak sensitif dan dianggap negatif. Ini kerana bilangan lelaki yang berpoligami tidak ramai dan daripada jumlah yang tidak ramai itu pula kebanyakannya dilihat, dibaca dan didengar bermasalah. Sekiranya ada contoh poligami yang berjaya, jumlahnya sangat sedikit dan kisahnya tidak diketahui oleh khalayak.

4. Industri filem, drama dan novel sedikit sebanyak turut menyumbang kepada masalah poligami dipandang serong oleh sebahagian orang apabila lebih memilih untuk membawa kisah poligami bermasalah dalam jalan cerita secara tidak adil.

5. Ketika ada seorang ustaz berpoligami, sebahagian orang (dalam point no. 3 dan 4) menganggap bahawa poligami ustaz itu berpunca daripada sesuatu masalah dan akan berakhir dengan bermasalah juga seperti kebanyakan kes poligami yang mereka ketahui.

6. Saya tidak khuatir apabila seorang ustaz yang saya hormati berpoligami sekiranya dilakukan dengan cara yang baik dan menepati syariat. Sekiranya kita kasihan dengan isteri pertama beliau, beliau tentu lebih kasih dan kasihan terhadap isteri beliau dengan jalan yang beliau pilih.

7. Saya peribadi berpandangan adalah baik bagi para ustaz yang berkemahuan dan berkemampuan untuk melakukan poligami supaya menjadi tauladan yang baik bagi umat serta mengubah pandangan orang ramai bahawa bukan smua poligami seperti yang mereka bayangkan.

8. Sekiranya mahu dibuat perbandingan, tidak sedikit juga orang yang berkahwin satu namun bermasalah sehingga menyumbang kepada jumlah perceraian 3 pasangan setiap jam. Namun kerana perkara ini dianggap telalu biasa berbanding poligami yang agak luar biasa, maka hal ini dianggap sepi.

9. Setiap orang boleh memilih sama ada hendak bermonogami (berkahwin satu sahaja) ataupun berpoligami tanpa perlu mempersoalkan pilihan orang lain selagi jalan yang ditempuh menepati kehendak syariat.

10. Perempuan beriman dan memahami syariat tidak akan menentang poligami. Begitu juga lelaki yang beriman dan memahami syariat tidak akan menyalahgunakan poligami serta sedaya upaya untuk berlaaku adil dan tidak menzalimi isteri-isterinya sekiranya berpoligami.

Sekadar perkongsian pandangan daripada saya yang masih mentah serta kurang ilmu dan pengalaman hidup. Boleh ditolak dan dipertikaikan sepenuhnya, tidak memaksa pula untuk diterima sebahagian apatah lagi semuanya. 

Sekiranya ada kebaikan, alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya, astaghfirullah.

Wallahu ta'ala a'lam.

P/S: Hadith yang menyatakan bahawa wanita yang mengizinkan suaminya berpoligami akan diberikan ganjaran payung emas di syurga adalah hadith palsu. Sesiapa yang menyebarkan hadith ini bermakna dia sedang menempah sebuah tempat duduk di neraka. (Mafhum hadith) Kecuali sekiranya dia bertaubat. Wallahu ta'ala a'lam.

P/P/S: Sekiranya saya ditanya apakah saya tidak mahu berpoligami? Sehingga kini saya masih belum terfikir apatah lagi bercadang mahu berpoligami. Kenapa? Kerana ketika ini pun saya sudah begitu berat menggalas cinta daripada suri saya. :)

No comments:

Post a Comment