KEKAYAAN BUKAN UKURAN KEJAYAAN

  • 0

Selalunya orang menganggap bahawa orang yang berjaya itu adalah orang kaya. Pandangan seperti ini mendorong ramai orang bertungkus lumus hendak menjadi orang kaya atau kalaupun tidak kaya, mahu kelihatan seperti orang kaya.

Sebenarnya wang bukanlah ukuran kejayaan. Ramai orang kaya sebenarnya tidak berjaya membina hidup yang baik dan mulia. Dan tidak sedikit pula individu yang berjaya sengaja memilih gaya hidup yang sederhana.

Apabila seseorang menjadikan wang sebagai kayu ukur kejayaan, dia sebenarnya menggunakan ukuran luaran. Wang dan harta adalah suatu yang ada di luar diri seseorang.

Ukuran luaran bermakna kita membandingkan kejayaan kita dengan kejayaan orang lain. Kalau kita lebih baik daripada orang lain, maka kita anggap diri kita sudah berjaya. Tapi kalau orang lain lebih baik, maka kita anggap diri kita tidak berjaya.

Perbuatan mengukur kejayaan dengan menggunakan orang lain sebagai perbandingan adalah perbuatan yang keliru dan tidak adil.

Orang yang berjaya adalah orang yang dapat melakukan sesuatu dengan sehabis baik keupayaannya, di dalam aspek penting dalam hidupnya (agama, kerja, rumah tangga dan masyarakat). Masing-masing individu perlu menentukan sendiri definisi kejayaan dan melakukan yang terbaik bagi mencapainya.

Pandangan yang mengatakan wang dan harta sebagai lambang kejayaan adalah pandangan yang keliru. Kalau untuk berjaya kita mesti kaya, hanya berapa kerat sahaja orang yang berpeluang menjadi orang berjaya.

Dan boleh jadi kita menganggap orang yang tidak kaya atau hidup sederhana adalah orang yang tidak berjaya. Padahal realitinya tidak seperti itu.

Orang yang menyamakan kejayaan dengan wang dan harta adalah orang yang salah faham terhadap erti kejayaan. Sebenarnya, semua orang boleh berjaya, walaupun bukan semua orang boleh menjadi kaya raya.

Sumber: Buku Mendorong Diri Sendiri oleh Puan Ainon Mohd. & Prof. Abdullah Hassan

P/S: Usia buku ini sudah lebih 12 tahun.

No comments:

Post a Comment