PERTIMBANGAN DALAM MENGAMBIL TAKAFUL

  • 2
Saya memiliki beberapa pertimbangan dalam mengambil polisi takaful. Di antaranya ialah siapa yang menjadi ejen, berapa harga yang perlu saya bayar berbanding berapa nilai perlindungan yang akan saya dapat, apa sahaja aspek perlindungan yang boleh saya dapat dan lain sebagainya.
Berkenaan aspek perlindungan apa sahaja yang perlu didapat, saya mendapat gambaran yang jelas melalui tulisan Saudara Afyan [ini]. Dalam tulisan tersebut dijelaskan bahawa ada 4 perlindungan yang perlu dimiliki oleh seseorang, iaitu:
  1. Perlindungan kematian dan hilang upaya (life)
  2. Perlindungan penyakit kritikal (critical illness)
  3. Perlindungan rawatan hospital dan pembedahan (hospital & surgical)
  4. Perlindungan kemalangan diri (personal accident)
Pelan perlindungan seseorang tidak lengkap sekiranya tidak memiliki keempat-empat polisi perlindungan di atas kerana keempat-empat perlindungan tersebut saling melengkapi antara satu sama lain.
1. Perlindungan kematian dan hilang upaya
a) Kematian. Ini adalah perlindungan yang mesti dimiliki oleh setiap orang kerana kematian adalah suatu kepastian. Tidak kira bagaimana cara seseorang meninggal dunia (kecuali bunuh diri), keluarganya akan mendapatkan pampasan. Tiada siapa hendakkan musibah. Namun jika musibah datang tanpa diundang, setidaknya polisi ini boleh meringankan beban keluarga yang ditinggalkan.
b) Hilang upaya. Kehilangan upaya menyeluruh kekal (total permanent disability - TPD) adalah satu kes yang sangat serius. Kita hanya mati sekali. Tetapi apabila seseorang hilang upaya, keadaannya berpanjangan sehinga bertahun-tahun. Lagipun, kos menjaga orang yang hilang upaya sering kali lebih tinggi daripada kos pengebumian. Sudah jatuh ditimpa tangga. Seseorang yang menderita hilang upaya biasanya akan kehilangan punca pendapatan. Dengan adanya perlindungan ini diharapkan pampasan yang akan diterima boleh membantunya dalam menyara hidup.
2. Perlindungan penyakit kritikal
Sekiranya pemegang polisi disahkan menderita salah satu dari beberapa penyakit kritikal (yang disenaraikan dalam polisi), maka pemegang polisi akan mendapat pampasan. Tujuannya adalah untuk melindungi risiko kehilangan pendapatan kerana terpaksa mengambil cuti panjang atau terus berhenti kerja bagi mendapat rawatan.
Pada pandangan saya, penyakit kritikal biasanya berpunca dari gaya hidup seseorang. Orang yang bekerja di pejabat dan kurang konsisten dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat lebih berisiko terkena penyakit kritikal. Hu hu hu...
Seseorang akan sentiasa merasa sihat selama dia merasa tidak perlu berjumpa doktor. Padahal orang yang tidak merasa perlu berjumpa doktor belum tentu sihat. Oleh itu, amalkanlah gaya hidup yang sihat dan buatlah medical check up setahun sekali bagi mengenal pasti tahap kesihatan dari masa ke semasa. Jangan tunggu terhantuk baru tengadah.
3. Perlindungan rawatan hospital dan pembedahan
Polisi ini lebih dikenal dengan kad perubatan atau medical card. Polisi ini dapat melindungi semua, atau sekurang-kurangnya kebanyakan daripada perbelanjaan perubatan seseorang di hospital.
Polisi ini berbeza dengan polisi perlindungan penyakit kritikal. Polisi perlindungan penyakit kritikal hanya memberi pampasan jika seseorang disahkan menderita penyakit kritikal. Tapi seseorang yang perlu mendapat rawatan di hospital tidak semestinya menderita penyakit kritikal dahulu. Ketika situasi begini berlaku, medical card boleh digunakan untuk membayar kos rawatan.
Situasi lainnya: jika seseorang disahkan menderita penyakit kritikal dan mendapat wang pampasan, wang pampasan tersebut memang boleh digunakan untuk membayar kos rawatan di hospital. Namun jika wang (yang sepatutnya untuk sara hidup) tersebut digunakan untuk membayar kos rawatan, maka dia dan keluarganya perlu bersedia kerana wang tersebut akan habis dengan segera.
Sebagai tambahan, kita perlu menyedari bahawa kos perubatan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Jika peruntukan kewangan Anda agak terhad, Anda boleh memilih medical card yang murah dulu dan ketika kedudukan kewangan Anda lebih baik, Anda boleh menaik taraf medical card tersebut sesuai peruntukan kewangan Anda. Setakat yang saya tahu medical card yang paling murah di pasaran adalah medical card dari Takaful Ikhlas. Bak kata Saudara Afyan dalam status fb-nya, "Medical card boleh dilanggan dengan kos RM 30 sahaja sebulan? Jadi, kenapa perlu bayar lebih?"
4. Perlindungan kemalangan diri
Di samping perlu memiliki ketiga polisi perlindungan di atas, seseorang juga perlu memiliki polisi perlindungan ini kerana kemalangan boleh menyebabkan kematian dan hilang upaya. Namun kematian dan hilang upaya tidak semestinya berpunca dari kemalangan.
Polisi ini melindungi seseorang dari akibat kematian dan hilang upaya yang disebabkan oleh kemalangan. Biasanya pampasan akan dibayar 2 kali ganda jika kemalangan maut berlaku ketika menggunakan pengangkutan awam (bas, LRT, kapal terbang dan sebagainya).
Memadangkan statistik kemalangan jalan raya di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia, oleh sebab itu saya berpandangan bahawa setiap orang yang tinggal di Malaysia wajib memiliki polisi ini. Tak kan kenderaan (wajib) ada insurans/takaful tapi tuan punya kenderaan tak ada takaful? :-/ Pelik tapi benar!
Lagipun, polisi ini merupakan yang paling murah di pasaran. Hanya dengan membayar serendah RM 30 setahun (lebih rendah dari insurans/takaful kenderaan Anda), Anda boleh mendapatkan perlindungan senilai RM 60 000. Malah terkadang Anda boleh mendapatkannya secara percuma (apabila memiliki kad kredit tertentu, membuka akaun simpanan tertentu, pengguna prepaid Tune Talk dan lain-lain).
Berapakah kos minima untuk mendapatkan keempat-empat perlindungan di atas? Maaf, saya belum menjadi ejen dari mana-mana syarikat takaful. :) Tapi saya sendiri hanya mencarum RM 150 sebulan untuk mendapat keempat-empat perlindungan tersebut, tidak sampai 10% dari pendapatan saya setiap bulan.
Malangnya, ada orang yang mencarum dalam jumlah yang sama atau bahkan lebih tetapi polisinya hanya untuk 3 perlindungan di atas atau malah kurang. Oleh sebab itu, lebih baik mengkaji terlebih dahulu hal-hal yang berkenaan untuk memahami berbagai produk takaful yang ditawarkan di pasaran. Dengan begitu kita akan dapat menjimatkan belanja pada masa yang sama mendapat perlindungan yang efektif dan efesyen.
Alhamdulillah! Saya hanya mencarum RM 5/hari untuk mendapatkan keempat-empat polisi perlindungan di atas. Lebih murah dari makan tengah hari sesetengah orang di antara kita. :) Saya telah melantik Saudara Afyan Mat Rawi dari Takaful Ikhlas sebagai ejen takaful saya.
Catatan:
Pada awalnya saya dikecualikan daripada perlindungan penyakit kritikal oleh Takaful Ikhlas kerana saya berwarga negara asing (Indonesia). Jadi saya perlu mengambil polisi perlindungan tersebut dari syarikat takaful lain. Dan menurut saya itu bukanlah tindakan bijak kerana dengan begitu saya perlu membayar untuk 2 orang ejen . Tetapi akhirnya ejen takaful saya berjaya menghapuskan pengecualian tersebut dengan pertimbangan bahawa saya adalah pasangan kepada warga negara.
Walau bagaimanapun, sebenarnya polisi takaful di atas hanyalah instrument perlindungan yang kedua bagi saya. :) Saya memiliki instrument perlindungan yang lebih baik berbanding polisi takaful di atas. Saya telah memperuntukkan 10% dari pendapatan saya setiap bulan untuk instrument yang saya yang pertama. Di samping sebagi instrument perlindungan, instrument ini juga merupakan instrument pelaburan dan perniagaan yang sangat menguntungkan. Jika Anda ingin mengetahui instrument tersebut, sila klik di [sini]. :) Terima kasih!

2 comments:

  1. Barokallahu fiika! Terima kasih atas perkongsian Tuan yang begitu berharga. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat, hikmah dan barokah yang mencurah-curah buat Tuan.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi menjadi klien kami :)

    ReplyDelete